Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PDI-P lahir sokongan kepada Prabowo

Oct 8, 2024 | 11:24 AM
Presiden terpilih Indonesia, Encik Prabowo Subianto (kiri),  dijangka bertemu Pengerusi PDI-P, Cik Megawati Sukarnoputri, antara 12 dengan 15 Oktober. 
Presiden terpilih Indonesia, Encik Prabowo Subianto (kiri), dijangka bertemu Pengerusi PDI-P, Cik Megawati Sukarnoputri, antara 12 dengan 15 Oktober.  - Foto SEKRETARIAT PRESIDEN

JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) secara terbuka menyatakan sokongan kepada pentadbiran baru yang bakal dipimpin oleh Presiden terpilih Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

Bendahari PDI-P, Cik Olly Dondokambey, pada 7 Oktober menyatakan bahawa partinya akan bekerjasama dengan pentadbiran Prabowo, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa tiada lagi pembangkang utama dalam Parlimen selepas ini.

Cik Olly menjelaskan, Pengerusi PDI-P, Cik Megawati Sukarnoputri, percaya bahawa sistem politik Indonesia tidak terlalu mengutamakan pembangkang secara mutlak.

“Kita tidak mengiktiraf konsep pembangkang. Kita akan bekerjasama dengan Prabowo dan membantu beliau dalam pentadbiran negara,” kata Cik Olly kepada media.

PDI-P merupakan parti besar terakhir yang belum secara rasmi menyatakan pendirian dalam pentadbiran Prabowo.

Sebelum ini, PDI-P mencalonkan Encik Ganjar Pranowo sebagai saingan kepada Encik Prabowo dalam Pilihan Raya Presiden yang lalu.

Namun, gabungan besar yang dibentuk oleh Encik Prabowo, dikenali sebagai Gabungan Indonesia Maju (KIM), kini menunggu pengesahan sama ada PDI-P akan menyertai barisan Kabinet.

PDIP merupakan satu-satunya parti yang belum menyertai gabungan KIM.

Parti lain yang sebelum ini menyokong Encik Anies Baswedan seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti NasDem, dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) sudah menyatakan sokongan kepada Encik Prabowo.

Cik Olly juga menjelaskan bahawa sokongan kepada Encik Prabowo adalah tidak dapat dielakkan kerana anak Cik Megawati, Puan Maharani Sukarnoputri, telah dilantik semula sebagai Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Jawatan itu penting untuk memastikan segala rancangan pemerintah dapat dilaksanakan dengan baik.

“Keputusan tentang jawatan dalam Kabinet masih belum diputuskan. Itu bergantung kepada Pak Prabowo dan perbincangan dengan Ibu (Cik Megawati),” tambah Cik Olly.

Keputusan mengenai kedudukan Kabinet dijangka dibincangkan dalam pertemuan antara Cik Megawati dengan Encik Prabowo sebelum pelantikan rasmi pentadbiran pada 20 Oktober.

Menurut laporan, pertemuan antara Cik Megawati dengan Encik Prabowo akan berlangsung antara 12 dengan 15 Oktober.

Cik Olly menyatakan bahawa pertemuan itu akan membincangkan hala tuju masa depan negara.

“Ibu Megawati sudah menyatakan kita akan menyokong pentadbiran Prabowo,” katanya.

Puan Maharani, dalam kenyataan media, turut memberi bayangan bahawa pertemuan tersebut adalah penting tetapi tidak mengesahkan sama ada PDI-P akan menyertai gabungan KIM secara rasmi.

“Kita tunggu dan lihat hasil pertemuan nanti,” kata Puan Maharani.

Encik Prabowo akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden pada 20 Oktober.

Parti Gerindra pimpinan Encik Prabowo dan PDIP sudah beberapa kali mengesahkan rancangan untuk mengadakan pertemuan sebelum pelantikan tersebut.

“Insya-Allah, pertemuan akan diadakan sebelum pelantikan,” kata Encik Prabowo pada awal Oktober. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg