JAKARTA: Keputusan rasmi Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) memecat Presiden ketujuh Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo; anaknya, Encik Gibran Rakabuming Raka dan menantunya, Encik Bobby Nasution, mencetuskan pelbagai reaksi daripada parti politik lain di negara itu.
Pengumuman pemecatan tersebut dibuat oleh Ketua Bidang Kehormatan PDI-P, Encik Komarudin Watubun, pada 16 Disember dengan surat bertarikh 14 Disember itu ditandatangani oleh Ketua Umum PDI-P, Cik Megawati Sukarnoputri dan Setiausaha Agung, Encik Hasto Kristiyanto.
“Pak Jokowi dan keluarganya sudah tidak lagi sejalan dengan cita-cita parti. Ini adalah keputusan penting agar prinsip disiplin politik tetap terjaga,” ujar Encik Komarudin dalam satu sidang media.
Sejurus selepas pemecatan, beberapa parti politik mula menunjukkan minat untuk menarik Encik Jokowi menyertai mereka.
Parti Golkar, melalui Ketua Umumnya, Encik Bahlil Lahadalia, menegaskan partinya sangat terbuka jika Encik Jokowi memilih untuk bergabung.
“Golkar adalah parti inklusif, terbuka kepada semua anak bangsa yang ingin berjuang melalui politik.
“Jika Pak Jokowi mahu bersama Golkar, kami sangat mengalu-alukan,” kata Encik Bahlil di Istana Negara, Jakarta.
Bagaimanapun, terdapat juga suara yang berharap Encik Jokowi akan kekal sebagai tokoh nasional tanpa menyertai mana-mana parti.
Pengarah Eksekutif Indikator Politik Indonesia, Encik Burhanuddin Muhtadi, melihat dua pilihan buat Encik Jokowi selepas ini.
“Pilihan pertama, beliau boleh menyertai parti lain seperti Golkar atau Gerindra. Pilihan kedua, beliau terus bergerak sebagai individu berpengaruh tanpa parti politik,” jelas Encik Burhanuddin dalam program Kompas Petang.
Encik Jokowi melepaskan jawatannya pada 20 Oktober 2024 selepas memegang jawatan Presiden selama dua penggal berturut-turut digantikan oleh Encik Prabowo Subianto.
Encik Prabowo dari Parti Gerindra iaitu sebuah parti politik yang mendukung nasionalisme dan pembangunan ekonomi.
Encik Jokowi, yang ditemui media di Solo sebelum pengumuman rasmi PDI-P itu tampil tenang memberi respons terhadap kemungkinan pemecatannya.
Beliau hanya menyebut ini soal parti, tanpa mengulas lanjut.
Dalam hantaran di Instagram peribadinya pada 16 Disember, Encik Jokowi berkongsi kegiatan santai bersama cucu-cucunya, Jan Ethes dan La Lembah Manah, selepas berita pemecatan itu tular.
“Sesampainya di Solo, menikmati sate kambing bersama Ibu Iriana melengkapi perjalanan yang menyenangkan,” tulisnya.
Menurut anggota PDI-P, Encik Seno Bagaskoro, pemecatan itu telah lama dibincangkan dan berakar daripada tindakan politik Encik Jokowi serta keluarganya yang dilihat bertentangan dengan dasar parti.
Beliau menambah bahawa pemecatan itu tidak menghalang Encik Jokowi daripada terus berpolitik sebagai hak peribadi seorang warganegara.
Kini, mata tertumpu pada langkah seterusnya, sama ada Encik Jokowi akan menyertai parti baru atau bergerak sebagai tokoh bebas yang terus berpengaruh.
“Pak Jokowi masih mempunyai sokongan besar dalam kalangan rakyat. Itu modal politik yang kuat,” tambah Encik Burhanuddin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg