Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PDI-P sedia tanding pilihan raya 2024 tanpa sokongan Jokowi

Perpisahan dipercayai disebabkan keputusan Mahkamah Perlembagaan beri laluan bagi anak Jokowi tandingi pilihan raya
Oct 30, 2023 | 1:38 PM
HUBUNGAN RETAK: Berasa dipinggirkan, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan Cik Megawati Soekarnoputri (kanan), kini akan bersaing dalam Pilihan Raya Presiden 2024 tanpa kerjasama keluarga Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (kiri).
HUBUNGAN RETAK: Berasa dipinggirkan, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan Cik Megawati Soekarnoputri (kanan), kini akan bersaing dalam Pilihan Raya Presiden 2024 tanpa kerjasama keluarga Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (kiri). - Foto REUTERS

JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) telah memberi petanda paling jelas bahawa ia bersedia bertanding dalam Pilihan Raya 2024 tanpa sokongan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo dan keluarganya, ekoran percanggahan pendapat berkaitan Perlembagaan.

Berikutan spekulasi yang berlarutan beberapa minggu mengenai masalah hubungan antara Encik Jokowi dengan PDI-P – yang telah berkhidmat sebagai kenderaan politik Presiden selama beberapa dekad – setiausaha agung parti itu, Encik Hasto Kristiyanto, mendedahkan rungutan parti dalam satu kenyataan media pada Ahad.

“Kami sangat menyayangi dan memberi keistimewaan kepada Presiden Jokowi dan keluarganya, tetapi kami telah dipinggirkan kerana ada tuntutan (daripada Presiden) yang berpotensi melanggar prinsip moral dan Perlembagaan,” kata Encik Hasto, lapor akhbar Jakarta Post.

Beliau tidak menyebut apa tuntutan itu, tetapi ia dirujukkan sama ada berkaitan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang dianggap kontroversi baru-baru ini, yang memberi laluan kepada anak sulung Presiden Jokowi, Encik Gibran Rakabuming Raka, bertanding dalam pilihan raya presiden pada Februari 2024, atau cadangan yang ingin mengekalkan Encik Jokowi berkuasa selepas penggal kedua dan terakhirnya.

Walaupun rancangan lanjutan penggal itu tidak menjadi kenyataan, rungutan terbaru PDI-P berkaitan Encik Jokowi dan Keluarga Pertama ialah mengenai Encik Gibran.

Anak sulung Encik Jokowi itu bertanding atas tiket pesaing parti itu sebagai calon naib presiden pasangan calon presiden Encik Prabowo Subianto, yang dapat dilakukan berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan itu.

“Semua perkara yang berlaku dalam rantaian peristiwa yang membawa kepada pencalonan Gibran sebenarnya adalah ketidaktaatan politik terhadap Perlembagaan dan rakyat Indonesia.

“Semua ini adalah di atas manipulasi undang-undang di Mahkamah Perlembagaan,” ujar Encik Hasto.

Beliau berkata beberapa pemimpin parti politik juga telah mengaku kepadanya bahawa mereka berasakan “tekanan” kuasa Encik Jokowi.

“Semoga awan gelap ini (yang menjulang di atas negara) demokrasi akan segera berlalu, dan rakyat Indonesia akan memahami siapa yang meninggalkan siapa, demi cita-cita mereka untuk berkuasa,” tambahnya.

Penganalisis berkata Encik Jokowi berusaha gigih untuk mendapatkan pencalonan anaknya bagi meneruskan legasinya, walaupun ia bermakna menentang partinya, PDI-P, yang menyokong bekas gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, sebagai calon presiden yang digandingkan dengan Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Ehwal Keselamatan, Encik Mahfud MD.

Kenyataan terbaru Encik Hasto juga dibuat selepas beliau baru-baru ini mendedahkan bahawa terdapat usaha untuk melanjutkan tempoh jawatan Encik Jokowi.

Encik Hasto dan seorang lagi ahli politik parti yang memerintah itu menuduh Encik Jokowi sebagai “lurah” (ketua kampung), panggilan lain bagi beliau serta ‘dalang’ bagi daya usaha untuk melanjutkan tempoh jawatan presidennya.

Idea untuk sama ada melanjutkan tempoh presiden atau menangguhkan pilihan raya mendapat momentum pada 2022 selepas beberapa tokoh politik berpengaruh dan pemimpin parti dalam gabungan pemerintah, mendesak cadangan itu secara terbuka, kononnya atas arahan kalangan dalaman Encik Jokowi.

Bercakap kepada pemberita pada Jumaat, Encik Hasto berkata beliau telah bertemu seorang menteri yang memberitahunya bahawa cadangan itu adalah “atas permintaan ketua kampung”.

Encik Hasto tidak menyebut nama menteri tetapi berkata bahawa orang itu secara terbuka mendakwa mempunyai analisis “data besar” yang menunjukkan majoriti rakyat Indonesia mahu tempoh Encik Jokowi dilanjutkan.

Menteri Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Encik Luhut Pandjaitan, terutamanya, berkata pada 2022 berkata data besar yang dianalisis daripada 110 juta pengguna media sosial Indonesia mendedahkan bahawa majoriti orang ramai menyokong pelanjutan tempoh jawatan presiden itu.

Bagaimanapun, Menteri Pelaburan, Encik Bahlil Lahadalia, yang kini juga timbalan pengurus kempen untuk Encik Prabowo dan Encik Gibran, berkata pada Sabtu bahawa beliau adalah orang yang harus dipersalahkan kerana mengemukakan cadangan kontroversi itu.

Encik Bahlil berkata beliau tidak pernah diarah oleh sesiapa untuk melancarkan cadangan kontroversi tersebut.

Beliau hanya berbuat demikian kerana penerimaan meluas terhadap Encik Jokowi dalam tinjauan pendapat umum.

“Sekiranya ada pihak yang perlu dipersalahkan kerana (cadangan) yang mahu menangguhkan pilihan raya, saya, Bahlil Lahadalia, dan bukan orang lain,” katanya, lapor Kompas.com.

Soalan mengenai status Encik Gibran dalam PDI-P juga telah menjadi topik yang berulang kali mendominasi tajuk berita minggu lalu, kerana kedua-dua PDI-P dan Encik Gibran berhati-hati dalam menangani isu yang dianggap sebagai pengkhianatan itu untuk menghalang pihak lain daripada meraih simpati orang ramai.

PDI-P nampaknya mengelak daripada memecat anak sulung Encik Jokowi itu daripada parti, sebaliknya memilih menunggu Encik Gibran menunjukkan “niat baiknya” dengan secara rasmi keluar parti berikutan keputusannya bertanding sebagai naib presiden atas tiket pesaing.

Ini berlaku walaupun selepas parti itu berulang kali mengeluarkan kata dua bahawa ahli parti mesti berhimpun di belakang calon presidennya, iaitu Encik Ganjar Pranowo, atau akan disingkirkan.

“Kami sedang menunggu beliau menunjukkan hormat kepada pengerusi PDI-P, Cik Megawati (Soekarnoputri) dan parti, yang telah membesarkan dan menjaga beliau selama bertahun-tahun – dengan memulangkan kad keahliannya kepada kami,” kata eksekutif lembaga pusat PDI-P, Encik Ahmad Basarah pada Sabtu.

Encik Ahmad berkata komitmen parti itu untuk menyokong jawatan Mayor Surakarta, Encik Gibran, yang dimenanginya atas tiket PDI-P pada 2020, kekal tidak berubah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg