Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Minggu politik hangat di Indonesia jelang Pilihan Raya Presiden 2024

Anak Presiden Jokowi mungkin calon naib presiden bagi Prabowo lepas mahkamah putuskan bawah 40 tahun boleh bertanding
Oct 21, 2023 | 05:30 AM



Drama politik Indonesia untuk memilih pemimpin baru dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 14 Februari 2024 bermula minggu ini.

Kita menyaksikan kemungkinan kemunculan dinasti politik baru selepas Mahkamah Perlembagaan pada awal minggu ini memutuskan bahawa calon presiden atau naib presiden boleh berumur kurang 40 tahun, jika calon berkenaan telah berkhidmat atau sedang berkhidmat sebagai pemimpin wilayah yang dipilih.

Keputusan itu memberi laluan kepada anak Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo yang juga Datuk Bandar Surakarta, Encik Gibran Rakabuming Raka, 36 tahun, untuk menjadi calon naib presiden berganding dengan Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, yang masih belum mengumumkan pasangannya.

Pada Khamis, dua calon presiden dan naib presiden mendaftarkan pencalonan mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024, pada hari pertama pendaftaran dibuka.

Dua bekas gabenor, Encik Anies Baswedan, dari Jakarta, dan Encik Ganjar Pranowo dari Jawa Tengah, datang ke pejabat Jawatankuasa Pilihan Raya Umum bersama pasangan masing-masing, iaitu Encik Muhaimin Iskandar dan Encik Mohammad Mahfud, di tengah-tengah keriuhan penyokong mereka yang memenuhi jalan sekitar pejabat jawatankuasa itu di Jakarta Pusat.

“Idea utama ialah perubahan yang membawa kesaksamaan dan keadilan. Itulah perubahan yang kami bawa,” kata Encik Anies selepas menyerahkan borang pendaftarannya di pejabat jawatankuasa itu.

Pada Rabu, Menteri Penyelaras bagi Politik dan Keselamatan, Encik Mahfud, dinamakan sebagai pasangan calon presiden Encik Ganjar, oleh parti yang memerintah, iaitu Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan gabungannya.

Pengumuman menamakan Encik Mahfud sebagai calon naib presiden itu dibuat lima tahun selepas percubaan pertamanya.

Encik Prabowo, yang menyambut ulang tahunnya ke-72 tahun pada Selasa, masih memikirkan pilihan terbaik untuk berganding dengannya, yang dapat membantunya menang dalam pemilihan presiden kali ini.

Sekurang-kurangnya tiga nama, termasuk Encik Gibran, disebut-sebut sebagai bakal pasangan calon Encik Prabowo.

Dua lagi nama ialah Menteri Perusahaan Milik Negara, Encik Erick Thohir, dan Gabenor Jawa Timur, Cik Khofifah Indar Parawansa, satu-satunya wanita dalam senarai nama yang dipilih untuk kepimpinan negara.

Encik Prabowo masih perlu berunding dengan pengerusi parti dalam gabungannya, sebelum mereka boleh bersetuju pada calon naib presiden.

Sehingga laporan ini ditulis, Encik Erick dan pengerusi Parti Amanat Kebangsaan, Encik Zulkifli Hasan, yang juga Menteri Perdagangan, masih berada di Arab Saudi menemani Encik Jokowi yang sedang melakukan lawatan.

Menurut tinjauan terbaru Lembaga Survei Indonesia yang dikeluarkan pada Khamis, Encik Ganjar berada di tempat kedua dalam tinjauan selepas Encik Prabowo, manakala Encik Anies di tempat ketiga.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa Encik Prabowo memperoleh undian terbanyak, iaitu 38 peratus daripada 1,620 responden, jika beliau digandingkan dengan Encik Erick, manakala dengan Cik Khofifah dan Encik Gibran, hanya 36 peratus.

Ini peluang ketiga dan mungkin terakhir bagi Encik Prabowo untuk jawatan presiden.

Keadaannya disifatkan kritis, dengan Mahkamah Perlembagaan dijadualkan membuat keputusan terhadap lima petisyen yang bertujuan mengehadkan umur maksimum bagi calon presiden dan naib presiden hingga 70 tahun, atas alasan sesiapa sahaja melebihi 70 tahun akan menjadi terlalu tua untuk menjalankan tugas presiden.

Salah satu petisyen meminta mahkamah memutuskan bahawa calon harus mempunyai rekod pelanggaran hak asasi manusia yang bersih dan tidak pernah terlibat dalam dakwaan penculikan aktivis prodemokrasi pada 1998.

Encik Prabowo masih mempunyai masa sehingga Rabu untuk menyerahkan kertas pencalonan beliau dan pasangannya kepada jawatankuasa pilihan raya.

Sementara itu, Encik Anies dan Encik Muhaimin akan menjalani saringan kesihatan pada Sabtu, diikuti Encik Ganjar dan Encik Mahfud pada Ahad.


Sekiranya mahkamah membenarkan petisyen itu, ia akan mengubah permainan pilihan raya di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia ini, sekali gus menjadikan pilihan raya satu pusingan dengan kemungkinan hanya dua pasangan bertanding.


Ini kecuali ada pasangan baru yang akan tampil dalam masa singkat untuk bertanding, tetapi kemungkinan besar ini tidak akan berlaku.


Hari Mengundi dijadual pada 14 Februari 2024.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >