Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai Batam ditahan cuba seludup dua wanita ke S’pura

Nov 20, 2024 | 11:17 AM
Dua suspek termasuk pegawai Penguasa Zon Perdagangan Bebas Batam (BP Batam) ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam percubaan menyeludup dua wanita ke Singapura.
Dua suspek termasuk pegawai Penguasa Zon Perdagangan Bebas Batam (BP Batam) ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam percubaan menyeludup dua wanita ke Singapura. - Foto POLIS DAERAH KEPRI

JAKARTA: Seorang pegawai Penguasa Zon Perdagangan Bebas Batam (BP Batam) berusia 50 tahun, telah ditahan bersama seorang lagi suspek berusia 54 tahun atas dakwaan terlibat dalam kes pemerdagangan manusia.

Penahanan dilakukan pada 31 Oktober di Pelabuhan Batam Centre Harbor Bay, setelah pihak polis berjaya menyelamatkan dua wanita yang hampir diseludup secara haram ke Singapura.

Ketua Polis Kepulauan Riau, Encik Dony Alexander, menjelaskan bahawa pihaknya menerima maklumat mengenai dua wanita yang akan dihantar sebagai pekerja pendatang tanpa izin.

Kedua-dua wanita dikenal pasti sebagai LF berusia 37 tahun dari Jawa Timur dan TH berusia 24 tahun dari Nusa Tenggara Barat.

“Berdasarkan maklumat tersebut, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah menjalankan penyiasatan untuk memastikan sama ada jenayah sedang berlaku,” kata Encik Dony pada 18 November seperti dilaporkan agensi berita, Antara.

Encik Dony menyatakan kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan sekitar 1 tengah hari pada 31 Oktober.

Pada hari yang sama, pihak polis turut menahan kedua-dua suspek.

Barang bukti yang dirampas termasuk dua pasport, dua pas perjalanan feri, dua tiket feri, tiga telefon bimbit, sebuah buku simpanan dan satu kad mesin tunai automatik (ATM).

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada terdapat suspek lain atau rangkaian pemerdagangan manusia yang lebih besar terlibat dalam kes tersebut.

Kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada Badan Perlindungan Perempuan dan Kanak-Kanak Kepulauan Riau untuk membantu mereka kembali ke kampung halaman masing-masing.

Dus suspek kini menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Jenayah Pemerdagangan Orang 2007 dan Seksyen 81 Akta Perlindungan Pekerja Migran Indonesia 2017.

Jurucakap BP Batam, Encik Sazani, melahirkan kekesalan pihaknya terhadap penglibatan seorang kakitangannya dalam kes itu.

“BP Batam menyokong sepenuhnya usaha pihak polis dalam penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” kata Encik Sazani.

Pada Ogos, seorang wanita ditahan kerana disyaki menghantar pekerja migran tanpa izin ke Kemboja untuk bekerja sebagai operator perjudian dalam talian.

Polis menahan wanita itu di Mega Mall Batam Centre ketika menyerahkan tiket perjalanan ke Malaysia kepada mangsa pemerdagangan manusia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg