Pegawai keselamatan tertinggi AS letak jawatan, dakwa Iran tidak timbulkan ancaman segera
Pegawai keselamatan tertinggi AS letak jawatan, dakwa Iran tidak timbulkan ancaman segera
WASHINGTON: Seorang pegawai keselamatan tertinggi dalam pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meletak jawatan susulan perang di Iran pada 17 Mac, dengan menyatakan bahawa negara itu tidak menimbulkan ancaman segera kepada Amerika.
Encik Joe Kent, yang mengetuai Pusat Antikeganasan Kebangsaan, merupakan pegawai kanan pertama dalam pentadbiran Encik Trump yang meletak jawatan susulan perang masuk minggu ketiga itu.
“Saya tidak boleh menyokong perang yang sedang berlangsung di Iran dengan hati nurani yang baik. Iran tidak menimbulkan ancaman segera kepada negara kita, dan jelas bahawa kita memulakan perang ini kerana tekanan daripada Israel dan lobinya yang berkuasa,” tulis Encik Kent dalam surat yang disiarkan di media sosial.
Sesetengah pakar menyatakan ancaman segera diperlukan untuk Amerika melancarkan perang di bawah undang-undang perang antarabangsa.
Surat Encik Kent kepada Presiden Trump mengandungi “dakwaan palsu,” kata jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt dalam satu kenyataan.
“Presiden Trump dengan jelas telah menyatakan beliau mempunyai bukti yang kukuh dan meyakinkan bahawa Iran akan menyerang Amerika terlebih dahulu,” kata Cik Leavitt.
“Bukti ini dikumpulkan daripada pelbagai sumber dan faktor,” tambahnya.
Encik Kent dan Pejabat Pengarah Perisikan Negara, yang menyelia pusat antikeganasan, tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.
Beliau telah lama dikenali dengan kepercayaannya “Dahulukan Amerika” dan pernah berkata beliau menentang campur tangan tentera Amerika di luar negara.
Namun, pengumuman itu mengejutkan, kata seorang pegawai Amerika.
Encik Kent rapat dengan Pengarah Perisikan Negara Cik Tulsi Gabbard, yang berdiam diri sejak perang Iran bermula.
“Selepas menyemak dengan teliti semua maklumat di hadapannya, Presiden Trump menyimpulkan bahawa rejim pengganas Islam di Iran menimbulkan ancaman yang akan berlaku dan beliau mengambil tindakan berdasarkan kesimpulan itu,” kata Cik Gabbard di media sosial pada 17 Mac.
Majlis Perisikan Negara telah mengeluarkan beberapa penilaian sebelum dan selepas serangan Amerika bermula di Iran yang mengetengahkan risiko campur tangan Amerika.
Laporan tersebut menunjukkan bahawa pemerintah Iran tidak mungkin tumbang dan kemungkinan besar Iran akan membalas dendam terhadap pos kawalan Amerika di rantau dan sekutu Teluk.
Encik Kent telah dikritik oleh Demokrat kerana kaitannya dengan tokoh-tokoh sayap kanan. Laporan media telah mengaitkan beliau dengan nasionalis kulit putih yang mengaku dirinya Nick Fuentes. Beliau sejak itu mengecam pandangan Encik Fuentes. - Reuters

