DUBAI/BAITULMAKDIS: Penolong juruterbang flydubai FZ1073 cuba melakukan serangan “pengganas” semasa penerbangan, kata Ketua Pendakwa Raya Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Oktober.

Penolong juruterbang itu dikenal pasti sebagai Hammam al-Hammami, seorang warga Oman, kata satu sumber kepada agensi berita Reuters.

Sumber kedua yang diberi taklimat mengenai siasatan itu turut mengesahkan nama penolong juruterbang tersebut.

Meskipun pihak berkuasa UAE belum mendedahkan identiti penolong juruterbang itu secara terbuka, namun pegawai Israel sebelum ini menyatakan bahawa beliau ialah warga Oman.

Oman tidak memberi sebarang komen mengenai kejadian tersebut.

“Siasatan ke atas kejadian yang melibatkan penerbangan flydubai FZ1073 mendapati penolong juruterbang cuba melakukan serangan pengganas,” kata laporan agensi WAM, memetik Ketua Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara UAE, Encik Hamad Saif Al Shamsi.

Penolong juruterbang itu menyerang juruterbang di dalam kokpit menggunakan kapak kecemasan dan cuba mengambil alih kawalan pesawat, kata beliau.

Kapak kecemasan biasanya disimpan di dalam kokpit untuk digunakan semasa kecemasan jika nahas berlaku.

Siasatan masih diteruskan untuk menentukan keadaan kejadian itu, motif dan sebarang kaitan serta memeriksa bukti fizikal dan digital, tambahnya.

UAE mengetuai siasatan tersebut. Syarikat penerbangan itu dimiliki oleh kerajaan Dubai.

Komen oleh peguam negara itu adalah yang pertama daripada pihak berkuasa UAE yang menyifatkan kejadian itu sebagai cubaan serangan “pengganas”.

Kecelakaan dapat dielakkan dalam kejadian pada 30 September itu selepas penumpang dan anak kapal berjaya menumpaskan percubaan penolong juruterbang tersebut.

Kejadian itu disifatkan oleh pegawai Israel sebagai cubaan jelas untuk menghempaskan pesawat yang membawa lebih 170 penumpang dan anak kapal.

Seorang juruterbang simpanan flydubai yang menaiki penerbangan tersebut mengambil alih kawalan pesawat dan mendaratkannya di lapangan terbang Tabuk di barat laut Arab Saudi.

Penolong juruterbang itu kemudian segera ditahan oleh pihak berkuasa Saudi.

Sumber yang diberi taklimat mengenai siasatan itu menyatakan bahawa pegawai Israel dijangka menyoal siasat penolong juruterbang itu di UAE.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pada 2 Oktober bahawa Israel sedang meneliti sama ada penolong juruterbang itu bertindak atas arahan sesiapa dan mereka yang terlibat akan menanggung akibatnya.

Pesawat itu dikatakan menjunam lebih 5,000 meter dalam masa lebih 30 saat semasa terbang di atas ruang udara Arab Saudi dalam perjalanan dari UAE ke Israel.

Dalam pada itu, CNN memetik dua sumber sebagai melaporkan bahawa penolong juruterbang berkenaan telah disingkirkan daripada jawatannya pada 2025 atas kebimbangan mengenai pandangan ekstremisnya.

Satu sumber pula memberitahu agensi berita Al Arabiya bahawa penolong juruterbang itu juga pernah menghabiskan masa di Syria dan mungkin telah dipengaruhi oleh kumpulan radikal di sana. – Reuters, AFP.