Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi siasat kejadian Flydubai, pergaduhan dalam kokpit paksa pesawat mendarat cemas
Israel ucap terima kasih kepada Saudi bantu penumpang walau tiada hubungan diplomatik rasmi
Saudi siasat kejadian Flydubai, pergaduhan dalam kokpit paksa pesawat mendarat cemas
RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi melancarkan siasatan terhadap insiden keselamatan dalam kokpit pesawat Flydubai dari Dubai ke Tel Aviv yang memaksanya melakukan pendaratan cemas di bandar Tabuk, selepas dua juruterbang cedera dalam kejadian itu.
Pusat Keselamatan Pengangkutan Nasional Arab Saudi (NTSC) berkata pasukan penyiasat keselamatan penerbangan sudah memulakan siasatan bagi menentukan keadaan sebenar yang membawa kepada pendaratan cemas pesawat, FZ1073 di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Sultan bin Abdulaziz pada 30 September.
Pasukan itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk mengumpul bukti, meneliti aspek keselamatan penerbangan dan menentukan rentetan kejadian di dalam pesawat tersebut.
Flydubai mengesahkan berlaku “pertelingkahan dalam kokpit” ketika pesawat sedang menuju ke Tel Aviv sebelum keadaan berjaya dikawal.
Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai itu berkata kru yang berada di dalam pesawat berjaya mengawal keadaan dan pesawat kemudian dilencongkan ke Arab Saudi sebelum mendarat dengan selamat.
Semua penumpang selamat, namun beberapa anggota kru cedera.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Amiriah Arab Bersatu (UAE) (GCAA) turut mengesahkan berlaku “insiden keselamatan” dalam penerbangan itu dan berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca serta keadaan sebenar kejadian, termasuk aspek operasi dan keselamatan.
Pihak berkuasa memberi amaran supaya orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai motif kejadian sebelum siasatan selesai.
Lapangan terbang di Tabuk berkata pusat kawalan trafik udaranya menerima panggilan kecemasan daripada FZ1073 pada 8.44 pagi waktu tempatan, dengan pesawat meminta kebenaran melakukan pendaratan cemas.
Data penjejakan penerbangan menunjukkan pesawat itu menghantar kod kecemasan antarabangsa ‘7700’, yang menandakan kecemasan umum, sebelum menghantar kod ‘7500’, yang digunakan bagi menunjukkan kemungkinan berlaku campur tangan secara tidak sah terhadap sesebuah pesawat.
Pesawat itu turut mengalami penurunan ketinggian secara mendadak ketika kejadian sebelum keadaan berjaya dikawal.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mendakwa seorang daripada juruterbang telah menikam seorang lagi juruterbang dan cuba menghempaskan pesawat berkenaan.
Bagaimanapun, motif kejadian belum ditentukan oleh penyiasat, dan Flydubai meminta semua pihak mengelakkan spekulasi sehingga siasatan rasmi selesai.
Encik Netanyahu mengenal pasti juruterbang yang cedera sebagai Kapten Smit Machchhar, warga India.
Menurut beliau, Kapten Machchhar, walaupun cedera, berjaya melawan penyerangnya dan membuka pintu kokpit, membolehkan penumpang serta kru membantu mengawal keadaan.
Kedutaan India di Riyadh mengesahkan Kapten Machchhar menerima rawatan di sebuah hospital di Tabuk dan berada dalam keadaan stabil.
Kedutaan itu berkata ia berhubung dengan keluarganya serta pihak berkuasa Saudi bagi memantau keadaan beliau.
Seorang penumpang Encik Yaniv Hayun, yang duduk berhampiran bahagian hadapan pesawat pula menceritakan suasana cemas apabila terdengar jeritan dari kokpit sebelum melihat seorang juruterbang yang cedera keluar dari ruang berkenaan.
Menurut keterangan penumpang, Encik Yaniv antara beberapa beberapa penumpang dan kru kemudian membantu menahan juruterbang yang didakwa melakukan serangan.
Agensi berita, Reuters, melaporkan rakaman dari dalam pesawat menunjukkan kedua-dua juruterbang dalam keadaan berlumuran darah selepas kejadian, sementara seorang daripada mereka ditahan.
Dua juruterbang Flydubai lain yang berada di dalam pesawat sebagai kru simpanan kemudian mengambil alih kawalan dan menerbangkan pesawat ke Tabuk, kata pegawai Israel.
Menurut Encik Netanyahu, pesawat itu membawa 174 orang termasuk ramai warga Israel.
Selepas mendarat, penumpang dibawa turun dari pesawat dan diberikan bantuan oleh pihak berkuasa Saudi sementara menunggu pesawat gantian.
Mereka kemudian berlepas dari Tabuk pada 5.40 petang waktu tempatan dengan pesawat lain yang disediakan Flydubai untuk meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv.
Pendaratan itu turut menarik perhatian kerana Arab Saudi dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi.
Namun, Konvensyen Chicago mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa menetapkan negara anggota perlu memberikan bantuan kepada pesawat yang menghadapi kecemasan dalam wilayah mereka.
Penerbangan menuju Israel pernah melakukan pendaratan kecemasan di Arab Saudi sebelum ini, termasuk sebuah pesawat Air Seychelles yang mendarat di Jeddah pada 2023 akibat masalah teknikal.
Dalam perkembangan terkini, Flydubai menggantung sementara semua penerbangan ke dan dari Israel sementara pihak berkuasa menyiasat insiden FZ1073.
Encik Netanyahu berkata masih terlalu awal untuk menentukan motif di sebalik kejadian itu.
Apabila ditanya dalam wawancara Fox News sama ada terdapat petunjuk penglibatan Iran, beliau berkata: “Masih terlalu awal untuk mengatakan demikian.”
Beliau berkata Israel tidak menerima sebarang amaran atau maklumat risikan awal mengenai kemungkinan insiden dalam penerbangan tersebut.
Pemerintah Israel juga dijangka mengikuti siasatan yang dijalankan pihak berkuasa Saudi dan UAE.
Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, pula mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan, susulan kejadian itu.
Encik Netanyahu, mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Arab Saudi atas “semangat kejiranan yang baik” dan “layanan mesra” terhadap penumpang Israel. – Agensi berita.