JAKARTA: Kemarahan para pekerja penghantaran Indonesia nampaknya masih belum reda - mereka merancang mengadakan lebih banyak protes berskala lebih besar.
Memberikan amaran tersebut, Encik Raden Igun Wicaksono, pengerusi salah satu persatuan pekerja penghantaran terbesar di Indonesia, berkata bahawa pertarungan sebenarnya baru bermula.
Beliau berikrar “peningkatan lebih besar” dengan berjuta-juta pekerja penghantaran bersedia untuk menyalakan apa yang dipanggilnya Revolusi Ojol.
Ojol (Gojek Online) adalah singkatan bagi penunggang motosikal teksi yang menyediakan khidmat penghantaran bagi orang ramai yang ditempah melalui aplikasi seperti Gojek atau Grab.
Beberapa minggu lalu, Encik Wicaksono dan rakan sekerjanya menyertai pelajar dan buruh dalam protes yang memaksa penggubal undang-undang mengurangkan faedah rasmi Anggota Parlimen dan menyingkirkan beberapa ahli politik termasuk menteri daripada Parlimen.
Pada 17 September, beribu-ribu pekerja penghantaran akan kembali ke Parlimen sekali lagi, menuntut undang-undang melindungi pekerja seperti mereka yang telah membantu mengekalkan ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Kemelut tersebut telah menjadikan hampir dua juta pekerja penghantaran sebagai liabiliti politik terbaru Presiden Prabowo Subianto.
Mereka kelihatan di setiap kesesakan lalu lintas dan di setiap sudut jalan, berpakaian seragam hijau Gojek atau Grab.
Mereka bergaji rendah, sebahagian besarnya tidak mempunyai perlindungan insurans dan semakin marah kepada pemerintah kerana gagal mewujudkan pekerjaan yang cukup selamat dan bergaji tinggi untuk tenaga kerja yang semakin meningkat di negara itu.
“Kami bersedia menjadi pencetus revolusi di Indonesia kerana berjuta-juta rakan sekerja kami tidak lagi dapat menjalani kehidupan yang baik,” kata Encik Wicaksono, pengerusi Garda, sebuah persatuan yang mempunyai 7,000 anggota.
Kerjaya tersebut sepatutnya menjadi perhentian atau sementara bagi mereka yang menganggur.
Sebaliknya, ia telah menjadi simbol nasional yang dikatakan oleh ahli ekonomi sebagai krisis pekerjaan di Indonesia: 59 peratus pekerja terperangkap dalam sektor tidak formal, bekerja berjam-jam untuk mendapatkan gaji yang kecil dan hampir tiada jaminan.
Kajian yang disokong Yayasan Gates menganggarkan bahawa pekerja penghantaran memperoleh hanya AS$163 ($210) sebulan di Jakarta – separuh daripada gaji minimum di bandar itu.
Kemarahan mereka berakar pada janji yang dimungkiri oleh pemerintah secara berturut-turut.
“Setiap presiden dan naib presiden berjanji untuk mewujudkan pekerjaan tetapi ini tidak pernah berlaku. Orang muda yang sepatutnya mendapat pekerjaan formal yang baik akhirnya menjadi pekerja penghantaran dan nasib mereka diabaikan,” ujar Encik Wicaksono. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg