Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo dilapor setuju tubuh pasukan bebas siasat keganasan semasa protes

Sep 12, 2025 | 11:00 AM
Indonesia, rusuhan, Prabowo, pasukan bebas siasat keganasan ketika protes
Tokoh Gerakan Nurani Bangsa selepas bertemu Presiden Prabowo Subianto (depan, tiga dari kanan) di Kompleks Istana Presiden, Jakarta pada 11 September 2025, bagi menyampaikan beberapa tuntutan kepada Presiden, termasuk pembentukan pasukan bebas untuk menyiasat kejadian rusuhan di pelbagai lokasi. Encik Prabowo dilaporkan bersetuju dengan cadangan tersebut. - Foto INSTAGRAM PRABOWO SUBIANTO

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dilaporkan bersetuju menubuhkan sebuah pasukan bebas bagi menyiasat dakwaan penggunaan kekerasan berlebihan oleh pihak berkuasa ketika mengendalikan siri bantahan berdarah hujung Ogos lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang.

Keputusan itu diumumkan selepas pertemuan selama tiga jam antara Encik Prabowo dengan Gerakan Nurani Bangsa (GNB), sebuah gabungan tokoh antara agama dengan prodemokrasi, di Istana Presiden pada 11 September.

Antara yang hadir termasuk aktivis antara agama, Cik Alissa Wahid; ulama, Encik Quraish Shihab; Setiausaha Agung Persekutuan Gereja-Gereja Indonesia (PGI), Encik Gomar Gultom; mantan Menteri Agama, Encik Lukman Hakim Saifuddin; dan cendekiawan Muslim, Encik Komaruddin Hidayat.

Selepas mesyuarat, Encik Lukman memberitahu media kumpulan tersebut menyampaikan aspirasi masyarakat sivil dan mahasiswa, termasuk “Tuntutan Rakyat 17+8” yang menekankan reformasi institusi dan pemotongan elaun wakil rakyat.

“Presiden bukan sahaja menerima apa yang kami sampaikan, malah beliau memahami dan membincangkan setiap butiran secara terperinci,” kata Encik Lukman.

Beliau menegaskan hasil utama mesyuarat ialah kesediaan Encik Prabowo menubuhkan pasukan bebas untuk menyiasat kejadian keganasan sepanjang bantahan, termasuk kematian seorang penunggang penghantaran ‘ojek’ berusia 21 tahun, Encik Affan Kurniawan, yang digilis kenderaan taktikal polis pada 28 Ogos.

“Presiden menyetujui pembentukan pasukan itu. Perinciannya nanti akan diumumkan pihak Istana,” jelas Encik Lukman.

Tokoh GNB turut menekankan isu keganasan polis.

Encik Komaruddin Hidayat menarik perhatian bahawa Presiden turut bersetuju menubuhkan sebuah pasukan reformasi institusi polis.

“Ini penting kerana kegusaran masyarakat terhadap penggunaan kekerasan melampau oleh polis semakin meningkat. Presiden sedar perlunya reformasi,” ujarnya.

Selain itu, kumpulan tersebut turut menuntut pembebasan segera mahasiswa dan aktivis yang ditahan semasa bantahan, termasuk pelajar bawah umur.

“Kami meminta supaya anak-anak, mahasiswa dan aktivis yang kini masih ditahan dapat dibebaskan.

“Mereka seharusnya kembali ke sekolah dan kampus, bukan mendekam di penjara,” tambah Encik Lukman.

Sepanjang bantahan pada hujung Ogos hingga awal September, polis menahan ribuan individu atas dakwaan terlibat dalam rusuhan, termasuk membakar balai polis, bangunan pemerintah dan rumah pegawai.

Walaupun kebanyakan mereka sudah dibebaskan, sekitar 500 masih ditahan.

Antara yang ditahan termasuk aktivis media sosial dan pelajar.

Timbalan Menteri Undang-Undang, Encik Otto Hasibuan, mengakui terdapat remaja yang masih dalam tahanan dan menggesa polis mempertimbangkan pembebasan mereka.

“Kami telah meninjau pusat tahanan, dan semua tahanan dilayan dengan baik. Tetapi untuk pelajar, wajar dipertimbangkan supaya mereka dibebaskan,” katanya.

Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, yang turut hadir berkata beberapa tuntutan GNB selaras dengan perancangan Encik Prabowo sendiri.

“Keinginan mereka memang sudah ada dalam fikiran Presiden, terutama soal reformasi polis. Itu memang akan dijalankan,” ujarnya.

Sebelum mesyuarat, pihak pemerintah pada mulanya menolak pembentukan pasukan bebas dengan alasan polis telah melaksanakan tugas dengan baik.

Namun selepas pertemuan dengan GNB, Encik Prabowo dilaporkan bersetuju menubuhkan mekanisme penyiasatan khas.

Dalam sidang media berasingan, Ketua Uskup Jakarta, Encik Ignatius Suharyo, menyeru supaya pemerintah melakukan “taubat nasional” dan mengakui kelemahan dalam menangani bantahan.

“Semua cabang pemerintahan perlu bercermin dan tidak menafikan kesilapan, kerana hanya dengan itu sistem dapat diperbaiki,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg