Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar bantah kuota pekerjaan, desak Bangladesh ditutup sepenuhnya

Jul 18, 2024 | 2:46 PM
Penunjuk perasaan menyekat persimpangan Shahbagh di Dhaka dan mengalihkan pengadang polis semasa bantahan, ‘Bangla Blockade’, pada 11 Julai dengan ratusan pelajar melakukan demonstrasi sejak lapan hari lalu.
Penunjuk perasaan menyekat persimpangan Shahbagh di Dhaka dan mengalihkan pengadang polis semasa bantahan, ‘Bangla Blockade’, pada 11 Julai dengan ratusan pelajar melakukan demonstrasi sejak lapan hari lalu. - Foto EPA-EFE

DHAKA: Para penunjuk perasaan terdiri daripada kalangan pelajar yang menuntut penghapusan kuota pekerjaan pemerintah di Bangladesh telah menggesa penutupan penuh di seluruh negara.

“Kami akan meneruskan rancangan kami untuk penutupan sepenuhnya... Semua pertubuhan akan kekal ditutup,” kata penyelaras bantahan, Encik Nahid Islam, kepada agensi berita Reuters.

“Hanya hospital dan perkhidmatan kecemasan akan kekal beroperasi, dengan perkhidmatan ambulans menjadi satu-satunya pengangkutan yang dibenarkan,” ujarnya.

Pada 17 Julai, Bangladesh mengumumkan penutupan semua universiti awam dan swasta susulan protes pelajar terhadap kuota dalam pekerjaan sektor pemerintah semakin memuncak.

Sekurang-kurangnya enam maut dan ratusan lagi cedera dalam pertempuran antara pelajar dengan polis di serata Bangladesh sejak 9 Julai.

Ia menyaksikan polis menembak peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Beribu-ribu pelajar berdemonstrasi selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan pemerintah yang dimansuhkan pada 2018.

Sistem itu menetapkan 56 peratus daripada jawatan sektor awam diperuntukkan kepada demografi dan kelas tertentu termasuk 30 peratus bagi anggota keluarga pejuang dalam perang kemerdekaan dari Pakistan pada 1971.

Ia mencetuskan kemarahan dalam kalangan pelajar yang menghadapi isu pengangguran dengan hampir 32 juta anak muda Bangladesh tidak bekerja atau belajar.

Demonstrasi semakin tegang selepas Perdana Menteri, Cik Sheikh Hasina, enggan memenuhi tuntutan penunjuk perasaan dan melabel penentang kuota itu sebagai ‘razakar’, istilah digunakan untuk pembelot yang didakwa bekerjasama dengan tentera Pakistan semasa perang 1971.

Bantahan bertukar menjadi ganas sejak awal minggu ini apabila ribuan penunjuk perasaan antikuota bertempur dengan anggota sayap pelajar parti pemerintah, Liga Awami, di seluruh negara.

Cik Hasina berkata pemerintah akan menubuhkan jawatankuasa kehakiman bagi menyiasat enam kematian yang dilaporkan dalam pertempuran pada 16 Julai, termasuk sekurang-kurangnya tiga pelajar.

Protes kali ini adalah cabaran penting pertama kepada pemerintahan Cik Hasina sejak beliau memperoleh penggal keempat berturut-turut pada Januari dalam pilihan raya yang diboikot oleh pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP).

Pihak berkuasa mengerahkan polis antirusuhan dan pasukan separuh tentera selain pengawal sempadan Bangladesh ke kampus universiti di seluruh negara untuk mengawal keselamatan.

Susulan ketegangan itu, Suruhanjaya Geran Universiti mengarahkan semua universiti ditutup dan pelajar mengosongkan premis serta-merta. Dilaporkan, sekolah menengah, kolej dan institusi pendidikan lain juga ditutup. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg