GAZA: Ratusan ribu kanak-kanak di Gaza kembali mengikuti pembelajaran secara bersemuka pada 19 September buat kali pertama dalam tempoh hampir tiga tahun.

Ini meskipun terpaksa belajar di dalam sekolah yang rosak, bangunan sementara, mahupun khemah, di samping ketidakmampuan banyak keluarga untuk menyediakan pakaian seragam, buku nota dan alat tulis.

Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) berkata 98 peratus sekolah di Gaza telah hancur atau mengalami kerosakan sepanjang peperangan tersebut. 

Menurut pegawai pendidikan Gaza, seramai kira-kira 660,000 pelajar telah dinafikan hak untuk belajar secara bersemuka dan menyertai sesi persekolahan seperti biasa.

Pembukaan semula sekolah ini merupakan satu detik bermakna namun amat rapuh bagi Gaza selepas konflik berkenaan mengorbankan sekitar 22,000 pelajar dan lebih 770 pekerja sektor pendidikan, termasuk 532 guru, menurut Pengarah Pendidikan Timur Khan Younis, Encik Ibrahim Ramadan.

“Kali terakhir saya menjejak kaki ke sekolah adalah tiga tahun lalu. Kini, kami akan memulakan tahun persekolahan baharu.

“Ia adalah tahun penuh dengan kegembiraan, kebahagiaan dan kejayaan,” kata pelajar di Khan Younis, Moayed Abu Mustafa.

Moayed berkata dia bertekad untuk terus belajar walaupun terpaksa duduk di atas lantai di dalam khemah yang kurang pengudaraan, tidak mempunyai kasut yang baik mahupun buku nota dan pena, serta kehilangan rakan-rakan sepanjang peperangan tersebut.

“Meskipun terpaksa menghadapi semua ini, kami tetap akan belajar, kami akan belajar walaupun di dalam khemah.”

Meskipun wilayah itu terus dilanda kemusnahan, Kementerian Pendidikan dengan sokongan pertubuhan antarabangsa dan tempatan tetap meneruskan tahun akademik 2026-27 dengan mendirikan puluhan sekolah sementara yang diperbuat daripada khemah, kain tarpal, kepingan logam dan kayu bagi menampung para pelajar.

Sebahagian sekolah dibangunkan di atas tanah berpasir, manakala sesetengah bilik darjah hanya dilengkapi beberapa tilam dan papan hitam yang dipenuhi pelajar. 

Ada juga bangunan sekolah yang masih dijadikan tempat perlindungan bagi puluhan keluarga yang terpaksa berpindah.

Turut menghadiri sesi persekolahan di sebuah sekolah lain ialah Yamen Abu Samra, 14 tahun.

“Dahulu kami bangun pagi dengan gembira untuk ke sekolah... Kini, apabila datang ke sekolah, kami diselubungi ketakutan terhadap peluru, roket, serangan udara dan semuanya,” katanya.

“Sekarang, saya duduk di dalam khemah yang tiada apa-apa langsung, cuma terdedah kepada bahang matahari dan kepanasan,” tambah beliau.

Menurut pegawai pendidikan, sekurang-kurangnya 540,000 pelajar dijangka menghadiri kelas secara bersemuka pada 2026 di sekolah-sekolah swasta sementara, pusat pembelajaran sementara dan pusat pendidikan dengan sokongan Unicef.

Sementara itu, pembelajaran secara dalam talian akan diteruskan bagi mereka yang tidak dapat menghadiri kelas atau yang telah meninggalkan Gaza semasa peperangan tersebut.

Pasukan tentera Israel kekal menguasai lebih 60 peratus wilayah Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata telah dicapai pada 2025, yang berjaya menghentikan pertempuran skala besar namun gagal menamatkan konflik berdarah berkenaan.

Menurut pihak berkuasa Palestin, lebih 73,000 orang telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza, yang dilancarkan selepas Hamas dikatakan mengorbankan sekitar 1,200 orang di selatan Israel pada Oktober 2023.

Agensi tentera Israel, Cogat, yang mengawal laluan masuk ke Gaza, tidak membalas permintaan Reuters untuk mengulas mengenai sekatan bekalan serta serangan ke atas bangunan sekolah.

Israel sebelum ini berulang kali menuduh Hamas menggunakan sekolah bagi tujuan ketenteraan, namun tuduhan itu dinafikan oleh kumpulan berkenaan. – Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti