Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syria umum tempoh peralihan tiga bulan

Jurucakap: Jawatankuasa kehakiman, hak asasi manusia dibentuk kaji perlembagaan sedia ada dan usul pindaan
Dec 13, 2024 | 2:30 PM
Seorang pekerja menurunkan gambar mantan Presiden Syria, Bashar al-Assad, yang digulingkan; mantan presiden Hafez al-Assad; mantan pemimpin Hezbollah Lebanon yang meninggal dunia, Encik Sayyed Hassan Nasrallah; dan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, di sebuah kedai minyak di Nubl, sebuah perkampungan Syiah yang dirampas oleh pemberontak, di kawasan pedalaman Aleppo pada 11 Disember.
Seorang pekerja menurunkan gambar mantan Presiden Syria, Bashar al-Assad, yang digulingkan; mantan presiden Hafez al-Assad; mantan pemimpin Hezbollah Lebanon yang meninggal dunia, Encik Sayyed Hassan Nasrallah; dan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, di sebuah kedai minyak di Nubl, sebuah perkampungan Syiah yang dirampas oleh pemberontak, di kawasan pedalaman Aleppo pada 11 Disember. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Jurucakap baru pemerintahan Syria, Encik Obaida Arnaout, mengumumkan bahawa perlembagaan dan Parlimen negara itu akan digantung sepanjang tempoh peralihan tiga bulan susulan penggulingan Presiden Bashar al-Assad.

“Sebuah jawatankuasa kehakiman dan hak asasi manusia akan dibentuk untuk mengkaji perlembagaan sedia ada dan mencadangkan pindaan,” kata Encik Arnaout dalam satu kenyataan.

Perlembagaan semasa, yang diperkenalkan pada 2012, tidak menyatakan Islam sebagai agama rasmi negara.

Selepas penggulingan Encik Assad oleh kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Hayat Tahrir al-Sham pada 8 Disember, Encik Mohammed Al-Bashir dinamakan sebagai Perdana Menteri sementara hingga 1 Mac.

Encik Arnaout turut memaklumkan bahawa pertemuan akan diadakan antara menteri peralihan dan mantan menteri pentadbiran Assad untuk proses pemindahan kuasa.

“Keutamaan kami ialah memastikan institusi negara terus dilindungi dan berfungsi,” kata Encik Arnaout ketika bercakap pada 12 Disember di ibu pejabat televisyen negara yang kini dikuasai pihak berkuasa baru.

Beliau menambah bahawa pihaknya akan melaksanakan “kedaulatan undang-undang” dengan menegaskan bahawa semua yang melakukan jenayah terhadap rakyat Syria akan diadili secara adil.

Ketika ditanya tentang kebebasan beragama dan individu, Encik Arnaout memberi jaminan bahawa kepelbagaian budaya dan agama di Syria akan dihormati dan kekal tidak berubah.

“Negara ini memerlukan keharmonian antara semua anggota masyarakat untuk membina semula masa depan yang lebih baik,” katanya.

Susulan kejatuhan rejim Assad yang telah memerintah lebih 50 tahun, kuasa-kuasa dunia mula menghantar wakil untuk membincangkan masa depan Syria.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony J. Blinken, bertemu Raja Abdullah II di Jordan sebelum terbang ke Turkey untuk berbincang dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Encik Blinken menegaskan perlunya pemerintah baru Syria menghormati prinsip hak asasi manusia dan memastikan Syria tidak menjadi pangkalan kumpulan pengganas seperti IS.

Beliau turut memberi amaran kepada Israel bahawa kehadiran tentera mereka di zon penampan Syria harus bersifat sementara.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa langkah tersebut bertujuan memastikan kumpulan militan tidak mengambil kesempatan terhadap kekosongan kuasa.

“Israel tidak akan membenarkan kumpulan jihad mengisi kekosongan ini dan mengancam masyarakat kami,” katanya.

Turkey menjadi negara pertama menghantar pegawai tertinggi ke Damsyik sejak kumpulan pemberontak mengambil alih.

Ketua Agensi Perisikan Kebangsaan Turkey, Encik Ibrahim Kalin, dilihat melawat Masjid Umayyad bersama anggota bersenjata.

Bagaimanapun, kunjungan itu menimbulkan kebimbangan berhubung konflik baru antara Turkey dengan pasukan Kurdistan yang disokong Amerika di timur laut Syria.

Encik Blinken menggesa agar dipastikan tiada ketegangan tambahan yang boleh mencetuskan konflik baru.

Pentadbiran sivil yang diketuai Kurdish di timur laut Syria mengibarkan bendera kemerdekaan Syria di semua bangunan pemerintah sebagai simbol penyatuan negara.

Langkah itu dilihat sebagai mesej kepada kerajaan baru di Damsyik bahawa mereka menyokong identiti nasional Syria, walaupun mempunyai hubungan dengan Turkey. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg