Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelan bina semula Gaza diperkecil, hanya projek Rafah dilanjut
Pelan bina semula Gaza diperkecil, hanya projek Rafah dilanjut
Terpaksa diubah akibat serangan Israel yang berterusan
Pelan bina semula Gaza diperkecil, hanya projek Rafah dilanjut
RAFAH: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilaporkan mengecilkan skop pelan pembinaan semula Gaza dengan memberi tumpuan kepada projek perintis di Rafah.
Ia sekali gus menangguhkan rancangan asal membangunkan seluruh wilayah yang musnah akibat perang.
Menurut laporan The Guardian, projek yang dikendalikan Lembaga Keamanan itu akan melibatkan pembinaan petempatan sementara, yang mampu menempatkan sehingga 50,000 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Pelan baharu itu diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Keamanan di Cyprus pada Julai dan dijangka hanya dilaksanakan selepas pilihan raya umum Israel pada Oktober.
Di bawah rancangan itu, kawasan perintis di selatan Rafah akan dilengkapi rumah mudah alih, pentadbiran awam Palestin, pasukan polis Palestin yang disaring oleh Israel, serta Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang bertanggungjawab terhadap keselamatan.
Bagaimanapun, pegawai yang terbabit dalam perancangan berkata, projek itu tidak dijangka beroperasi sebelum penghujung 2026.
Sumber yang mengetahui keputusan lembaga itu berkata perubahan tersebut dibuat berikutan kesukaran melaksanakan pelan pembinaan semula secara menyeluruh ketika operasi ketenteraan Israel di Gaza masih berterusan.
“Tumpuan kini adalah memastikan sekurang-kurangnya satu projek pemulihan dapat dimulakan, walaupun dalam skala kecil,” kata sumber itu.
Laporan itu menyebut persiapan awal sudah dimulakan, dengan ketibaan pegawai dari Maghribi dan Kosovo ke Israel bagi membentuk kumpulan pertama ISF.
Selain itu, sebuah pusat logistik di lintasan Kerem Shalom hampir siap bagi menyokong operasi projek berkenaan.
Namun, imej satelit menunjukkan belum ada sebarang pembinaan kekal di tapak yang dicadangkan berhampiran Rafah.
Diplomat Barat berkata kemajuan projek itu bergantung kepada perkembangan politik selepas pilihan raya Israel pada 27 Oktober.
Seorang diplomat berkata pengurangan skala projek bertujuan memastikan usaha membina semula Gaza tidak terkubur sepenuhnya.
“Ia bertujuan mengekalkan harapan terhadap proses pemulihan dan mengelakkan cadangan yang lebih keras mengambil alih,” katanya.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek itu masih berdepan pelbagai halangan.
Israel masih belum meluluskan petempatan ISF mahupun penugasan pasukan polis Palestin di kawasan berkenaan.
Latihan untuk anggota polis Palestin juga belum dimulakan, manakala kerangka undang-undang bagi petempatan pasukan keselamatan pelbagai negara masih belum dimuktamadkan.
ISF dijangka dianggotai kira-kira 5,000 anggota dari Maghribi, Kosovo serta kemungkinan Albania dan Kazakhstan.
Dari segi kewangan, hanya sebahagian kecil dana yang dijanjikan bagi pelan pembinaan semula Gaza sudah disalurkan.
Lembaga Keamanan kini meneliti beberapa pilihan pembiayaan, termasuk menggunakan hasil cukai Palestin dan aset kewangan Palestin yang dibekukan Israel.
Cadangan itu bagaimanapun ditolak Penguasa Palestin yang menegaskan wang berkenaan adalah hak rakyat Palestin dan perlu diserahkan tanpa sebarang syarat.
Pertubuhan kemanusiaan turut menyuarakan kebimbangan bahawa penumpuan bantuan di satu kawasan perintis sahaja akan menyebabkan sebahagian besar penduduk Gaza terus terpinggir daripada bantuan asas.
Lembaga Keamanan ditubuhkan pada Januari lalu selepas dicadangkan oleh Encik Trump pada September 2025, sebagai sebahagian daripada pelan damai 20 perkara bagi menamatkan konflik di Gaza.
Badan yang dianggotai 27 anggota itu dipengerusikan Encik Trump, manakala bekas Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Nikolay Mladenov, berkhidmat sebagai Wakil Tinggi.
Antara tanggungjawabnya ialah menyelia pentadbiran pascaperang, pembinaan semula Gaza dan penyelarasan aspek keselamatan.
Pelan asal itu disusuli gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Oktober 2026, selepas hampir dua tahun peperangan antara Israel dengan Hamas.
Konflik itu mengorbankan lebih 70,000 rakyat Palestin, memusnahkan sebahagian besar prasarana Gaza dan menyebabkan hampir keseluruhan daripada 2.3 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal.
Bagaimanapun, usaha pembinaan semula hampir tidak bergerak selepas Israel didakwa berulang kali melanggar gencatan senjata.
Menurut laporan itu, lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata bermula, manakala tentera Israel turut memperluaskan kawasan kawalan melepasi “garisan kuning” yang ditetapkan dalam perjanjian.
Israel juga terus mengehadkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan menghalang pasukan teknokrat Palestin daripada memasuki Gaza bagi mengurus pentadbiran harian seperti yang diperuntuk dalam pelan Encik Trump.
Pemerintah Israel menegaskan pentadbiran baharu hanya boleh beroperasi selepas Hamas melucutkan semua senjatanya.
Menurut sumber yang dipetik The Guardian, projek perintis di Rafah akan dibina di zon penampan berhampiran garisan gencatan senjata menggunakan kabin mudah alih bagi menempatkan penduduk yang kehilangan rumah.
Tentera Israel dijangka berundur dari kawasan itu, manakala keselamatan akan dikendalikan oleh ISF bersama pasukan polis Palestin yang mendapat kelulusan Israel.
Seorang sumber mendakwa projek itu mencerminkan strategi Israel untuk mengekalkan kehadiran ketenteraan di Gaza melalui pembentukan zon keselamatan dan petempatan yang dikawal ketat.
“Matlamat akhirnya dilihat mewujudkan keadaan hidup yang semakin sukar sehingga rakyat Palestin terdorong meninggalkan Gaza secara berperingkat,” katanya.
Beliau menyifatkan keadaan itu mengingatkan kepada peristiwa Nakba pada 1948, apabila kira-kira 700,000 rakyat Palestin diusir dari tanah air mereka selepas penubuhan negara Israel.
Dalam masa sama, perang antara Amerika dengan Iran turut menjejas rentak pelaksanaan pelan Encik Trump, manakala pentadbiran beliau kini turut memberi tumpuan kepada pilihan raya pertengahan penggal Kongres yang dijadual berlangsung pada hujung 2026.
Perkembangan itu turut memberi tamparan kepada usaha pengantara Mesir, Qatar dan Turkey, yang selama ini berunding dengan Hamas bagi mencari jalan penyelesaian isu pelucutan senjata untuk membolehkan pelan pembinaan semula Gaza dilaksanakan sepenuhnya.
“Projek perintis ini bukan penamat kepada usaha damai, tetapi ia merupakan satu kemunduran besar terhadap matlamat asal membina semula seluruh Gaza,” kata seorang lagi sumber. – Agensi berita.
