NICOSIA, Cyprus: Wakil pelbagai badan di bawah Lembaga Keamanan yang diterajui Amerika Syarikat (AS) berkumpul di Cyprus minggu ini bagi memperkemas rancangan pentadbiran pascaperang Gaza, termasuk persiapan membawa masuk sekumpulan teknokrat Palestin untuk menggantikan Hamas sebagai pentadbir wilayah itu.

Mesyuarat strategik selama tiga hari itu diadakan ketika usaha membentuk pentadbiran baharu Gaza berdepan pelbagai cabaran politik dan keselamatan selepas hampir enam bulan pelaksanaannya bergerak perlahan.

Seorang diplomat Arab dari negara pengantara berkata pertemuan di Cyprus bertujuan “menilai semula dan menyusun kembali” pendekatan Lembaga Keamanan selepas beberapa halangan yang menjejaskan pelaksanaan awal pelan tersebut.

“Kita perlu menyesuaikan strategi dengan realiti di lapangan. Banyak perkara tidak berjalan seperti yang dijangkakan pada peringkat awal,” katanya.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Lembaga Keamanan menegaskan proses itu masih bergerak mengikut perancangan.

“Ini adalah bengkel rutin bagi menyelaras operasi dan memastikan semua komponen bergerak seiring,” katanya.

Fokus utama mesyuarat ialah persiapan Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah panel teknokrat Palestin yang dibentuk Januari lalu untuk mengambil alih pentadbiran Gaza daripada Hamas.

NCAG yang dianggotai lebih 12 pesuruhjaya kini berpangkalan di Kaherah selepas dipindahkan dari Gaza dan Tebing Barat.

Mereka sejak beberapa bulan lalu menjalani latihan serta menyediakan rangka pentadbiran baharu bagi Gaza.

Antara portfolio di bawah NCAG termasuk kewangan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dalaman, perdagangan, perumahan, utiliti, komunikasi dan kebajikan sosial.

Ketua pesuruhjaya NCAG, Encik Ali Shaath, sebelum ini pernah tampil dalam beberapa wawancara media selepas pelantikannya, tetapi sejak itu mengurangkan penampilan awam susulan arahan ketat Lembaga Keamanan yang melarang ahli panel bercakap kepada media tanpa kebenaran.

Seorang anggota NCAG yang enggan dikenali mengakui wujud rasa kecewa kerana proses peralihan kuasa mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.

“Kami tidak menyangka proses ini akan berlarutan selama ini. Rancangan asal jauh lebih pantas,” katanya.

Utusan khas Gaza bagi Lembaga Keamanan, Encik Nickolay Mladenov, sebelum ini menegaskan halangan terbesar ialah keengganan Hamas menyerahkan senjata mereka.

Menurut diplomat dari Mesir, Qatar dan Turkey, rundingan mengenai pelucutan senjata Hamas masih buntu walaupun terdapat beberapa perkembangan kecil sejak kebelakangan ini.

“Hamas kini tidak lagi menolak sepenuhnya idea pelucutan senjata, tetapi mereka mahu proses itu dilakukan secara berperingkat,” kata seorang diplomat Arab.

Hamas dilaporkan bersedia mempertimbangkan penyerahan senjata polis dan beberapa senjata berat yang masih dimiliki sayap tenteranya selepas kemusnahan besar akibat serangan Israel selama dua tahun.

Bagaimanapun, isu ribuan senapang AK-47 yang masih dimiliki kumpulan itu kekal menjadi pertikaian utama.

“Hamas bimbang mereka kehilangan semua pengaruh jika menyerahkan keseluruhan senjata lebih awal,” katanya lagi.

Dalam masa sama, negara pengantara turut menyalahkan Israel kerana didakwa tidak mematuhi sepenuhnya komitmen fasa pertama gencatan senjata Gaza yang dipersetujui pada Oktober 2025.

Mereka berkata pemerintah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semakin sukar memberi kerjasama menjelang pilihan raya Knesset yang dijangka berlangsung pada musim luruh nanti.

“Peluang mencapai kemajuan besar sebelum pilihan raya itu agak tipis,” kata seorang diplomat.

Sebelum ini, Lembaga Keamanan turut mengadakan bengkel tambahan di Ain Sokhna, Mesir, yang dihadiri keseluruhan anggota NCAG serta beberapa penasihat antarabangsa.

Bengkel dua hari itu memfokuskan penyelarasan teknikal dan operasi, termasuk rancangan pembinaan semula Gaza, sistem kewangan digital, keselamatan serta pembentukan komuniti sementara bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Institut Tony Blair untuk Perubahan Global (TBI) yang dikendalikan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, memainkan peranan penting dalam latihan dan penyediaan strategi NCAG.

Encik Blair sendiri dijadual menghadiri bengkel di Cyprus bersama kira-kira lapan pegawai kanan TBI.

Menurut dokumen agenda yang diperoleh media, Lembaga Keamanan turut merancang penggunaan sistem “dompet digital” bagi mengurangkan pergantungan kepada transaksi tunai dan mempercepatkan pemulihan ekonomi Gaza.

Wakil Bank Dunia juga dijadual menyertai perbincangan di Cyprus.

Selain itu, Lembaga Keamanan sedang mempercepat penubuhan pasukan polis Palestin baharu dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang akan bertanggungjawab menjaga keselamatan serta mengawal sempadan Gaza.

Mesir dilaporkan bersetuju menjadi pusat latihan anggota polis baharu itu manakala empat negara lain sudah bersedia menghantar tentera bagi menyertai ISF.

Namun, kedua-dua pasukan itu masih memerlukan kelulusan rasmi Israel sebelum boleh ditempatkan di Gaza.

“Semua pihak menunggu lampu hijau Israel,” kata seorang diplomat Arab.

Pada Februari lalu, persidangan penderma antarabangsa menjanjikan dana sebanyak AS$17 bilion (S$23 bilion) untuk pembinaan semula Gaza, tetapi hanya sebahagian kecil disalurkan setakat ini.

Beberapa negara Teluk yang menjanjikan sumbangan terbesar dilaporkan terpaksa menyusun semula keutamaan kewangan mereka selepas menjadi sasaran ketegangan serantau melibatkan Iran.

Dalam perkembangan lain, Lembaga Keamanan juga merancang pembinaan komuniti sementara pertama di Rafah, kawasan yang kini berada di bawah kawalan tentera Israel dan dikenali sebagai “zon hijau”.

Namun, rancangan itu turut menimbulkan persoalan sama ada rakyat Palestin sanggup berpindah ke kawasan yang dikawal Israel serta sama ada NCAG akan kehilangan legitimasi jika beroperasi di bawah penguasaan tentera Israel.

Walaupun rundingan pelucutan senjata Hamas masih belum menemui jalan penyelesaian, Lembaga Keamanan dilihat terus bergerak dengan pelan pembinaan semula dan pentadbiran baharu Gaza.

“Kami sedang menyediakan pelan yang serius untuk mentadbir Gaza secara berkesan,” kata seorang anggota NCAG.

“Tetapi semakin lama proses ini tertangguh, semakin sukar ia untuk dilaksanakan.”- Agensi berita