NEW YORK: Enam orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh selepas sebuah helikopter persiaran terhempas di Sungai Hudson di New York pada 10 April, mencetuskan operasi menyelamat air besar-besaran.
Semua penumpang dalam perjalanan bagi bersiar-siar itu – juruterbang dan keluarga dari Sepanyol – meninggal dunia.
“Pada masa ini, kesemua enam mangsa telah dikeluarkan daripada air. Dan, malangnya, kesemua enam mangsa telah disahkan meninggal dunia,” kata Mayor Bandar New York, Encik Eric Adams, dalam sesi taklimat.
Menurut beliau tragedi tersebut merupakan “kemalangan yang menyayat hati dan tragik”.
“Tiga orang dewasa dan tiga kanak-kanak berada dalam helikopter Bell 206 yang berlepas dari pusat bandar Skyport pada 3 petang (3 pagi pada 11 April di Singapura),” kata Encik Adams.
Penyelam Jabatan Polis Bandar Raya New York (NYPD) dan Jabatan Bomba Bandar Raya New York (FDNY) bertungkus lumus menarik mangsa daripada serpihan helikopter, katanya.
Pesuruhjaya polis Cik Jessica Tisch berkata: “Penyelam NYPD menarik empat orang dari lokasi nahas, dan penyelam FDNY menemui dua yang lain. Langkah menyelamatkan nyawa segera dilakukan di tempat kejadian, serta jeti bersebelahan.
“Empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dan dua lagi telah dipindahkan ke hospital tempatan tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami.”
Helikopter itu berlepas sekitar 3 petang, terbang ke selatan sebelum menuju ke pantai Manhattan ke Jambatan George Washington.
Ia kemudian berpatah balik ke arah heliport pusat bandar Manhattan tetapi hilang kawalan dan terhempas di perairan dekat Jeti Hoboken, kata Cik Tisch.
Pesuruhjaya polis berkata pesawat itu dikendalikan oleh syarikat New York Helicopter, yang tidak menjawab permintaan untuk komen tetapi menyenaraikan Bell 206 antara armadanya.
Polis daripada New York dan New Jersey, yang terletak di seberang sungai daripada Manhattan, berada di tempat kejadian bersama dengan kapal pasukan bomba.
Saluran NBC4 melaporkan bahawa helikopternya sendiri tidak dapat berlepas kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.
Seorang saksi berkata bilah pemutar helikopter itu kelihatan “pecah di ruang udara”.
“Dan selepas ia berkecai, helikopter berputar dan kemudian terhempas ke dalam air,” kata pereka fesyen Cik Belle Angel.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata ia dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan menyiasat kejadian itu.
Dalam hantaran di media sosial, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyifatkan kemalangan itu sebagai “mengerikan”. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg