Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelancong S’pura, M’sia banjiri Batam
Pelancong S’pura, M’sia banjiri Batam
Batam raih manfaat apabila dolar S’pura, ringgit mengukuh; rangsang ekonomi tempatan
Pelancong S’pura, M’sia banjiri Batam
BATAM: Peningkatan jumlah pelancong dari Singapura dan Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini memberi nafas baharu kepada sektor perdagangan dan perusahaan kecil di Batam, Indonesia, apabila ramai pengunjung mengambil kesempatan terhadap kadar tukaran mata wang yang memihak kepada mereka untuk membeli-belah dan berbelanja di bandar pulau itu.
Pusat beli-belah Nagoya Hill Mall, antara pusat membeli-belah terbesar di Batam, merekodkan sekitar 150,000 pengunjung sepanjang minggu lalu, meningkat berbanding kira-kira 130,000 pengunjung pada minggu-minggu sebelumnya.
Pengurusan pusat beli-belah itu berkata peningkatan ketara disumbangkan terutama oleh pelancong dari Malaysia, selain pengunjung dari Singapura yang turut mengambil peluang membeli-belah ketika musim cuti sekolah yang panjang.
Pengurus Operasi dan Perhubungan Awam Nagoya Hill Mall, Encik M. Haris Fadillah, berkata jumlah pelancong antarabangsa meningkat sekitar 40 peratus berbanding bulan-bulan sebelumnya.
“Terdapat peningkatan sekitar 40 peratus pelawat asing, dengan kebanyakannya datang dari Malaysia. Pelancong dari Singapura dan Malaysia datang ke Batam untuk membeli-belah,” katanya.
Menurut beliau, pusat beli-belah, restoran dan kedai cenderamata di seluruh Batam kini semakin sibuk, terutama pada hujung minggu dan musim cuti.
Keadaan itu turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya peniaga makanan tempatan dan produk cenderamata.
Seorang penjual kek lapis di Nagoya Hill yang dikenali sebagai Cik Lia berkata sebahagian besar pelanggannya kini terdiri daripada pelancong asing dari Singapura dan Malaysia.
“Mereka biasanya membeli kek lapis sebagai buah tangan dan sekali beli boleh ambil antara lima hingga 10 kotak,” katanya.
Beliau berkata antara perisa paling popular ialah original, coklat dan prun.
Kenaikan jumlah pelancong itu berlaku ketika nilai rupiah terus lemah berbanding dolar Singapura dan ringgit Malaysia.
Ringgit Malaysia dilaporkan mengukuh sekitar 17 peratus berbanding rupiah dalam tempoh setahun kepada sekitar 4,370 rupiah, manakala dolar Singapura meningkat kira-kira 12 peratus kepada 13,838 rupiah.
Perkembangan itu menyebabkan ramai pelancong merasakan harga barangan di Batam jauh lebih murah berbanding di negara mereka sendiri.
Seorang pelancong dari Malaysia, Cik Nur, berkata beliau sering melancong ke Batam dan menganggap bandar itu antara destinasi kegemarannya di Indonesia.
“Kami datang ke Indonesia untuk bercuti dan menikmati makanan. Saya suka melancong di Indonesia termasuk di Jawa. Di Batam saya suka nasi padang dan makanan laut,” katanya.
Seorang lagi pelancong Malaysia, Cik Habibah, yang pertama kali berkunjung ke Batam berkata beliau tertarik dengan pelbagai pilihan produk tempatan selain harga yang lebih murah.
“Di Batam mudah cari barang dan harganya lebih murah berbanding di Malaysia,” katanya.
Peningkatan jumlah pelawat turut dapat dilihat di kawasan tumpuan seperti Pasar Penuin; BCS Mall, Grand Mall Batam dan kawasan Thamrin Nagoya yang kini sesak dengan pengunjung asing.
Penduduk tempatan yang bekerja di kawasan Nagoya, Cik Dilla, berkata pusat beli-belah di bandar itu kini sibuk hampir setiap hari, termasuk pada hari bekerja.
“Saya memang hampir setiap hari ke Grand Mall Batam dan memang ramai pelancong dari Singapura dan Malaysia,” katanya.
“Biasanya hanya hujung minggu ramai, tetapi sekarang hari biasa pun masih ada ramai pelancong Singapura dan Malaysia,” tambahnya.
Pengerusi Persatuan Pengurup Wang Asing (APVA), Encik Amat Tantoso, berkata kelemahan rupiah dipercayai menjadi antara faktor utama peningkatan ketibaan pelancong dari Singapura dan Malaysia.
“Harga di Singapura dan Malaysia semakin mahal, jadi mereka memilih datang ke Batam untuk membeli-belah sambil bercuti,” katanya.
Menurut beliau, ramai pelancong datang dengan bagasi kosong sebelum pulang dengan barangan keperluan harian yang dibeli di Batam.
“Mereka bukan sekadar membeli cenderamata, malah membeli barang dapur dan keperluan harian. Cuba lihat pasar Ahad, memang penuh dengan pelancong Singapura dan Malaysia,” katanya.
Encik Amat menganggarkan sekitar 10,000 pelancong mengunjungi Batam setiap hujung minggu.
Selain membeli-belah, pelancong asing turut memanfaatkan harga makanan, rawatan spa, salon dan urutan yang jauh lebih murah berbanding di negara mereka.
“Di sana satu hidangan makanan boleh mencecah 1 juta rupiah hingga 1.5 juta rupiah, tetapi di Batam dengan 100,000 rupiah sudah boleh makan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan pelancong datang pada Sabtu dan Ahad serta bermalam di hotel-hotel sekitar Batam, sekali gus meningkatkan kadar penghunian hotel.
“Hotel sekarang kebanyakannya penuh pada hujung minggu. Ada juga persatuan perniagaan dari Malaysia mengadakan mesyuarat di Batam,” katanya.
Menurut Encik Amat, kehadiran pelancong asing memberi peluang besar kepada ekonomi Batam, terutama ketika kuasa beli penduduk tempatan sedang menurun.
“Aliran pelancong ini sangat membantu ekonomi tempatan. Ia bukan sahaja menghidupkan sektor pelancongan tetapi juga membantu perdagangan, hotel, restoran dan PKS di Batam,” katanya. – Agensi berita.
