JAKARTA: Kejatuhan nilai rupiah Indonesia kini mula mengubah corak pelancongan di negara itu apabila pelancong asing mengambil peluang menikmati kos percutian lebih murah, manakala rakyat Indonesia pula semakin mengurangkan perjalanan ke luar negara kerana kos yang semakin tinggi.

Di Pantai Sanur, Bali, seorang pelancong dari Australia berkata pengukuhan dolar Australia berbanding rupiah membolehkannya melanjutkan tempoh percutian.

“Dengan mata wang kami lebih kuat sekarang, kami putuskan untuk tinggal lebih lama,” katanya sambil menjelaskan lebihan wang itu juga membolehkannya membeli lebih banyak cenderamata sebelum pulang.

Fenomena itu semakin ketara di Bali apabila ramai pelancong asing memanjangkan tempoh penginapan kerana nilai mata wang mereka kini memberikan kuasa beli lebih tinggi di Indonesia.

Pengusaha hotel di pulau peranginan itu turut mengakui berlaku peningkatan tempahan terutama daripada pelancong Australia dan Malaysia.

Dolar Amerika Syarikat, dolar Australia, dolar Singapura dan ringgit Malaysia kini mampu menyewa lebih banyak bilik hotel, makanan restoran dan perkhidmatan spa di Indonesia berbanding beberapa bulan lalu.

Rupiah yang terus merosot sejak awal tahun akhirnya melepasi paras 18,000 rupiah ($1.28 ) bagi setiap dolar Amerika pada 4 Jun.

Keadaan itu berlaku ketika pasaran saham Indonesia turut menjunam ke paras terendah dalam tempoh lima tahun susulan kebimbangan pelabur terhadap kesan harga minyak dunia yang tinggi terhadap kewangan negara.

Indeks Komposit Jakarta jatuh sehingga 5.2 peratus sebelum ditutup susut 4.1 peratus.

Sehingga kini, indeks itu telah merosot sekitar 32 peratus sepanjang 2026, menjadikannya antara prestasi terburuk di dunia tahun 2026 ini.

Pada masa sama, rupiah turut lemah berbanding dolar Singapura dan mata wang utama Asia lain apabila harga minyak mentah Brent meningkat untuk hari ketiga berturut-turut.

Setakat petang 4 Jun, rupiah didagangkan sekitar 14,001 rupiah bagi setiap dolar Singapura.

Mata wang Indonesia itu telah susut kira-kira 8.6 peratus berbanding dolar Singapura sepanjang tahun 2026 ini.

Bagaimanapun, kelemahan rupiah memberi kelebihan kepada sektor pelancongan Indonesia.

Bali menjadi antara penerima manfaat terbesar apabila ketibaan pelancong asing ke pulau itu mencecah 553,328 orang pada April, meningkat 17 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Pelancong Australia menyumbang lebih satu perempat daripada jumlah tersebut.

Kadar penginapan hotel bertaraf bintang turut meningkat kepada 58 peratus, manakala vila dan penginapan kecil melaporkan peningkatan tempahan.

Secara keseluruhan, Indonesia menerima 1.25 juta pelancong asing pada April, menjadikan jumlah ketibaan bagi empat bulan pertama 2026 sebanyak 4.68 juta orang, angka tertinggi sejak sebelum pandemik Covid-19.

Malaysia kekal sebagai pasaran pelancong terbesar ke Indonesia, diikuti Australia dan China.

Pengerusi Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia (PHRI), Encik Hariyadi Sukamdani berkata kelemahan rupiah menjadikan Indonesia lebih menarik sebagai destinasi pelancongan.

“Rupiah yang lebih lemah memang menjadikan Indonesia lebih menarik kerana pelancong asing mendapat nilai lebih baik untuk wang mereka,” katanya.

Namun beliau menegaskan bahawa faktor mata wang sahaja tidak mencukupi untuk menjamin ledakan pelancongan.

“Walaupun begitu, ia tetap mengukuhkan daya tarikan Indonesia terutama di pasaran berhampiran seperti Malaysia dan Australia,” katanya.

Di sebalik manfaat kepada sektor pelancongan asing, rakyat Indonesia pula semakin berhati-hati untuk melancong ke luar negara.

Encik Hariyadi berkata ramai rakyat kelas pertengahan kini menangguhkan percutian luar negara kerana kos penerbangan, hotel dan membeli-belah semakin mahal akibat kelemahan rupiah.

Ketegangan geopolitik di Asia Barat turut menambah kebimbangan pelancong.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia (Asita), Encik Budijanto Ardiansjah berkata tempahan ke destinasi seperti Dubai, Abu Dhabi, Qatar, Eropah dan Amerika menunjukkan penurunan ketara.

“Kejatuhan rupiah menjadi salah satu sebab pengurangan perjalanan luar negara selain ketegangan geopolitik dan kesannya terhadap ekonomi global,” katanya.

Menurut beliau, ramai pelancong kini memilih untuk memendekkan tempoh percutian atau meninggalkan pakej lengkap dan merancang perjalanan sendiri bagi menjimatkan kos.

Data menunjukkan jumlah rakyat Indonesia yang melancong ke luar negara pada April hanya 643,660 orang, turun 19 peratus berbanding bulan sebelumnya dan susut 30.5 peratus berbanding April tahun lalu.

Namun, kelembapan itu bukan bermakna rakyat Indonesia lebih banyak melancong dalam negara.

Di Nusa Tenggara Barat yang meliputi Lombok dan Sumbawa, jumlah pelancong domestik merosot antara 40 hingga 60 peratus berbanding tahun 2025.

Badan Pusat Statistik Indonesia (BPS) turut melaporkan perjalanan pelancongan domestik susut kepada 97.55 juta perjalanan pada April, turun 23 peratus berbanding Mac.

Kenaikan harga tiket penerbangan akibat kelemahan rupiah dan kos bahan api yang tinggi menjadi antara faktor utama.

Selain itu, hotel, restoran dan pengusaha pengangkutan turut berdepan peningkatan kos operasi terutama melibatkan barangan import.

Timbalan Pemasaran Kementerian Pelancongan Indonesia, Cik Ni Made Ayu Marthini bagaimanapun menyifatkan kelemahan rupiah sebagai peluang untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

Pemerintah kini memberi tumpuan promosi kepada negara berhampiran di Asia dan Australia yang mempunyai penerbangan lebih pendek dan kadar tukaran lebih menguntungkan.

Pada masa sama, Jakarta turut merancang subsidi sementara cukai tiket penerbangan domestik kelas ekonomi ketika cuti sekolah dan musim perayaan hujung tahun bagi membantu mengurangkan harga tambang sekitar lima peratus.

Namun pemerhati ekonomi memberi amaran bahawa tekanan terhadap rupiah dan pasaran kewangan Indonesia dijangka berterusan sekiranya harga minyak dunia kekal tinggi dan keyakinan pelabur terus merosot. - Agensi berita