Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelantikan menteri luar sementara Indonesia cetus spekulasi

Jan 23, 2024 | 2:17 PM
BERLAKU KEJUTAN: Pelantikan Menteri Komunikasi dan Penerangan, Encik Budi Arie Setiadi, sebagai menteri ehwal luar sementara ketika Menteri Luar, Cik Retno Marsudi (kanan), berada di luar negara menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai konflik Gaza, di Geneva.
BERLAKU KEJUTAN: Pelantikan Menteri Komunikasi dan Penerangan, Encik Budi Arie Setiadi, sebagai menteri ehwal luar sementara ketika Menteri Luar, Cik Retno Marsudi (kanan), berada di luar negara menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai konflik Gaza, di Geneva. - Foto AFP

JAKARTA: Pelantikan Menteri Komunikasi dan Penerangan, Encik Budi Arie Setiadi, sebagai menteri ehwal luar sementara telah mencetuskan kejutan di tengah-tengah laporan mengenai perpecahan kabinet.

Isu perpecahan itu telah ditolak oleh Kementerian Ehwal Luar dan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang juga turut menegaskan bahawa pemerintahnya kekal bersatu.

Encik Budi melaksanakan tugas jawatan sementara itu dari 21 hingga 22 Januari, apabila Menteri Ehwal Luar, Cik Retno Marsudi, menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai konflik Gaza, di ibu pejabat badan dunia itu di New York.

Kementerian Luar berkata melantik penjaga pada masa sedemikian adalah protokol biasa.

“Cik Retno sendiri sudah beberapa kali menjadi menteri sementara,” kata jurucakap Kementerian Ehwal Luar, Encik Lalu Muhamad Iqbal, pada 21 Januari.

Encik Iqbal berkata Menteri Dalam Negeri, Encik Tito Karavan, pernah dilantik sebagai menteri ehwal luar sementara selama kira-kira seminggu, semasa Cik Retno melakukan kunjungan ke Afrika pada tahun 2023.

Pada akhir bulan ini, Cik Retno dijadualkan menghadiri Mesyuarat Menteri Luar Asean di Laos.

Pada hujung minggu, Timbalan Menteri Ehwal Luar, Encik Pahala Mansury, telah mengetuai delegasi Indonesia pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-19 di Kampala, Uganda.

Pelantikan sementara Encik Budi dibuat selepas spekulasi yang meningkat minggu lalu bahawa 15 menteri, terutamanya Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, dan Menteri Kerja Raya dan Perumahan, Encik Basuki Hadimuljono, merancang untuk meletakkan jawatan, kurang sebulan sebelum pilihan raya umum kerana kebimbangan pelanggaran etika pemerintah.

Khabar angin itu muncul selepas Encik Faisal Basri, seorang pakar ekonomi kanan di Universiti Indonesia, menggesa peletakan jawatan beberapa menteri dalam kabinet Encik Jokowi dan menamakan Cik Retno antara 15 menteri yang bakal berundur.

Khabar angin peletakan jawatan itu juga muncul berikutan kemerosotan hubungan antara Encik Jokowi dan pendukungnya, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Cik Megawati Soekarnoputri.

Hubungan antara mereka mencapai tahap paling rendah, apabila Presiden Jokowi membenarkan anaknya, Encik Gibran Rakabuming Raka, menyertai tiket presiden Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, menentang calon PDI-P, Encik Ganjar Pranowo.

Beberapa menteri kabinet dikatakan kurang senang dengan tindakan itu dan melihatnya sebagai percubaan Encik Jokowi untuk menggenggam kuasa melalui anaknya sebagai proksi.

Masa pelantikan sementara menteri ehwal luar, Encik Budi menjadi perbincangan di media sosial, di mana netizen terus membuat spekulasi bahawa kabinet Encik Jokowi semakin berpecah-belah.

Majoriti menteri yang terperangkap dalam khabar angin peletakan jawatan masih belum mengesahkan atau menafikan dakwaan itu setakat ini.

Cik Sri Mulyani telah mengelak pertanyaan pihak media dengan menjawab, “Saya bekerja.”

Sementara Cik Retno dilaporkan mengelak dengan memberikan jawapan yang jelas dengan mengatakan beliau sibuk dengan jadual di luar negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg