JALURAN GAZA: Pemain pasukan bola sepak kebangsaan Palestin Suleiman al-Obeid telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas penduduk yang cuba mendapatkan bantuan di Gaza pada 6 Ogos.
Beliau diberi jolokan “Pele of Palestinian football” atau “Pele Bola Sepak Palestin” selepas pemain bola sepak profesional Brazil itu, dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.
Sepanjang kerjayanya yang panjang, pemain Gaza itu menjaringkan lebih daripada 100 gol, menjadikannya salah satu bintang paling cemerlang dalam sejarah bola sepak Palestin.
“Bekas pemain pasukan kebangsaan dan bintang pasukan Khadamat al-Shati, Suleiman Al-Obeid, meninggal dunia selepas tentera pendudukan Israel menyasarkan penduduk yang menunggu bantuan kemanusiaan di selatan Jaluran Gaza,” kata Persatuan Bola Sepak Palestin dalam satu kenyataan.
Beliau dilaporkan sedang beratur bersama para penduduk untuk mendapatkan makanan apabila tentera Israel melepaskan tembakan.
Dengan kematian al-Obeid, jumlah atlet dan anggota keluarga mereka yang terbunuh di Gaza sejak permulaan perang Israel telah meningkat kepada 662 orang.
Jumlah kematian berkaitan bola sepak di Gaza kini berjumlah 321, termasuk pemain, jurulatih, pentadbir, pengadil dan anggota lembaga kelab.
Al-Obeid memulakan kerjayanya dengan kelab Khadamat al-Shati di Gaza, sebelum menyertai barisan Kelab Pusat Belia Al-Amari di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Di peringkat antarabangsa, al-Obeid menyertai 24 perlawanan antarabangsa dengan Al-Fida’i, menjaringkan dua gol, yang paling terkenal adalah gol sepakan gunting menentang pasukan kebangsaan Yaman semasa Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Barat 2010.
Bintang bola sepak itu meninggalkan seorang isteri dan lima anak.
Lebih 1,300 rakyat Palestin terbunuh berhampiran tapak pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza yang kontroversi sejak ia mula beroperasi pada akhir Mei.
Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh ketika mencari bantuan pada 6 Ogos, kata sumber perubatan di tengah-tengah krisis kelaparan yang semakin meningkat di wilayah itu akibat tindakan Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap bekalan bantuan kemanusiaan.
Dalam pada itu, Hospital Gaza telah merekodkan empat kematian baru akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Ini menjadikan jumlah kematian berkaitan kelaparan kepada 197 orang, termasuk 96 kanak-kanak, sejak Israel melancarkan perangnya ke atas Gaza pada Oktober 2023.
Kebanyakan kematian berlaku ketika masalah kebuluran semakin genting di Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg