Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis air meluas burukkan masalah kebuluran di Gaza

Aug 5, 2025 | 1:03 PM
Krisis air, kelaparan, Gaza
Penduduk Palestin terpaksa bergantung pada air bawah tanah untuk kelangsungan hidup di tengah-tengah krisis air bersih dan kebuluran yang melanda Gaza. - Foto AFP

JALURAN GAZA: Serangan udara tidak berkesudahan, hidup berpindah-randah, kebuluran dan dibelenggu krisis air yang tidak pernah berlaku sebelum ini menambah kesengsaraan penduduk di wilayah Palestin.

Mentelah lagi Gaza sudah pun mengalami krisis air sejak perang hampir 22 bulan antara Israel dengan Hamas yang telah merosakkan lebih 80 peratus prasarana air di wilayah itu.

“Kadang-kadang, saya rasa badan saya kering, amat dahaga sehingga menjejas tenaga saya dan anak-anak saya,” kata Cik Um Nidal Abu Nahl, ibu empat orang anak yang tinggal di Bandar Gaza.

Trak air kadangkala sampai kepada penduduk dan badan bukan pemerintah pula memasang paip di kem untuk segelintir penduduk yang bertuah.

Namun, ia masih jauh daripada mencukupi.

Israel dikatakan menyalurkan semula air di utara Gaza menerusi syarikat air Israel, Mekorot, selepas memotong bekalan pada awal perang, tetapi penduduk mendakwa air masih tidak mengalir.

Pihak berkuasa tempatan berkata ini disebabkan perang yang menyebabkan banyak saluran paip musnah, sekali gus menjejas rangkaian penyaluran air di Gaza.

Jurucakap Bandar Gaza, Encik Assem al-Nabih, berkata bahagian rangkaian perbandaran yang dibekalkan oleh Mekorot tidak berfungsi sejak hampir dua minggu.

Telaga yang membekalkan keperluan air juga telah rosak, dengan beberapa daripadanya dicemari oleh kumbahan yang tidak dirawat akibat konflik.

Banyak telaga di Gaza tidak boleh diakses kerana ia berada di dalam zon tempur aktif, terlalu dekat dengan kemudahan tentera Israel atau di kawasan yang tertakluk pada arahan pemindahan.

Bahkan telaga yang biasanya menggunakan pam elektrik telah berkurangan sejak Israel mematikan bekalan kuasa Gaza sebagai sebahagian daripada strategi perangnya.

Penjana boleh menghidupkan pam, tetapi keutamaan penghantaran bahan api yang terhad, diberikan kepada hospital.

Loji penyahgaraman Gaza telah ditutup, kecuali satu tapak dibuka semula minggu lalu selepas Israel memulihkan bekalan elektriknya.

Encik Nabih selanjutnya menyatakan bahawa lebih 75 peratus telaga tidak berfungsi; 85 peratus peralatan kerja raya musnah; 100,000 meter saluran air rosak; dan 200,000 meter pembetung tidak dapat digunakan.

Untuk mencari air, ratusan ribu orang terpaksa menggorek dalam usaha mengeluarkan air bawah tanah menerusi telaga.

Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah memberi amaran hampir 100 peratus air bawah tanah Gaza tidak sesuai untuk diminum.

Tetapi, penduduk Gaza tiada pilihan dan terpaksa bergantung pada air bawah tanah yang payau itu untuk kelangsungan hidup. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg