Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluncur ombak korban tertusuk ikan todak

Oct 23, 2024 | 1:42 PM
Cik Guilia Manfrini, 36 tahun ditusuk jongor ikan todak semasa meluncur ombak di Indonesia.
Cik Guilia Manfrini, 36 tahun ditusuk jongor ikan todak semasa meluncur ombak di Indonesia. - Foto GUILIAMANFRINI/FACEBOOK

Ucapan takziah telah disampaikan oleh ramai penggemar sukan luncur ombak menyusuli kematian seorang penggemar sukan itu baru-baru ini akibat tertusuk jongor (muncung yang panjang) seekor ikan todak.

Cik Giulia Manfrini, 36 tahun yang berasal dari Turin di utara Italy sedang meluncur ombak di daerah kepulauan Mentawai, di wilayah Sumatra Barat, sebelum insiden itu berlaku pada 18 Oktober lalu.

Dua saksi dilaporkan cuba memberikan bantuan kecemasan kepada Cik Manfrini – yang kemudian dibawa ke sebuah pusat perubatan – selepas jongor ikan todak itu tertusuk pada dadanya.

Encik James Colston yang merupakan seorang rakan kongsi sebuah firma pelancongan bersama Cik Manfrini, berkata di Instagram:

“Meskipun dengan usaha berani pasangan beliau, kakitangan pusat peranginan setempat dan doktor, Giulia tidak dapat diselamatkan.”

Pemangku Ketua Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Kepulauan Mentawai, Encik Lahmudin Siregar berkata kepada agensi Antara:

“Maklumat yang kami terima daripada Ketua Daerah Barat Daya Siberut bahawa satu kemalangan berlaku melibatkan seorang warga Italy semasa meluncur.

“Secara tidak diduga seekor ikan todak melonjak ke arah Cik Manfrini dan menusuk ke dada beliau.”

Cik Manfrini dilaporkan cedera parah akibat kesan kecederaan sedalam lima sentimeter di bahagian kiri dadanya.

Beliau juga telah dikejarkan ke klinik berdekatan tetapi tidak dapat diselamatkan.

Ia disaksikan oleh dua peluncur ombak lain, dalam laporan itu sebagai Encik Massimo Ferro dan Encik Alexandre Ribas, yang telah berusaha memberikan bantuan kecemasan sebaik mungkin.

Cik Manfrini berkelulusan dalam bidang undang-undang dari bandar Venaria Reale, di mana bapanya adalah seorang peguam dan ibunya seorang doktor, lapor The Standard.

Beliau pada mulanya bekerja sebagai jurulatih meluncur salji yang kemudian belajar meluncur ombak dan bekerja sebagai jurulatih luncur ombak dan berpindah ke Bali.

Mayatnya akan dihantar pulang ke Italy.

Penghormatan kepada peluncur ombak itu telah muncul di akaun media sosialnya.

Cik Manfrini diiktiraf sebagai tokoh terkemuka dalam sukan meluncur ombak, lapor akhbar Newsweek.

Satu komen mengatakan:

“Laut, yang telah memberi anda begitu banyak (peluang), telah meragut nyawa anda. Berehatlah dengan tenang”.

Encik Fabio Giulivi, datuk bandar kampung halaman Cik Manfrini, berkata:

“Seluruh masyarakat mengucapkan takziah kepada keluarganya.

“Berita kematiannya telah mengejutkan kami semua, kami berasa tidak berdaya menghadapi tragedi yang meragut nyawanya terlalu awal.”

Kematian akibat tertusuk ikan todak jarang berlaku.

Ikan todak dewasa boleh membesar sehingga 4.5 meter dan mencecah seberat 450 kilogram.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg