Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu bas dihadap ke mahkamah selepas nahas maut di Australia

Jun 13, 2023 | 12:55 PM
PECUT BAWA MAUT: Sepuluh orang terbunuh dan ramai cedera apabila bas yang membawa tamu pengantin terbalik ekoran dipandu terlalu laju dalam satu kemalangan di Australia.
PECUT BAWA MAUT: Sepuluh orang terbunuh dan ramai cedera apabila bas yang membawa tamu pengantin terbalik ekoran dipandu terlalu laju dalam satu kemalangan di Australia. - Foto EPA-EFE

SYDNEY: Pemandu bas berusia 58 tahun, yang membawa tamu pengantin, dihadapkan ke mahkamah Australia pada Selasa atas dakwaan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan nahas yang meragut nyawa 10 penumpangnya.

Brett Andrew Button boleh dipenjara beberapa tahun selepas polis mendakwa dia memandu “terlalu laju” dalam keadaan cuaca berkabus, sejurus sebelum tengah malam Ahad.

Ekoran tindakannya itu, Button mengakibatkan nahas yang disifatkan sebagai paling buruk dalam masa 16 tahun di Australia.

Semasa kejadian, Button membawa 35 penumpang, namun dia gagal mengawal kenderaan tersebut di bulatan. Bas itu terbabas lalu terbalik di pinggir jalan, mengakibatkan sembilan orang terbunuh serta-merta.

Sebelum itu, para penumpang bas berkenaan telah meraikan perkahwinan pasangan muda di Wandin Estate Winery yang berdekatan – sebuah kawasan yang indah pemandangan di Australia, di daerah wain dihasilkan di Lembah Hunter.

Seorang lagi penumpang meninggal dunia kemudian di hospital.

Lagi 14 orang penumpang yang merupakan tamu majlis perkahwinan itu masih dirawat di hospital, termasuk seorang dalam jagaan rapi.

Button, lelaki setempat, tampil di mahkamah Cessnock dengan menundukkan kepalanya sepanjang berada di mahkamah sehingga majistret, Cik Robyn Richardson, terpaksa bersuara.

“Saya melihat di hadapan saya ini seorang lelaki yang sedang menderita,” katanya, lalu membenarkan ikat jamin dengan syarat Button tidak cuba mendekati saksi-saksi pendakwa atau terus memandu kenderaan.

“Saya turut khuatir terhadap keadaan Encik Button,” katanya.

Mangsa-mangsa nahas itu berusia antara 20 dengan 60 tahun. Selain mangsa yang terkorban, para penumpang lain mengalami kecederaan berbentuk luka-luka, terseliuh dan patah tulang.

Polis berkata mereka masih lagi mengumpul maklumat siasatan.

Para pegawai berkata ujian awal kandungan alkohol daripada pemandu berkenaan adalah negatif, namun, mereka menuduh Button memecut sehingga para penumpang merungut sebelum nahas itu berlaku.

Nahas itu mencetuskan kejutan meluas sehingga Perdana Menteri, Encik Anthony Albanese, menyampaikan ucapan takziah lebih awal kepada mangsa-mangsa nahas itu.

“Hari yang seharusnya menggembirakan ini berakhir dengan tragedi meragut nyawa dan mencederakan – sungguh kejam, duka dan sangat tidak wajar,” kata beliau. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg