LONDON: Seorang pemandu kereta api terkorban apabila dua buah kereta api bertembung di utara London pada 19 Jun, dalam satu insiden rempuhan yang turut menyebabkan 11 orang cedera parah, menurut Polis Pengangkutan British pada 20 Jun.

Nahas tersebut berlaku pada lewat petang berhampiran Bedford, sebuah bandar sekitar 90 kilometer di utara ibu negara Britain.

Ia melibatkan dua kereta api menghala ke London yang berada di atas landasan sama, menurut laporan East Midlands Railway.

“Malangnya, seorang mangsa disahkan maut di tempat kejadian. Beliau merupakan pemandu bagi salah sebuah kereta api yang terlibat,” kata Polis Pengangkutan dalam satu kenyataan.

Seramai 33 orang secara keseluruhan telah dikejarkan ke hospital, termasuk 11 mangsa yang berada dalam keadaan serius, tambah polis.

Sementara itu, seramai 56 orang lagi dirawat bagi kecederaan.

Setiausaha Pengangkutan, Cik Heidi Alexander, berkata ia “terlalu awal untuk membuat spekulasi” mengenai punca sebenar nahas berkenaan.

“Kami akan memastikan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana pertembungan tersebut boleh berlaku dan memastikan pengajaran dapat diambil agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi,” kata Cik Alexander.

Seorang penumpang di dalam salah sebuah kereta api terlibat, Encik Paul Cavin, memberitahu media:

“Kereta api kami sedang berhenti dan tiba-tiba kami dirempuh dari arah belakang dengan sangat kuat.”

Kereta api yang dinaikinya itu sedang dalam perjalanan menuju ke stesen St Pancras di London.

“Terdapat penumpang yang cedera di dalam gerabak saya,” katanya.

Encik Cavin turut menambah beliau lihat ramai mangsa yang tercedera berjalan keluar meninggalkan kereta api, dengan beberapa orang mengalami “kecederaan parah di bahagian hidung”.

Seorang lagi penumpang, Encik Brett Byatt, memberitahu radio BBC pada 20 Jun:

“Pagi ini, segalanya terasa seperti sukar dipercayai dan saya rasa perasaan saya kini mula bertukar menjadi marah. Saya berasa sangat marah.”

Kejadian pertembungan kereta api jarang berlaku di Britain.

Pada September 2023, beberapa orang dilaporkan cedera selepas dua buah kereta api bertembung di stesen Aviemore di kawasan tanah tinggi Scotland Highlands. – AFP.