SEOUL: Parti Demokrat, pembangkang utama Korea Selatan, memutuskan tidak akan mendakwa Perdana Menteri Encik Han Duck-soo berhubung pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember, kata pemimpin parti, Encik Lee Jae-myung pada 15 Disember.
Dalam satu taklimat akhbar, Encik Lee berkata beliau telah bercakap dengan Encik Han dan menggesa pemangku presiden itu supaya kekal “berkecuali” dan mengelak daripada mengambil bahagian dalam politik.
Encik Lee juga mencadangkan mewujudkan badan dwipartisan yang melibatkan Parlimen dan pemerintah untuk membincangkan dasar dan bajet.
Encik Han dilantik sebagai pemangku presiden pada 14 Disember selepas Presiden Yoon Suk Yeol didakwa atas keputusannya untuk mengenakan undang-undang tentera.
Encik Yoon telah dicabar dalam undian kedua oleh Parlimen yang diketuai pembangkang berhubung percubaan jangka pendeknya untuk mengenakan undang-undang tentera pada 3 Disember, satu langkah yang mengejutkan negara.
Politik Korea juga kacau-bilau akibat tindakan Encik Yoon itu yang menyaksikan undang-undang tentera dilaksanakan dalam tempoh enam jam apabila ia ditarik balik sejurus selepas itu.
Parti Demokrat pembangkang utama yang diterajui Encik Lee sebelum ini memfailkan aduan terhadap Encik Han untuk disertakan dalam siasatan kerana gagal menyekat percubaan Encik Yoon untuk melaksanakan undang-undang tentera.
Para anggota Parlimen pada 14 Disember telah mengundi mendakwa Encik Yoon atas undang-undang tentera yang gagal, dengan pembangkang mengisytiharkannya sebagai “kemenangan rakyat”.
Pendakwa Raya Korea Selatan pada awal 15 Disember memohon waran tangkap untuk menahan ketua Komando Peperangan Khas Tentera, Encik Kwak Jong-keun, berhubung peranannya dalam pengisytiharan undang-undang tentera tergempar Encik Yoon, lapor agensi berita Yonhap.
Waran itu difailkan atas tuduhan melakukan pemberontakan dan salah guna kuasa, dengan Encik Kwak dituduh menghantar tentera ke Dewan Negara pada malam 3 Disember.
Beliau juga dituduh bersubahat dengan Encik Yoon dan bekas Menteri Pertahanan Encik Kim Yong-hyun untuk menghasut rusuhan yang bertujuan menjatuhkan Perlembagaan, kata laporan itu.
Encik Kwak, yang telah pun digantung tugas, kini diletakkan di bawah perintah larangan perjalanan berhubung penyiasatan perisytiharan undang-undang tentera Encik Yoon. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg