Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Korea S rampas ‘telefon rahsia’ mantan menteri pertahanan

Dipercayai ada bukti komunikasi dengan presiden tentang arahan isytihar undang-undang tentera
Dec 13, 2024 | 3:24 PM
Penunjuk perasaan yang menyertai  perhimpunan lilin bagi menuntut pemecatan Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, mengangkat sepanduk mengecam Ahli Parlimen Parti Kuasa Rakyat yang tidak mengambil bahagian dalam undian pendakwaan  Encik Yoon di hadapan pejabat parti itu di Seoul pada 12 Disember.
Penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan lilin bagi menuntut pemecatan Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, mengangkat sepanduk mengecam Ahli Parlimen Parti Kuasa Rakyat yang tidak mengambil bahagian dalam undian pendakwaan Encik Yoon di hadapan pejabat parti itu di Seoul pada 12 Disember. - Foto AFP

SEOUL: Penyiasat polis Korea Selatan telah merampas telefon rahsia yang digunakan oleh mantan menteri pertahanan, Encik Kim Yong-hyun, yang disyaki terlibat dalam pengisytiharan undang-undang tentera singkat atas arahan Presiden Yoon Suk Yeol.

Telefon itu, yang dilaporkan panggilannya tidak boleh dipintas atau dirakam, dipercayai mengandungi bukti penting, termasuk komunikasi antara Encik Kim dengan Presiden Yoon berkaitan arahan pada 3 Disember itu.

Telefon tersebut ditemui pada 12 Disember oleh pasukan penyiasat khas gabungan polis dan Kementerian Pertahanan yang menyiasat kejadian tersebut.

Pasukan khas itu, yang dibentuk sehari sebelumnya, melaksanakan operasi rampasan di ibu pejabat Kementerian Pertahanan yang terletak dalam kawasan pejabat presiden, lapor agensi berita Yonhap.

Laporan menyebut Encik Yoon dan Encik Kim menggunakan telefon selamat untuk menyampaikan arahan kepada komander di lapangan sepanjang enam jam undang-undang tentera itu berkuat kuasa dari 3 hingga 4 Disember.

Sebelum ini, polis gagal merampas telefon tersebut dalam serbuan ke atas pejabat dan kediaman rasmi Enck Kim pada 8 Disember.

Namun, Encik Kim ditangkap pada 10 Disember atas tuduhan “melaksanakan tugas kritikal semasa pemberontakan” dan “menyalah guna kuasa bagi menghalang pelaksanaan hak”.

Encik Kim, yang telah meminta maaf dan mengaku bertanggungjawab sepenuhnya atas pengisytiharan undang-undang tentera itu, cuba membunuh diri di pusat tahanan Seoul.

Namun, pegawai penjara mengesahkan beliau kini dalam keadaan stabil dan ditahan dalam sel keselamatan.

Sementara itu, Presiden Yoon berdepan undian pendakwaan kedua pada 14 Disember selepas percubaan pertama gagal akibat diboikot oleh kebanyakan ahli partinya, Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Beberapa ahli PPP kini menyatakan sokongan terhadap undian pendakwaan itu.

Gelombang bantahan terus berlaku di seluruh Korea Selatan, termasuk di ibu kota Seoul dan pulau Jeju, dengan rakyat menyeru Presiden Yoon meletak jawatan.

“Kami tidak boleh menerima seorang presiden yang menyalah guna kuasa untuk kepentingan politiknya sendiri,” kata seorang penunjuk perasaan di Seoul.

Pihak berkuasa kini memberi tumpuan untuk menyiasat kandungan telefon tersebut, yang mungkin menjadi kunci bagi membuktikan sama ada undang-undang tentera itu dirancang secara tidak sah.

Rampasan itu dilihat sebagai langkah penting dalam membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg