Topic followed successfully
Go to BHkuPembelian 21,000 motosikal oleh agensi makanan percuma Indonesia cetus kritikan
Pembelian 21,000 motosikal oleh agensi makanan percuma Indonesia cetus kritikan
Pembelian 21,000 motosikal oleh agensi makanan percuma Indonesia cetus kritikan
JAKARTA: Badan Gizi Nasional (BGN) menghadapi kritikan yang semakin meningkat terhadap pembelian lebih 21,000 motosikal elektrik untuk ketua dapur dalam program makanan percuma.
Ini sekali gus meningkatkan kebimbangan tentang pembaziran perbelanjaan dalam program tersebut.
Ketua BGN, Encik Dadan Hindayana, berkata pembelian motosikal berkenaan termasuk dalam belanjawan 2025 agensi itu dan bertujuan untuk melancarkan operasi dapur program tersebut.
“Perolehan ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan program makanan berkhasiat percuma di seluruh negara,” katanya pada 7 April.
Data pemerintah menunjukkan BGN telah memperoleh 21,801 motosikal elektrik daripada 25,000 unit yang dirancang, dengan anggaran kos lebih daripada 1 trilion rupiah ($75 juta).
Motosikal tersebut adalah model Emmo JVX-GT, berharga kira-kira 49.95 juta rupiah setiap satu, dan dikeluarkan oleh firma kenderaan elektrik Indonesia PT Adlas Sarana Elektrik.
Encik Dadan berkata kenderaan tersebut masih belum diedarkan, kerana ia mesti didaftarkan terlebih dahulu sebagai aset milik negara sebelum digunakan.
Video motosikal yang dibeli BGN baru-baru ini tular di media sosial, mencetuskan reaksi orang ramai dan menimbulkan persoalan tentang keperluan untuk menyediakan motosikal kepada ketua dapur, serta keberkesanan program itu.
Pemerintah telah memperuntukkan 335 trilion rupiah pada 2026 untuk program makanan percuma, yang memanfaatkan kira-kira 82.9 juta pelajar, kanak-kanak dan wanita hamil di seluruh negara setiap hari.
Pengkritik memberi amaran ia boleh mengalihkan sumber daripada keutamaan teras, termasuk meningkatkan gaji untuk berjuta tutor tambahan dan membaiki beribu sekolah usang.
Perbelanjaan lain juga telah menarik perhatian, termasuk 6.9 bilion rupiah untuk stokin dan 504 bilion rupiah untuk komputer dan tablet untuk kakitangan dapur.
Kesemua perbelanjaan itu dibuat ketika pemerintah melaksanakan langkah penjimatan belanjawan negara di tengah-tengah kenaikan harga tenaga yang didorong oleh perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran.
Menteri Kewangan Encik Purbaya Yudhi Sadewa berkata cadangan untuk membeli motosikal dan komputer untuk program makanan percuma telah dikemukakan pada 2025 tetapi ditolak kerana ia tidak dianggap sebagai keutamaan.
“Saya akan menyemak laporan perolehan ini dengan lebih lanjut,” katanya.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya IX Dewan Perwakilan Rakyat, Encik Charles Honoris, yang menyelia kesihatan dan keselamatan sosial, berkata penggubal undang-undang akan memanggil pegawai BGN untuk menjelaskan perolehan motosikal berkenaan. – Agensi berita.

