ISTANBUL: Setelah lebih empat dekad menentang pemerintah Turkey, pemimpin Parti Pekerja Kurdistan (PKK), Abdullah Ocalan, mengeluarkan seruan bersejarah kepada kumpulan yang diasaskannya supaya menghentikan perjuangan bersenjata.
Pengumuman itu dibuat pada 27 Februari dan diikuti dengan pengisytiharan gencatan senjata oleh PKK dua hari kemudian.
Perkembangan itu menandakan potensi berakhirnya konflik yang telah meragut lebih 40,000 nyawa sejak 1984.
Namun, persoalan utama kini adalah bagaimana pemerintah Turkey, khususnya Presiden Recep Tayyip Erdogan, akan bertindak balas terhadap seruan tersebut.
“Saya menyeru agar meletakkan senjata dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas seruan ini,” tulis Ocalan dalam kenyataannya.
Beliau turut menekankan bahawa PKK perlu mengadakan kongres bagi merancang pembubaran organisasi tersebut.
Dalam kenyataan yang sama, Ocalan mengaitkan pengakhiran konflik bersenjata dengan keperluan pembaharuan demokrasi di Turkey, sekali gus meletakkan tekanan kepada Encik Erdogan untuk memperbaiki layanan pemerintah terhadap masyarakat Kurdi dan wakil politik mereka.
Ocalan, yang masih dipenjara di Pulau Imrali di Turkey tanpa kemungkinan dibebaskan dengan parol, tidak dapat menghadiri pengumuman itu secara langsung.
Sebaliknya, kenyataan beliau dibacakan oleh sekumpulan pemimpin veteran Kurdi di Istanbul dan ditayangkan di pelbagai bandar di Kurdistan.
Walaupun ada yang kecewa kerana beliau tidak dapat berucap secara langsung, pengumuman itu turut disertai dengan penerbitan gambar terkini Ocalan, yang pertama dalam tempoh 12 tahun.
Pengumuman itu bukan sesuatu yang mengejutkan, kerana ia hasil perbincangan yang telah berlangsung selama hampir setahun.
Banyak pihak berpendapat bahawa Encik Erdogan memerlukan sokongan pengundi Kurdi untuk meminda perlembagaan bagi membolehkannya terus berkuasa selepas 2028.
Usaha untuk berdamai dengan Ocalan mungkin dapat menarik sebahagian pengundi Kurdi, walaupun mereka masih mengingati bagaimana rundingan damai pada 2015 berakhir dengan kegagalan dan penindasan terhadap parti politik Kurdi.
Selain itu, faktor geopolitik di Timur Tengah turut memainkan peranan penting.
Dengan perang di Gaza dan kejatuhan rejim Encik Bashar al-Assad di Syria, kedudukan Turkey di rantau tersebut semakin kukuh.
Penyelesaian isu Kurdi, khususnya di sempadan Turkey-Syria, akan memperkukuh lagi pengaruh geopolitik Ankara.
Malah, perbincangan antara pemerintah Turkey dengan Ocalan mula diketahui umum sejak Oktober 2024 apabila pemimpin Parti Gerakan Nasionalis (MHP), Encik Devlet Bahceli, mengusulkan bahawa Ocalan mungkin diberi parol jika PKK dibubarkan.
Sejak itu, pemerintah Turkey telah melonggarkan sekatan lawatan Ocalan, membolehkannya berunding dengan pemimpin gerakan sivil Kurdi.
Parti Demokratik Rakyat (DEM) turut berperanan menyampaikan mesej beliau kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk parti Kurdi di Iraq dan pemimpin Pasukan Demokratik Syria (SDF), Mazloum Abdi.
Menurut penyelidik di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Warwick, Cik Mujge Kucukkeles, pengumuman tersebut adalah detik bersejarah, tetapi masih dipenuhi dengan ketidaktentuan.
“Ketiadaan garis masa yang jelas serta jaminan daripada pemerintah Turkey menyebabkan sesetengah pihak Kurdi berasa ragu-ragu,” katanya.
Berdasarkan kenyataan Encik Ocalan, jelas beliau mengaitkan pengakhiran perjuangan bersenjata dengan pembaharuan demokrasi di Turkey.
Walaupun konflik bersenjata berterusan, gerakan sivil Kurdi telah berkembang pesat dan mereka kini mahukan pengiktirafan yang lebih besar dalam arena politik Turkey.
Parti DEM, sebagai wakil politik utama Kurdi, mengharapkan pembebasan tahanan politik, perlindungan bagi mantan anggota PKK yang meletakkan senjata serta pemulihan hak politik mereka.
Namun sehingga kini, pemerintah Turkey masih menunjukkan pendekatan tegas terhadap kumpulan yang dianggap mempunyai kaitan dengan PKK.
Malah, beberapa hari sebelum pengumuman Ocalan, pihak berkuasa Turkey telah melancarkan serbuan besar-besaran ke atas pengkritik pemerintah termasuk kumpulan Kurdi.
Sejak pilihan raya tempatan 2024, pemerintah juga telah menggantikan 10 datuk bandar yang dipilih secara demokratik dengan pegawai yang dilantik oleh Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Encik Erdogan.
Selain itu, operasi ketenteraan Turkey terhadap PKK di luar negara terus berjalan.
Pada 21 Februari, pasukan khas Turkey bertempur dengan pejuang PKK di wilayah Kurdistan, Iraq.
Sehari sebelum pengumuman Ocalan, serangan udara Turkey di timur laut Syria mengorbankan 12 orang, termasuk lapan orang awam.
Serangan udara itu berterusan walaupun selepas pengumuman gencatan senjata oleh PKK.
PKK telah menyatakan bahawa mereka mengharapkan pembebasan Ocalan dan mahu beliau secara peribadi mengetuai pembubaran kumpulan itu.
Walaupun terdapat cadangan awal daripada Encik Bahceli bahawa Ocalan mungkin diberi parol, langkah itu masih dilihat sebagai sesuatu yang sukar diterima oleh pemerintah Turkey.
Dalam konteks Syria, pengumuman Ocalan turut memberi kesan besar kepada masa depan pentadbiran Kurdi di wilayah itu.
Pasukan Pertahanan Rakyat (YPG), yang menjadi tunjang kepada Pasukan Demokratik Syria (SDF), sering dikaitkan dengan PKK oleh pemerintah Turkey, walaupun pemimpin Kurdi di Syria menegaskan bahawa kedua-dua organisasi itu berbeza.
Beberapa jam selepas pengumuman Ocalan, Encik Mazloum Abdi, mengalu-alukan kenyataan tersebut tetapi menegaskan bahawa ia hanya terpakai kepada PKK dan tiada kaitan dengan SDF.
Namun, Turkey jelas tidak menerima pandangan tersebut.
Jurucakap AKP, Encik Omer Celik, menegaskan bahawa “semua cabang organisasi pengganas di Iraq dan Syria mesti meletakkan senjata dan membubarkan diri mereka”.
Pemimpin serantau, termasuk Presiden Wilayah Kurdistan Iraq, Encik Nechirvan Barzani, menyambut baik kenyataan Ocalan dan berharap ia dapat membawa kestabilan ke seluruh rantau.
Namun, banyak pihak masih ragu-ragu sama ada harapan itu akan menjadi realiti.
Menurut Zamil Kanan di Brookings Institution, Cik Asli Aydintasbas, langkah itu boleh membantu Encik Erdogan mengukuhkan sokongan politiknya di dalam negara dan mengurangkan beban ketenteraan Turkey di luar negara.
Cik Aydintasbas menegaskan bahawa rundingan itu juga didorong oleh perubahan geopolitik, termasuk ketidaktentuan di Syria dan peranan Amerika Syarikat dalam menyokong SDF.
Namun, cabaran terbesar bagi Encik Erdogan ialah memenuhi tuntutan masyarakat Kurdi tanpa menjejas sokongan daripada sekutu nasionalisnya.
“Orang Kurdi menjangkakan jaminan politik dan perundangan, termasuk pembebasan tahanan politik dan perubahan dalam undang-undang antipengganasan,” kata Cik Aydintasbas.
Perkembangan seterusnya bergantung kepada bagaimana pemerintah Turkey bertindak balas.
Seperti yang dinyatakan oleh Cik Kucukkeles:
“Ini adalah detik bersejarah, tetapi persoalan utama adalah sama ada ia akan membawa kepada keamanan yang berkekalan atau sekadar menjadi satu lagi episod dalam konflik yang panjang.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg