Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Turkey bersedia jadi pemain utama dalam babak baru Syria

Mar 3, 2025 | 5:30 AM
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan (kanan), dan Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, bersalaman semasa sidang media bersama selepas pertemuan mereka di Istana Presiden di Ankara, pada 4 Februari.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan (kanan), dan Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, bersalaman semasa sidang media bersama selepas pertemuan mereka di Istana Presiden di Ankara, pada 4 Februari. - Foto AFP

ANKARA: Turkey dilihat sebagai negara yang bakal memainkan peranan penting dalam masa depan Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024.

Turkey, yang sejak sekian lama terlibat dalam konflik Syria, kini berpotensi untuk menjadi salah sebuah negara yang memberi arah baru kepada negara yang dilanda peperangan ini.

Daripada aspek ekonomi, ketenteraan, hingga ke kapasiti birokrasi, Turkey dijangka akan memberi pengaruh besar dalam membentuk Syria pascakonflik.

Pada 4 Februari, Presiden pemerintah sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, mengadakan lawatan penting ke Ankara dan bertemu dengan Presiden Turkey, Recep Tayyip Erdogan.

Lawatan itu menjadi penanda bahawa hubungan Turkey-Syria akan memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan masa depan negara itu.

Encik Sharaa tiba di Turkey selepas melawat Arab Saudi, yang merupakan negara asing pertama yang dikunjunginya selepas gabungan pemberontak yang dipimpin oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menggulingkan pentadbiran Assad pada Disember.

Semasa di Ankara, Encik Sharaa dan Encik Erdogan membincangkan masa depan hubungan Syria-Turkey, dengan tumpuan utama diberikan kepada isu ekonomi dan keselamatan.

Lawatan ini menekankan pentingnya peranan Turkey dalam masa depan Syria.

Kejatuhan Assad membuka peluang kepada Turkey untuk muncul sebagai ‘pemenang besar’ di Syria, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pengaruh Iran dan Russia yang semakin berkurangan.

Peranan politik Turkey dalam Syria semakin jelas, terutama dengan kemungkinan perjanjian pertahanan antara kedua-dua negara.

Sebagai contoh, Turkey dijangka akan memperluas jejak ketenteraannya di Syria, bukan hanya di kawasan sempadan, bahkan juga di kawasan padang pasir tengah Syria, tempat dua pangkalan udara Turkey akan dibina.

Ia bukan hanya akan mengubah landskap keselamatan, malah memberi kesan kepada hubungan Turkey-Israel, terutama dalam menghadapi potensi ketenteraan Israel terhadap Syria pasca-Assad.

Walaupun terlalu awal untuk mengesahkan perjanjian tersebut, hubungan ekonomi antara Syria dengan Turkey dijangka akan berkembang pesat.

Syarikat pembinaan, pengangkutan, dan pengilangan Turkey kini melihat peluang besar untuk beroperasi di Syria selepas konflik.

Terdapat harapan bahawa perdagangan dua hala antara kedua-dua negara akan meningkat tiga kali ganda dalam tempoh akan datang.

Sejak kejatuhan Encik Assad, pemerintah baru di Damsyik sedang berusaha keras untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Lawatan rasmi oleh para pemimpin asing, termasuk Encik Sharaa yang turut melawat negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Turkey, Italy dan Switzerland, memainkan peranan penting dalam usaha diplomatik itu.

Seperti yang dijelaskan oleh penganalisis Timur Tengah, Encik Aron Lund: “Sharaa telah secara bertahap-tahap membina pengaruh dan kehadiran di peringkat antarabangsa.’’

Dalam usaha ini, pemerintah baru Syria mengambil pendekatan berhati-hati dalam menjaga keseimbangan, mengelakkan ketegangan dengan negara-negara Arab tertentu.

“Syria kini lebih rapat dengan Turkey dan Qatar, namun mereka juga berusaha mendekati kuasa Arab lain seperti Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengelakkan sebarang ketegangan yang tidak perlu,” kata Encik Lund.

Lawatan pertama Encik Sharaa ke negara asing bukanlah ke Turkey, tetapi ke Arab Saudi, kerana ia penting untuk mengelakkan sebarang ketegangan dengan elit Arab.

“Penting bagi Sharaa untuk melakukan lawatan rasmi ke negara Arab terlebih dahulu sebelum Turkey,” tambah Encik Lund.

Menurut penolong profesor dari Institut Timur Tengah Universiti Sakarya, Dr Mustafa Caner, lawatan Encik Sharaa ke Turkey adalah manifestasi daripada kenyataan bahawa “Turkey adalah penyumbang politik dan keselamatan yang paling penting untuk Syria selepas Assad”.

Turkey katanya, bukan sahaja memberi sokongan dari segi kewangan, bahkan juga membina kapasiti ketenteraan dan birokrasi yang akan membentuk masa depan Syria.

Salah satu aspek penting yang dibincangkan semasa pertemuan antara Encik Sharaa dengan Encik Erdogan adalah cabaran keselamatan yang dihadapi oleh Syria.

Encik Erdogan menegaskan bahawa Turkey bersedia membantu Syria dalam memerangi kumpulan pengganas seperti ISIS dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang bersekutu dengan kumpulan Kurdish Syria, Unit Perlindungan Rakyat (YPG) di Syria.

“Saya ingin menyatakan kepuasan kami terhadap komitmen kuat yang ditunjukkan oleh saudara saya, Ahmed al-Sharaa, dalam memerangi keganasan,” kata Encik Erdogan dalam satu sidang media.

“Saya beritahu Sharaa bahawa kami bersedia memberikan sokongan yang diperlukan kepada Syria dalam memerangi semua jenis pengganasan, sama ada ISIS atau PKK,” tambah Encik Erdogan.

Di bawah naungan tentera Amerika, YPG merupakan organisasi dominan dalam Angkatan Demokratik Syria (SDF).

Namun, pemerintah Syria yang diterajui oleh Encik Sharaa menegaskan bahawa kehadiran YPG yang terlalu berkuasa dan tidak berada di bawah kawalan pemerintah pusat adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

Dalam usaha untuk menyelesaikan isu itu, pemerintah Syria di bawah Encik Sharaa telah mengadakan perbincangan dengan YPG, namun hasilnya masih belum memuaskan.

Jika perbincangan itu gagal, Syria akan berhadapan dengan konflik dengan pasukan yang disokong oleh Amerika di timur laut Syria.

Bagi Turkey, cabaran utama di Syria melibatkan pemerintah Encik Sharaa masih lemah dan ia berada dalam keadaan ekonomi yang hampir muflis.

Ini menimbulkan persoalan tentang kestabilan jangka panjang pemerintah baru itu.

Encik Lund turut menekankan bahawa “pemerintah baru Syria harus menunjukkan kemajuan dalam pemulihan ekonomi dan pengaturan semula kumpulan pemberontak”.

Tanpa kemajuan ini, ketegangan akan terus meningkat di Syria, dan kekecewaan terhadap elit baru yang memerintah akan semakin memuncak.

Selain itu, Turkey juga perlu menangani isu kepulangan pelarian Syria dari Turkey ke tanah air mereka.

Pemerintah Encik Erdogan berdepan tekanan besar untuk memastikan proses itu berjalan dengan lancar, namun cabaran besar tetap ada.

“Kepulangan pelarian adalah masalah jangka panjang yang memerlukan sokongan ekonomi, bantuan dan pelaburan dari negara-negara luar,” kata Encik Lund.

Keupayaan politik, ketenteraan, dan birokrasi Turkey memberi keyakinan bahawa negara itu akan memainkan peranan yang tidak dapat dielakkan dalam pentadbiran Syria yang baru.

Dr Caner menambah: “Peranan strategik Turkey adalah penting untuk pemerintah baru Syria.

“Syria yang stabil, makmur, dan utuh dari segi wilayah akan memberi manfaat langsung kepada kestabilan dan kesejahteraan ekonomi Turkey.”

Dalam pengertian ini, hubungan antara Turkey dengan Syria bukan hanya menguntungkan kedua-dua pihak, bahkan ia juga merupakan perkongsian yang saling menguntungkan dalam menghadapi masa depan yang penuh cabaran.

Sebagaimana yang disimpulkan oleh Dr Caner: “Kerjasama antara kedua-dua negara adalah peluang bersejarah untuk bergerak melepasi pola konflik yang telah berlarutan selama hampir seabad.

“Ini adalah peluang bagi kedua-dua negara menjalin hubungan yang lebih baik, dan akhirnya, Turkey berharap dapat menjadi sebahagian daripada proses pembinaan semula Syria, dengan membangun kerjasama yang lebih kukuh dengan Damsyik,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg