Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah baru Syria dijangka ambil alih 1 Mac, dialog kebangsaan dirancang

Feb 13, 2025 | 11:16 AM
Seorang lelaki melintasi barisan tentera Syria semasa perarakan tentera yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan Syria bersempena tamat latihan lebih 300 askar di bandar Aleppo, utara Syria, pada 12 Februari 2025.
Seorang lelaki melintasi barisan tentera Syria semasa perarakan tentera yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan Syria bersempena tamat latihan lebih 300 askar di bandar Aleppo, utara Syria, pada 12 Februari 2025. - Foto EPA-EFE

DAMSYIK: Pemerintah sementara Syria mengumumkan pembentukan pemerintahan baru akan mengambil alih tugas pada 1 Mac, menggantikan kabinet sementara yang dibentuk selepas kejatuhan Bashar al-Assad.

Pengumuman itu turut disertai pelancaran sebuah jawatankuasa persediaan bagi sidang dialog kebangsaan untuk membincangkan masa depan politik Syria.

Pemerintah baru ini dijangka memikul tanggungjawab besar, termasuk membina semula institusi negara selepas lebih 50 tahun pemerintahan keluarga Assad, serta menghidupkan kembali ekonomi yang lumpuh akibat hampir 14 tahun perang saudara.

Di samping itu, pemerintah ini perlu menangani kebimbangan antarabangsa berhubung asal-usul jihad kumpulan pemberontak yang kini memimpin negara, sambil memastikan perlindungan terhadap minoriti di negara berbilang etnik dan agama ini.

“Pemerintah yang akan dilancarkan pada 1 Mac nanti akan mewakili rakyat Syria sebanyak mungkin dan mengambil kira kepelbagaian mereka,” kata Menteri Luar Syria, Asaad Hassan al-Shaibani, pada Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia di Emiriah Arab Bersatu pada 12 Februari.

Beliau menambah bahawa rakyat Syria akan menjadi “rakan kongsi dalam perubahan,” sambil menyatakan bahawa pelbagai perubahan pada pelan hala tuju politik telah dibuat berdasarkan perundingan dengan masyarakat diaspora dan sivil.

Pemerintah sementara yang dipimpin oleh Encik Mohammad al-Bashir akan terus menjalankan tugas sehingga pemerintahan baru dilantik. Pada Januari 2025, pemimpin kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Encik Ahmed al-Sharaa, yang memainkan peranan utama dalam kejatuhan Assad, dilantik sebagai presiden sementara.

Beliau turut merancang pembentukan badan perundangan peralihan dan pembubaran parlimen era Assad serta Parti Baath yang telah menguasai Syria selama beberapa dekad.

Pejabat Presiden Sharaa pada 12 Februari mengumumkan pembentukan jawatankuasa tujuh anggota untuk menyediakan sidang dialog kebangsaan. Jawatankuasa ini termasuk dua wanita dan akan bertanggungjawab sehingga deklarasi akhir sidang dikeluarkan.

Sidang ini bertujuan menjadi platform perbincangan untuk mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai masa depan politik Syria.

Walaupun terdapat jaminan bahawa wanita akan diberikan peranan dalam pembentukan Syria baru, aktivis menyuarakan kebimbangan terhadap hak dan perwakilan mereka. Pegawai pula menegaskan komitmen mereka untuk menjadikan wanita sebagai sebahagian daripada pentadbiran negara.

Dalam perkembangan lain, kumpulan pembangkang utama yang sebelum ini berpangkalan di luar negara telah memindahkan fail-fail penting mereka ke Damsyik, sebagai sebahagian usaha membubarkan institusi sivil dan ketenteraan yang dibentuk semasa konflik.

Encik Bader Jamous, ketua Suruhanjaya Rundingan Syria (SNC), mengesahkan bahawa pembubaran ini sedang melalui proses undang-undang yang akan mengambil masa.

Beliau turut menyatakan bahawa ahli-ahli suruhanjaya dan pakar berkaitan akan menjadi sebahagian daripada negara Syria untuk menyokong pembinaannya semula.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Presiden Russia Vladimir Putin mengadakan panggilan telefon dengan Encik Sharaa, menandakan komunikasi pertama antara kedua-dua pihak sejak kejatuhan Assad pada Disember.

Kremlin menggambarkan perbualan itu sebagai konstruktif, dengan Encik Putin menegaskan sokongan Russia terhadap perpaduan, kedaulatan, dan integriti wilayah Syria.

Bagaimanapun, tiada perbincangan lanjut mengenai nasib pangkalan tentera Russia di Tartous dan Hmeimim, yang sangat penting untuk keupayaan Russia mengimbangi kuasa di Mediterranean dan Timur Tengah. “Kami menghargai sokongan Rusia, tetapi masa depan Syria kini berada di tangan rakyatnya sendiri,” kata seorang pegawai kanan Syria. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg