Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden baru Syria bentuk pemerintah peralihan, jamin pilihan raya bebas

Jan 31, 2025 | 10:18 AM
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani (kiri), disambut oleh Presiden sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, semasa ketibaannya di Damsyik. Lawatan ini mencatat sejarah sebagai kunjungan pertama seorang ketua negara Qatar ke Syria sejak penggulingan mantan Presiden Bashar al-Assad.
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani (kiri), disambut oleh Presiden sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, semasa ketibaannya di Damsyik. Lawatan ini mencatat sejarah sebagai kunjungan pertama seorang ketua negara Qatar ke Syria sejak penggulingan mantan Presiden Bashar al-Assad. - Foto AFP

DAMSYIK: Presiden baru Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, mengumumkan bahawa beliau akan membentuk pemerintah peralihan inklusif yang mewakili pelbagai komuniti untuk membina institusi dan mentadbir negara sehingga pilihan raya yang bebas lagi adil dapat diadakan.

Dalam ucapannya yang pertama sejak dilantik sebagai presiden untuk tempoh peralihan pada 29 Januari oleh kumpulan bersenjata yang menggulingkan bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, Encik Sharaa menekankan komitmennya untuk memulihkan keamanan dan kestabilan negara setelah 13 tahun dilanda perang saudara.

“Kami akan membentuk sebuah badan legislatif kecil untuk mengisi kekosongan parlimen sehingga pilihan raya baru dapat diadakan,” kata Encik Sharaa dalam ucapannya pada 30 Januari.

Beliau juga berjanji akan mengumumkan pembentukan jawatankuasa yang akan mempersiapkan persidangan dialog kebangsaan sebagai platform untuk rakyat Syria membincangkan masa depan politik negara.

“Ini akan diikuti dengan pengisytiharan perlembagaan baru,” tambahnya, merujuk kepada proses menggubal perlembagaan baru Syria yang dijangka memakan masa sehingga empat tahun.

Pelantikan Encik Sharaa sebagai ketua negara sementara disambut baik oleh beberapa pemimpin Arab. Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, menjadi ketua negara pertama yang melawat Damsyik sejak Encik Assad digulingkan pada 8 Disember tahun lalu.

Dalam pertemuan mereka pada 30 Januari, Sheikh Tamim menekankan “keperluan mendesak untuk membentuk pemerintah yang mewakili semua lapisan rakyat Syria,” menurut kenyataan dari istana diraja Qatar.

Qatar, yang lama menyokong pembangkang Syria yang menentang Encik Assad, telah menunjukkan komitmennya untuk membantu memulihkan negara itu.

Menteri Luar Syria, Encik Asaad Hassan al-Shibani, dalam sidang media bersama Menteri Negara Qatar bagi Hal Ehwal Luar Negeri, Encik Mohammed al-Khulaifi, menyatakan: “Rakyat Syria tidak akan melupakan sokongan Qatar ketika kami membuka lembaran baru di negara ini.”

Kedua-dua pihak juga membincangkan rangka kerja komprehensif untuk pembinaan semula Syria pascaperang. Encik Khulaifi menyatakan harapan Qatar untuk meningkatkan bantuan kepada Syria, terutamanya dalam bidang elektrik dan infrastruktur.

Qatar telah berjanji untuk membekalkan 200 megawatt elektrik kepada Syria, dengan rancangan untuk meningkatkan bekalan secara berperingkat.

Selain itu, Qatar juga mengumumkan akan membuka semula kedutaan mereka di Damsyik setelah lebih 13 tahun ditutup. Kedutaan itu ditutup pada Julai 2011 sebagai protes terhadap tindakan ganas Encik Assad ke atas penunjuk perasaan prodemokrasi, yang mencetuskan perang saudara yang berlarutan.

Selain Qatar, Raja Jordan dan Arab Saudi turut mengucapkan tahniah kepada Encik Sharaa di atas pelantikannya.

“Kami yakin dengan kerjasama antarabangsa, Syria akan bangkit semula. Perjalanan ini mungkin panjang, tetapi dengan kesabaran dan kerjasama, kami akan mencapai matlamat kami. Syria akan kembali bersinar. Damsyik bukan sekadar sebuah bandar, ia adalah simbol ketahanan dan harapan,” ujar Encik Sharaa. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg