Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan Prabowo ke Saudi tumpu projek ‘kampung Indonesia’ di Makkah

Saudi, Indonesia meterai perjanjian lebih AS$34 bilion libat sektor tenaga bersih, petrokimia, sumber mineral, tambah baik rantaian bekalan tenaga
Jul 3, 2025 | 10:39 AM
Saudi Arabia, Indonesia, Makkah
Presiden Indonesia Prabowo Subianto (kiri) disambut Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS) diiringi pasukan kawalan kehormatan sempena kunjungan rasmi Encik Prabowo ke Arab Saudi. - Foto INSTAGRAM PRABOWO

JEDDAH: Pengurusan ibadah haji Indonesia menjadi agenda utama dalam lawatan sulung Presiden Prabowo Subianto ke Arab Saudi.

Kunjungan itu diadakan tatkala pemerintah Indonesia berusaha memulihkan reputasinya susulan kritikan keras terhadap kelemahan pengurusan musim haji 2025.

Encik Prabowo berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 1 Julai dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah sekitar 10 jam kemudian.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Perdagangan Saudi, Encik Majid bin Abdullah Al Qasabi; Timbalan Gabenor Makkah, Putera Saud Bin Mis’al bin Abdul Aziz Al Saud dan Datuk Bandar Jeddah, Encik Saleh Ali Al-Turki.

Encik Prabowo bertemu Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS) pada malam 2 Julai dalam sesi rundingan penting yang menyentuh penambahbaikan perkhidmatan kepada jemaah haji Indonesia yang mencecah ratusan ribu setiap tahun.

Menteri Sekretariat Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata rundingan itu turut memberi tumpuan kepada cadangan penubuhan ‘Kampung Indonesia’ di Arab Saudi.

“Perbincangan melibatkan rancangan pembinaan ‘Kampung Indonesia’ di sekitar Makkah.

“Masa pertemuan ini amat sesuai kerana ia berlaku selepas musim haji, dan kita boleh mula merangka persiapan untuk musim akan datang,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Projek ‘Kampung Haji Indonesia’ yang dirancang dibina berdekatan Masjidil Haram dirancang meliputi kawasan seluas 50 hektar dan disokong oleh konsesi tanah selama 100 tahun yang diberikan kerajaan Saudi.

Ia akan menempatkan kemudahan untuk jemaah haji dan umrah Indonesia, yang berjumlah lebih 1.5 juta setahun.

Menteri Hal Ehwal Agama, Encik Nasaruddin Umar, menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah strategik jangka panjang.

“Bayangkan, seramai 1.5 juta orang menunaikan umrah setiap tahun, dan lebih 220,000 menunaikan haji.

“Sudah tiba masanya Indonesia tampil dengan inisiatif besar untuk meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah,” katanya di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, pada 1 Julai.

Timbalan Ketua Badan Penyelenggara Haji (BP Haji), Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, pula berkata pembiayaan projek itu memerlukan dana besar dan mencadangkan agar Dana Kekayaan Indonesia, Danantara menjadi pelabur utama.

“Ada beberapa mekanisme, termasuk Dana Danantara, yang boleh melabur dalam pembinaan dan pengurusan ‘Kampung Indonesia’,” katanya kepada saluran Metro TV.

Awal sebelum ini, Arab Saudi memberi amaran keras berhubung kelemahan pengurusan haji Indonesia bagi 2025.

Sekitar 203,000 anggota jemaah berlepas dari Indonesia pada awal Jun, tetapi laporan berkaitan kekeliruan pengurusan, masalah kesihatan dan pelanggaran dalam proses sembelihan haiwan menimbulkan keresahan kerajaan Saudi.

Menurut nota diplomatik pada 16 Jun, kedutaan Saudi di Jakarta memberi amaran bahawa kuota haji Indonesia boleh dikurangkan 50 peratus jika tiada penambahbaikan segera.

Malah, Kementerian Kesihatan Indonesia turut mengakui terdapat masalah dalam aspek kesihatan jemaah.

Seramai 418 anggota jemaah Indonesia disahkan meninggal dunia pada 2025, kebanyakannya akibat kegagalan jantung dan masalah pernafasan.

“Dengan kerjasama yang lebih baik antara kementerian, BP Haji dan pihak berkuasa tempatan, kami berazam untuk menurunkan kadar kematian dalam musim haji akan datang,” kata Kementerian Kesihatan dalam kenyataan pada 1 Julai.

Sebagai langkah pembaharuan, pemerintah Indonesia memindahkan kuasa pengurusan haji daripada Kementerian Hal Ehwal Agama kepada BP Haji, yang sedang meneliti untuk memendekkan tempoh haji dari 40 hari kepada 30 hari bermula 2026.

Selain isu haji, Arab Saudi dan Indonesia turut memeterai beberapa perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MOU) bernilai sekitar AS$27 bilion ($34.3 bilion), lapor agensi berita rasmi Saudi, SPA.

Perjanjian itu melibatkan sektor tenaga bersih, petrokimia, sumber mineral, serta penambahbaikan rantaian bekalan tenaga.

SPA melaporkan kedua-dua negara turut bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bekalan minyak mentah dan turunannya, serta pembangunan sumber mineral strategik.

Dalam lima tahun kebelakangan ini, nilai perdagangan antara kedua-dua negara mencecah AS$31.5 bilion.

Selepas selesai lawatannya ke Arab Saudi, Encik Prabowo dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) di Rio de Janeiro, Brazil pada 5 Julai. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg