DOHA: Qatar memasuki tempoh berkabung rasmi selama empat hari bermula 13 Julai susulan kematian mantan Amirnya, Allahyarham Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, yang dikenang sebagai tokoh di sebalik kebangkitan negara itu menjadi antara kuasa ekonomi dan diplomatik paling berpengaruh di dunia.

Allahyarham, yang memainkan peranan besar dalam transformasi negara itu menjadi antara negara paling makmur, selamat disemadikan di Doha selepas meninggal dunia pada usia 74 tahun.

Pemergian Allahyarhm Sheikh Hamad, yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada negara, diumumkan Istana Diraja Qatar (Amiri Diwan) pada 12 Julai.

Upacara pengebumiannya berlangsung secara sederhana mengikut tradisi Islam selepas solat maghrib di Masjid Imam Muhammad ibn Abd al-Wahhab, di ibu negara Qatar.

“Dengan penuh dukacita, kami mengumumkan pemergian Yang Amat Mulia Bapa Amir Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani.

“Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya,” ujar kenyataan rasmi istana.

Jemaah yang hadir mengenakan pakaian tradisional Qatar dan menunaikan solat jenazah sebelum jasad Allahyarham Sheikh Hamad dibawa keluar oleh anggota keluarga terdekat, termasuk anaknya, yang juga Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Jenazah beliau kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Lusail, di utara Doha.

Menurut laporan Al Jazeera, upacara itu berlangsung dalam suasana penuh sederhana, mencerminkan keperibadian Allahyarham Sheikh Hamad, yang dikenali sebagai tidak mementingkan kemewahan, walaupun memimpin negara yang kaya raya.

Sebagai penghormatan terakhir, semua jabatan kerajaan dan badan awam ditutup sepanjang tempoh berkabung, manakala bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara.

Pemergian Allahyarham Sheikh Hamad turut mengundang ucapan takziah daripada pemimpin dunia dan pertubuhan antarabangsa yang mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam membentuk Qatar moden serta memperkukuh kedudukan negara itu di pentas sejagat.

Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, menyampaikan ucapan takziah kepada Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, dan seluruh keluarga diraja.

“Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, menempatkannya di syurga serta mengurniakan ketabahan kepada keluarganya dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.

Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, pula menyifatkan Allahyarham sebagai pengasas Qatar moden dan pemimpin Arab yang berjaya meningkatkan pengaruh negaranya di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Allahyarham mendedikasikan seluruh hidupnya untuk memajukan rakyat serta negaranya, di samping memperkukuh kedudukan Qatar di pentas dunia,” katanya.

Setiausaha Agung, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Encik Hissein Brahim Taha, turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Qatar.

Beliau memuji peranan bersejarah Allahyarham Sheikh Hamad dalam pembangunan moden Qatar serta sumbangannya memperkukuh perpaduan dunia Islam.

“Dunia Arab dan Islam kehilangan seorang pemimpin bijaksana, yang mengabdikan hidupnya untuk berkhidmat kepada negara serta memperjuangkan kepentingan umat Islam,” katanya.

Allahyarham Sheikh Hamad dianggap sebagai arkitek kebangkitan Qatar selepas mengambil alih pemerintahan pada 1995.

Ketika itu, negara kecil di Teluk itu kaya dengan sumber gas asli tetapi masih kurang berpengaruh dalam politik serantau.

Sepanjang 18 tahun pemerintahannya, beliau memacu pembangunan pesat industri gas asli cecair (LNG), menubuhkan rangkaian berita Al Jazeera, mewujudkan dana kekayaan negara bernilai ratusan bilion dolar, serta memperkukuh dasar luar Qatar sehingga negara itu muncul sebagai pemain penting dalam diplomasi antarabangsa.

Pada 2013, Allahyarham Sheikh Hamad mencipta sejarah apabila menyerahkan takhta secara sukarela kepada puteranya, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, sekali gus membuka laluan kepada peralihan kuasa yang lancar.

Di bawah pemerintahan Sheikh Tamim, Qatar terus memperkukuh peranannya sebagai orang tengah dalam pelbagai konflik serantau, termasuk usaha damai melibatkan Amerika Syarikat, Iran, Hamas dan Taleban.

Walaupun pihak istana tidak mendedahkan punca kematian Allahyarham Sheikh Hamad, pemergian beliau menandakan berakhirnya era seorang pemimpin yang mengubah Qatar daripada sebuah negara kecil di Teluk kepada sebuah kuasa ekonomi, media dan diplomasi yang disegani dunia.

Sepanjang pemerintahannya dari 1995 hingga 2013, ekonomi Qatar berkembang pesat dengan
Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) meningkat lebih 24 kali ganda, didorong pembangunan agresif industri gas asli negara itu.

Hasil strateginya, Qatar muncul sebagai pengeksport terbesar LNG dunia menjelang 2006, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara tersebut dalam pasaran tenaga sejagat.

Pengaruh Qatar di pentas antarabangsa turut berkembang di bawah kepimpinannya, termasuk memainkan peranan sebagai pengantara dalam pelbagai konflik serantau dan dunia.

Selain itu, pemerintahannya menyaksikan penggubalan perlembagaan tetap pertama Qatar pada 2004, serta pengenalan pilihan raya perbandaran yang membolehkan wanita mengundi dan bertanding sebagai calon.

Penganalisis melihat Allahyarham Sheikh Hamad meninggalkan legasi besar dalam pembangunan ekonomi, pembaharuan institusi serta peningkatan profil antarabangsa Qatar, sekali gus meletakkan negara kecil itu sebagai antara kuasa berpengaruh di peringkat sejagat.

Bagi rakyat Qatar, tempoh berkabung bukan sekadar mengenang pemergian seorang mantan tampuk pemerintah, malah menghormati pemimpin yang meletakkan asas kepada kemajuan serta pengaruh antarabangsa yang dinikmati negara itu hari ini. – Agensi berita.