Pemimpin Australia seru bertenang susulan bantahan lawatan Presiden Israel
Pemimpin Australia seru bertenang susulan bantahan lawatan Presiden Israel
Pemimpin Australia seru bertenang susulan bantahan lawatan Presiden Israel
SYDNEY: Pemimpin Australia pada 10 Februari menggesa ketenangan dan menyeru supaya semua bantahan kekal aman susulan pertembungan antara polis dengan penunjuk perasaan yang membantah lawatan Presiden Israel, Isaac Herzog, di Sydney.
Polis negeri New South Wales (NSW) memaklumkan seramai 27 individu ditahan selepas kekecohan tercetus pada malam 9 Februari termasuk 10 orang yang disyaki menyerang anggota polis.
Kejadian berlaku apabila pihak berkuasa bertindak mengosongkan kawasan berhampiran Dewan Bandar Raya Sydney, tempat ribuan penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah lawatan Encik Herzog ke Australia.
Sebahagian penunjuk perasaan, termasuk seorang ahli parlimen pembangkang negeri, mendakwa mereka turut diserang oleh polis ketika cuba meninggalkan kawasan berkenaan.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, menyifatkan keganasan itu sebagai sesuatu yang “mengecewakan” dan menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu dizahirkan secara aman.
“Rakyat Australia mahukan dua perkara. Mereka tidak mahu konflik luar dibawa ke sini, dan mereka mahu pembunuhan dihentikan, sama ada melibatkan rakyat Israel atau Palestin.
“Tetapi mereka tidak mahu konflik itu berlaku di jalan-jalan negara ini,” kata Encik Albanese dalam temu bual bersama stesen radio, Triple M.
“Tujuan sesuatu perjuangan tidak akan tercapai melalui adegan seperti ini, sebaliknya ia hanya melemahkan mesej yang ingin disampaikan,” tambahnya.
Polis NSW dalam satu kenyataan menyatakan tiada laporan kecederaan serius dalam kejadian berkenaan.
Bantahan itu berlangsung ketika ribuan penunjuk perasaan berhimpun di pusat bandar Sydney bagi menyuarakan bantahan terhadap lawatan Encik Herzog, yang diundang kerajaan Australia susulan serangan bersenjata di acara keagamaan Yahudi di Pantai Bondi pada Disember lalu yang mengorbankan 15 nyawa, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Menjelang bantahan tersebut, polis diberikan kuasa khas yang jarang digunakan, termasuk mengarahkan pergerakan orang ramai, mengehadkan akses ke kawasan tertentu serta menjalankan pemeriksaan kenderaan.
Cabaran undang-undang oleh penganjur bantahan untuk membatalkan kuasa tersebut ditolak oleh mahkamah Sydney beberapa jam sebelum protes bermula.
Encik Herzog tidak berada di lokasi bantahan.
Rakaman televisyen menunjukkan sebahagian penunjuk perasaan cuba menolak sekatan polis sebelum dihalang oleh anggota keselamatan.
Ada yang dilihat ditahan di jalan raya ketika polis cuba menyuraikan orang ramai.
Polis turut menggunakan semburan lada dan gas pemedih mata bagi mengawal keadaan.
Ketua Menteri NSW, Encik Chris Minns, mempertahankan tindakan polis dan berkata anggota keselamatan terpaksa membuat keputusan pantas dalam keadaan tegang.
“Saya faham terdapat kritikan terhadap polis NSW tetapi mereka berada dalam keadaan yang hampir mustahil,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak menilai kejadian itu hanya berdasarkan klip video singkat tanpa memahami konteks penuh.
Kumpulan Tindakan Palestin Sydney mendakwa penunjuk perasaan tidak diberi laluan untuk meninggalkan kawasan tersebut kerana dikepung dari semua arah.
“Polis mula mara dengan kuda, menyembur lada secara rambang... memukul dan menangkap orang ramai,” ujar kenyataan kumpulan itu.
Anggota Parlimen Green NSW, Cik Abigail Boyd, mendakwa beliau dipukul oleh polis ketika cuba beredar.
“Saya mengalami sakit di bahu dan lengan selepas dipukul. Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, Penolong Pesuruhjaya Polis NSW, Peter McKenna, berkata tindakan polis adalah wajar dan menunjukkan tahap kawalan yang tinggi.
“Polis melakukan apa yang perlu bagi menahan pergerakan dan kemudian mengundurkan penunjuk perasaan dengan tujuan menyuraikan mereka,” katanya.
“Menghadapi kumpulan yang marah dan bertindak ganas bukan keadaan yang kami inginkan untuk anggota kami.”
Pesuruhjaya Polis NSW, Mal Lanyon, turut mempertahankan pasukannya dengan menyatakan anggota keselamatan menunjukkan “kawalan yang luar biasa” dalam keadaan tersebut.
Ketua Kumpulan Tindakan Palestin Sydney Encik Josh Lees, berkata kejadian itu adalah yang “terburuk” pernah disaksikannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami sepatutnya diberi hak untuk berarak. Semua ini boleh dielakkan jika kerajaan NSW membenarkan kami bergerak dari Dewan Bandaraya ke Parlimen Negeri atau Hyde Park,” katanya kepada ABC Radio.
NSW memperkenalkan sekatan terhadap perhimpunan awam selepas kejadian tembakan Disember lalu, dan menambah kuasa “acara besar” beberapa hari sebelum bantahan, yang pada dasarnya membenarkan perhimpunan tetapi melarang perarakan.
Dalam kalangan penunjuk perasaan ialah Cik Linda Feinberg, seorang penunjuk perasaan Yahudi yang hadir bagi melahirkan perpaduan.
“Saya terkejut dan kecewa. Keputusan Albanese menjemput Herzog sangat merosakkan,” katanya sambil memegang sepanduk bertulis, “Yahudi menolak pembunuhan beramai-ramai.”
Seorang ibu, Cik Sihal Jamila, hadir bersama anak kecilnya.
“Saya ibu kepada dua anak dan seorang lagi dalam kandungan. Mereka membunuh kanak-kanak. Ini tidak boleh diterima,” katanya dengan nada sebak.
Majlis Imam Nasional Australia mengecam rakaman yang menunjukkan lelaki Muslim diseret ketika sedang berdoa, menyifatkannya sebagai “mengejutkan dan tidak boleh diterima”.
Bantahan susulan dijadual berlangsung pada malam 10 Februari di luar balai polis Sydney, dengan penganjur menuntut semua pertuduhan terhadap penunjuk perasaan digugurkan serta siasatan terhadap penggunaan kekerasan oleh polis.
Encik Albanese, yang dijadual bertemu Herzog pada 10 Februari berkata beliau kekal mempertahankan jemputan tersebut walaupun mengakui insiden keganasan itu tidak sepatutnya berlaku, sambil menegaskan bahawa tindakan penunjuk perasaan telah “melemahkan” tujuan bantahan mereka. – Agensi berita.

