Mojtaba Khamenei: Kuasa di sebalik bayang Teheran
TEHERAN: Pelantikan Encik Mojtaba Khamenei sebagai pemimpin tertinggi Iran selepas kematian ayahnya, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel, menandakan kemunculan seorang tokoh yang selama ini beroperasi di belakang tabir politik negara itu.
Berbeza dengan ayahnya yang terkenal dengan ucapan dan kehadiran awam yang kerap, Encik Mojtaba, 56 tahun, selama ini mengekalkan profil yang sangat rendah.
Beliau tidak pernah memegang jawatan rasmi dalam pemerintah, jarang muncul di khalayak ramai dan hampir tidak pernah memberikan ucapan awam atau wawancara kepada media.
Hanya segelintir gambar dan rakaman video beliau pernah diterbitkan secara rasmi.
Namun di sebalik sikap tertutup itu, khabar angin mengenai pengaruh besar Encik Mojtaba dalam politik Iran telah lama tersebar.
Kabel diplomatik Amerika yang dibocorkan WikiLeaks pada akhir 2000-an menggambarkan beliau sebagai tokoh berpengaruh di belakang tabir sistem pemerintah Iran.
Menurut laporan agensi berita yang memetik dokumen tersebut, Encik Mojtaba digambarkan sebagai “kuasa sebenar di sebalik jubah ulama” dan dianggap tokoh yang “berkeupayaan serta tegas” dalam kalangan elit pemerintah.
Walaupun pelantikan beliau kini telah disahkan Majlis Pakar, badan ulama yang bertanggungjawab memilih pemimpin tertinggi Iran, keputusan itu tetap mencetuskan perdebatan.
Sejak Revolusi Islam 1979 yang menggulingkan sistem monarki, ideologi Republik Islam menekankan bahawa pemimpin tertinggi harus dipilih berdasarkan kewibawaan agama dan kepimpinan, bukannya melalui peralihan kuasa keluarga.
Seorang anggota Majlis Pakar sebelum ini pernah mendedahkan bahawa Encik Khamenei sendiri menentang idea anaknya dicalonkan sebagai pemimpin tertinggi.
Namun beliau dilaporkan tidak pernah mengulas secara terbuka mengenai spekulasi tersebut.
Encik Mojtaba dilahirkan pada 8 September 1969 di bandar Mashhad di timur laut Iran.
Beliau merupakan anak kedua daripada enam orang adik-beradik dalam keluarga Encik Khamenei dan menerima pendidikan menengah di Sekolah Alavi di Teheran, sebuah institusi pendidikan agama yang terkenal.
Ketika berusia 17 tahun, Encik Mojtaba turut berkhidmat dalam tentera Iran untuk beberapa tempoh singkat semasa Perang Iran-Iraq yang berlangsung dari 1980 hingga 1988.
Konflik berdarah selama lapan tahun itu meninggalkan kesan mendalam terhadap kepimpinan Iran dan mengukuhkan sikap curiga pemerintah terhadap Amerika serta negara Barat yang menyokong Iraq ketika itu.
Pada 1999, Encik Mojtaba berpindah ke bandar Qom untuk melanjutkan pengajian agama di pusat pengajian teologi Syiah yang terkenal.
Encik Mojtaba hanya mula mengenakan pakaian ulama ketika menyambung pengajian agama di pusat pengajian teologi Syiah di bandar Qom pada usia sekitar 30 tahun, satu langkah yang dianggap agak lewat berbanding kebiasaan dalam tradisi pendidikan ulama di Iran.
Sehingga kini beliau masih dianggap sebagai ulama peringkat pertengahan.
Namun sejak kebelakangan ini, beberapa media Iran dan tokoh yang rapat dengan pusat kuasa mula merujuk kepada beliau sebagai ‘Ayatollah’, satu gelaran ulama kanan.
Pemerhati melihat perubahan gelaran itu sebagai usaha untuk meningkatkan kredibiliti keagamaan beliau, bagi menyokong kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi.
Nama Encik Mojtaba mula mendapat perhatian awam pada pilihan raya presiden Iran pada 2005 yang menyaksikan kemenangan Encik Mahmoud Ahmadinejad, seorang tokoh tegar.
Dalam sepucuk surat terbuka kepada Encik Khamenei, calon reformis Encik Mehdi Karroubi menuduh Encik Mojtaba campur tangan dalam proses pilihan raya.
Encik Karroubi mendakwa elemen dalam Kor Pengawal Revolusi Islam dan militia Basij telah mengagihkan wang kepada kumpulan agama untuk membantu kemenangan Ahmadinejad.
Empat tahun kemudian, tuduhan yang sama muncul semula selepas pilihan raya presiden 2009.
Keputusan pilihan raya itu mencetuskan protes besar-besaran yang dikenali sebagai Gerakan Hijau.
Ketika demonstrasi tersebut, sebahagian penunjuk perasaan melaungkan slogan menentang kemungkinan Encik Mojtaba menggantikan ayahnya sebagai pemimpin tertinggi Iran.
Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Iran, Encik Mostafa Tajzadeh, menyifatkan keputusan pilihan raya itu sebagai “rampasan kuasa pilihan raya”.
Beliau kemudiannya dipenjarakan selama tujuh tahun, yang menurutnya berlaku atas “kehendak langsung Mojtaba Khamenei”.
Kini, sebagai pemimpin tertinggi Iran yang baharu, ramai menjangka Encik Mojtaba akan meneruskan dasar keras yang menjadi ciri kepimpinan ayahnya.
Sesetengah pemerhati juga berpendapat kehilangan ahli keluarganya dalam serangan Amerika dan Israel mungkin menjadikannya kurang cenderung untuk berkompromi dengan Barat.
Selain memimpin negara yang sedang berperang, Encik Mojtaba perlu memastikan kelangsungan Republik Islam serta meyakinkan rakyat bahawa beliau mampu memimpin Iran keluar daripada krisis politik dan ekonomi yang semakin mendalam.
Rekod kepimpinannya masih belum diuji, dan persepsi bahawa sistem politik Iran sedang berubah menjadi pemerintahan keluarga boleh meningkatkan lagi ketidakpuasan dalam kalangan rakyat.
Lebih membimbangkan, beliau kini menjadi sasaran terbuka.
Menteri Pertahanan Israel memberi amaran bahawa sesiapa sahaja yang menggantikan Encik Khamenei sebagai pemimpin tertinggi Iran akan menjadi “sasaran yang jelas untuk dihapuskan”. – Agensi berita.

