DAMSYIK: Pemimpin Syria berikrar untuk memburu pelaku pertempuran ganas yang melaga-lagakan penyokong setia rejim mantan Presiden Bashar al-Assad yang digulingkan dengan pemerintah Islam baru negara itu.
Pertempuran yang menurut kumpulan pemantau perang telah membunuh lebih 1,000 orang kebanyakannya orang awam itu berterusan untuk hari keempat.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen nasional dan media sosial, Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed Sharaa, yang memimpin pemberontakan menggulingkan Presiden Assad pada Disember, menuduh penyokong setia Encik Assad dan kuasa asing yang tidak dinamakannya sebagai punca kekacauan.
“Ketika kita berada pada saat genting ini, kita mendapati diri kita berdepan bahaya baru – percubaan oleh saki-baki bekas rejim dan penyokong asing mereka untuk menghasut perbalahan baru dan mengheret negara kita ke dalam perang saudara, bertujuan untuk memecahbelahkan, memusnahkan perpaduan dan kestabilannya,” katanya.
Komander tertinggi kumpulan bersenjata Kurdish Syria, yang tenteranya berada dalam pertempuran berasingan dengan Turkey, sebelum ini menyalahkan puak yang disokong Turkey atas beberapa keganasan yang berlaku.
Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, pegawai diplomat berkata Amerika Syarikat dan Russia telah meminta Majlis Keselamatan untuk bertemu secara tertutup pada 10 Mac berhubung keganasan yang semakin meningkat di Syria.
Pejabat Presiden Sementara berkata ia sedang membentuk jawatankuasa bebas untuk menyiasat pertempuran dan pembunuhan oleh kedua-dua pihak.
Rakyat Syria dilaporkan telah mengedarkan video grafik hukuman mati oleh anggota kumpulan itu ke atas orang awam daripada mazhab Alawite yang setia dengan rejim Encik Assad.
“Kami akan bertanggungjawab, dengan penuh ketegasan, sesiapa sahaja yang terlibat dalam pertumpahan darah orang awam, menganiaya orang awam, melebihi kuasa negara atau mengeksploitasi kuasa untuk kepentingan peribadi. Tiada sesiapa yang akan mengatasi undang-undang,” tegas Encik Sharaa.
Sumber keselamatan Syria berkata, pertempuran telah kembali reda di sekitar bandar Latakia, Jablah dan Baniyas, manakala tentera menggeledah kawasan pergunungan yang menjadi tempat sekitar 5,000 pemberontak pro-Assad bersembunyi.
Encik Assad melarikan diri ke Russia pada Disember 2024 selepas pemberontak yang dipimpin Encik Shara menggulingkan pemerintahannya, menamatkan penindasan buruk selama berdekad-dekad dan perang saudara yang dahsyat.
Negara Barat dan Arab serta Turkey menyokong askar pemberontak manakala Russia, Iran dan militia yang setia kepada Teheran menyokong Encik Assad dalam perang saudara yang telah membunuh ratusan ribu orang dan menyebabkan jutaan rakyat Syria kehilangan tempat tinggal. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg