Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin baru Venezuela buka ruang dialog dengan AS selepas penahanan Maduro

Ambil langkah diplomatik walau sebelum ini tentang keras tindakan Trump
Jan 5, 2026 | 1:52 PM
Catia La Mar,
Encik Cesar Diaz (atas), anak kepada pemilik sebuah apartmen yang rosak, membantu kerja pembersihan di Catia La Mar, Venezuela, pada 4 Januari, sehari selepas pemimpin Venezuela, Encik Nicolas Maduro, ditahan dalam serangan Amerika Syarikat. - Foto AFP

CARACAS/NEW YORK: Kepimpinan baru Venezuela menunjukkan perubahan nada terhadap Amerika Syarikat apabila Presiden Sementara, Cik Delcy Rodriguez, menghulurkan tawaran dialog dan kerjasama, sehari selepas pasukan khas Amerika menahan Presiden Nicolas Maduro dan membawanya ke New York bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah dan senjata.

Cik Rodríguez, yang dilantik sebagai presiden sementara oleh Mahkamah Agung Venezuela pada 4 Januari sebelum ini lantang mengecam pentadbiran Presiden Donald Trump, menyifatkan tindakan Washington sebagai “kebiadaban” dan menuduh Amerika mahu merampas sumber tenaga, mineral dan kekayaan semula jadi negara itu.

Namun dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial pada malam 4 Januari dan ditujukan secara langsung kepada Encik Trump, Cik Rodriguez mengambil pendekatan lebih diplomatik.

“Rakyat kami dan rantau ini berhak menikmati keamanan dan dialog, bukan peperangan,” katanya.

“Kami menghulurkan jemputan kepada pemerintah Amerika untuk bekerjasama dalam satu agenda bersama yang berteras pembangunan bersama, selaras dengan undang-undang antarabangsa, dan bagi mengukuhkan kehidupan bermasyarakat yang berkekalan,” kata Cik Rodríguez.

Kenyataan itu menandakan perubahan ketara daripada pendirian tegas yang ditunjukkan pemimpin kanan Venezuela sejak Encik Trump mengumumkan Amerika berhasrat “mengendalikan” Venezuela dan mendapatkan semula kepentingan minyak Amerika dalam jangka masa panjang.

Dalam ucapan pada 4 Januari, Menteri Pertahanan Venezuela, Encik Vladimir Padrino Lopez, menolak sekeras-kerasnya dakwaan Amerika akan mentadbir negara itu.

Beliau menegaskan pemerintah yang dibentuk di bawah Encik Maduro masih berfungsi dan sah.

Namun, Encik Trump terus mengeraskan nada.

Ketika ditanya wartawan di dalam pesawat Air Force One mengenai siapakah yang menguasai Venezuela, beliau berkata Amerika sedang “berurusan dengan pihak yang baru mengangkat sumpah”.

“Jangan tanya siapa yang berkuasa, kerana jawapan saya akan sangat kontroversi,” kata Encik Trump.

Apabila didesak, beliau menambah: “Kami yang berkuasa.”

Encik Trump turut meluaskan ancaman kepada negara lain di rantau itu.

Beliau mengkritik Colombia dan presidennya, Encik Gustavo Petro, dengan mendakwa negara itu “dikendalikan oleh seorang yang sakit dan suka menghasilkan kokain untuk dijual ke Amerika”.

Apabila ditanya sama ada Amerika akan melancarkan operasi terhadap Colombia, Encik Trump menjawab: “Bunyi macam idea yang baik.”

Beliau turut memberi bayangan tindakan juga boleh diambil terhadap Mexico dan Cuba.

Mengenai Cuba, Encik Trump berkata negara itu “kelihatan hampir tumbang” kerana kehilangan sumber pendapatan utama daripada minyak Venezuela.

Penahanan Encik Maduro berlaku dalam serangan pantas sebelum subuh 3 Januari apabila pasukan khas Amerika menyerang sasaran ketenteraan di sekitar Caracas dan menahan Encik Maduro serta isterinya sebelum diterbangkan ke New York.

Encik Maduro kini ditahan di sebuah penjara persekutuan di Brooklyn dan dijangka membuat penampilan pertama di mahkamah persekutuan Manhattan pada 5 Januari.

Cik Rodriguez, 56 tahun, mantan menteri luar dan naib presiden di bawah Encik Maduro, pada awalnya enggan mengakui beliau telah mengambil alih jawatan presiden, malah menyifatkan Encik Maduro sebagai satu-satunya presiden sah Venezuela.

Dalam ucapan berapi-api beberapa jam selepas penahanan itu, beliau menuduh Amerika “menceroboh” negaranya dan menuntut pembebasan Encik Maduro.

Encik Trump bagaimanapun memberi amaran terbuka terhadap Cik Rodriguez.

Dalam wawancara dengan The Atlantic, Encik Trump berkata: “Jika beliau tidak melakukan perkara yang betul, beliau akan membayar harga yang sangat mahal, mungkin lebih besar daripada Maduro.”

Kenyataan Cik Rodriguez pada 4 Januari tidak menuntut pembebasan Encik Maduro, satu perubahan ketara daripada pendirian awalnya.

“Itulah Venezuela yang saya percayai, Venezuela yang telah saya abdikan sepanjang hidup saya,” kata Cik Rodríguez.

“Impian saya adalah melihat Venezuela menjadi sebuah kuasa besar di mana semua rakyat Venezuela yang baik dapat bersatu,” tambah beliau.

Mahkamah Agung Venezuela pada 4 Disember secara rasmi mengesahkan Cik Rodriguez sebagai presiden sementara selama 90 hari, keputusan yang turut disokong Menteri Pertahanan, Encik Padrino Lopez.

Namun beliau mengecam penahanan Encik Maduro sebagai “penculikan pengecut”, mendakwa beberapa pengawal keselamatan, anggota tentera dan orang awam terbunuh “secara kejam”.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, cuba meredakan kebimbangan dengan menyatakan Washington tidak berhasrat mentadbir Venezuela secara harian, sebaliknya hanya akan menguatkuasakan “kuarantin minyak” sedia ada untuk menekan perubahan dasar.

Kenyataan Encik Rubio dilihat sebagai usaha menenangkan kebimbangan, termasuk dalam kalangan penyokong Parti Republikan sendiri yang menentang campur tangan luar negara, serta pemerhati yang mengingatkan kegagalan pembinaan negara di Iraq dan Afghanistan.

Di Amerika, bantahan tercetus di beberapa bandar utama.

Di Los Angeles, ratusan penunjuk perasaan berhimpun dalam hujan, membawa sepanduk bertulis, “Hentikan pengeboman Venezuela sekarang” dan “Tiada darah untuk minyak”.

“Saya menentang imperialisme Amerika sepenuhnya. Mereka mahukan minyak dan kepentingan korporat,” kata seorang penunjuk perasaan, Cik Niven.

Di Caracas, reaksi rakyat bercampur.

Ada yang menyambut penahanan Encik Maduro sebagai peluang perubahan, namun ramai bimbang konflik akan bertambah buruk.

“Kita mahukan perubahan yang baik untuk semua rakyat Venezuela,” kata Encik Ronald Gaulee.

Sebaliknya, peniaga Juan Carlos Rincón berkata: “Kami mahu hidup aman dan menentukan masa depan serta pemimpin kami sendiri.”

Ketidaktentuan turut mendorong sebahagian rakyat melarikan diri ke Colombia.

Di bandar sempadan Cucuta, wartawan Al Jazeera melaporkan suasana tegang, dengan penduduk beratur panjang mendapatkan bekalan makanan.

“Orang ramai sangat cemas. Pasar raya ditutup dan semua orang menunggu apa yang akan berlaku,” kata Cik Karina Rey dari San Cristobal.

Penganalisis Kanan, Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (Acled), Encik Tiziano Breda, berkata perkembangan seterusnya bergantung kepada tindak balas pemerintah dan angkatan bersenjata Venezuela.

“Setakat ini mereka mengelak konfrontasi langsung dengan pasukan Amerika, tetapi penempatan tentera di jalanan menunjukkan usaha mengekang kekacauan,” katanya.

“Peralihan yang lancar masih tidak mungkin, dan risiko penentangan bersenjata kekal tinggi,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg