Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin dunia, Palestin seru Pope Leo XIV teruskan legasi perdamaian

May 9, 2025 | 11:30 AM
Paus (Pope) Leo XIV, Robert Francis Prevost
Paus (Pope) Leo XIV yang baru dipilih, Robert Francis Prevost, muncul buat pertama kali di Vatican pada 8 Mei. - Foto AFP

VATICAN: Presiden Palestin Mahmoud Abbas, bersama kepimpinan Hamas dan masyarakat Kristian di Gaza, menyeru paus baru, Paus (Pope) Leo XIV agar meneruskan usaha damai dan keprihatinan terhadap Gaza yang telah digerakkan oleh mendiang Paus Francis.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan lewat malam 8 Mei, Encik Abbas mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan Paus Leo XIV dalam menjalankan “misi suci beliau” serta “meneruskan legasi Paus Francis yang telah pergi”.

“Vatican memainkan peranan moral, agama dan politik yang penting dalam perjuangan keadilan sejagat.

“Hak rakyat Palestin untuk kebebasan dan kemerdekaan seharusnya menjadi salah satu keutamaannya,” tegas Encik Abbas.

Kardinal Robert Prevost dari Amerika Syarikat secara rasmi dipilih sebagai Paus ke-267 Gereja Katolik Rome.

Pengumuman pemilihannya disampaikan oleh seorang kardinal kanan menerusi pengumuman tradisional, ‘Habemus Papam’ di hadapan ribuan penganut Katolik yang berhimpun di Dataran St. Peter.

Beliau memilih nama Paus Leo XIV sebagai gelaran rasmi pentadbirannya, sekali gus menjadi Paus pertama dari Amerika dalam sejarah gereja.

Paus Francis meninggal dunia pada 21 April pada usia 88 tahun.

Paus Leo XIV, dilahirkan pada 14 September 1955 di Chicago, Illinois, ialah ahli Ordo Santo Agustinus (OSA) dan pernah berkhidmat selama hampir dua dekad di Peru sebagai paderi, pendidik dan pentadbir gereja.

Beliau memegang kewarganegaraan Peru dan pernah dilantik sebagai Uskup Chiclayo dari 2015 hingga 2023.

Dalam ucapan pertamanya dari balkoni Basilika Santo Petrus, beliau menyampaikan mesej perdamaian dalam bahasa Italy dan Sepanyol, selaras dengan pendekatan reformis dan keadilan sosial yang menjadi teras kepimpinan mendiang Pope Francis.

Paus Leo XIV dijangka meneruskan agenda pembaharuan termasuk memperluas peranan wanita dan belia dalam gereja serta menangani isu dalaman yang mendesak seperti kestabilan kewangan dan skandal lama.

Di Gaza, masyarakat Kristian yang kecil menyambut baik pelantikan paus baru.

Encik George Antone, ketua jawatankuasa kecemasan Gereja Holy Family berkata: “Kami gembira dengan pemilihan Paus... kami berharap hatinya akan terus bersama Gaza seperti Paus Francis.”

Beliau turut mengenang usaha Paus Francis yang pernah menghubungi gereja di Gaza setiap malam semasa konflik pada Oktober 2023 sebagai tanda perpaduan.

“Kami merayu agar Paus baru melihat Gaza melalui kaca mata Paus Francis dan rasainya dengan hati beliau,” tambahnya.

Hamas dalam kenyataan berasingan turut mengucapkan tahniah berharap Paus Leo XIV “akan meneruskan jalan mendiang Paus Francis dalam menyokong golongan tertindas serta menolak genosid di Gaza”.

Pemimpin dunia turut menyambut pemilihan Paus baru dengan penuh harapan.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyifatkan pelantikan itu sebagai “satu penghormatan besar” buat negaranya dan menyatakan hasrat bertemu Paus Leo XIV.

Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, pula menyatakan harapan agar hubungan antara Israel dengan Vatican akan terus diperkukuh.

“Semoga pentadbiran anda menjadi jambatan antara agama dan bangsa,” katanya.

Mantan Presiden Amerika, Encik Barack Obama, turut mengucapkan tahniah kepada “anak kelahiran Chicago” itu dan menyifatkan pelantikan tersebut sebagai bersejarah buat Amerika.

Sementara itu, Canselor Jerman Friedrich Merz, menyatakan bahawa Paus memberikan “harapan dan panduan kepada jutaan umat dalam saat sukar ini”.

Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, menyebut bahawa pemilihan itu menandakan permulaan lembaran baru dalam kepimpinan gereja, manakala Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchezm, menekankan pentingnya dialog dan hak asasi manusia.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menyifatkan ia sebagai “detik bersejarah bagi Gereja Katolik dan umatnya” dan Presiden Poland, Encik Andrzej Duda, turut menyuarakan kesediaan negaranya untuk terus mengukuhkan hubungan istimewa dengan Vatican demi keamanan sejagat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg