Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warisan Pope Francis dalam keamanan dan dialog antara agama di Timur Tengah

Perjuang keadilan dan keihsanan tanpa kira sempadan agama
Apr 28, 2025 | 5:30 AM
pope francis, amiriah arab bersatu, putera mahkota abu dhabi
Pope (Paus) Francis disambut pegawai kerajaan Dubai dan Putera Mahkota Abu Dhabi sejurus ketibaannya di Istana Presiden di ibu negara Amiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi, pada 4 Februari 2019. - Foto AFP

DUBAI: Pemergian Pope (Paus) Francis pada 21 April 2025 bukan sahaja menandakan berakhirnya satu era kepimpinan Gereja Katolik selama 12 tahun, malah turut membuka ruang untuk menilai semula warisan diplomatik dan moral beliau terhadap rantau yang paling bergolak di dunia iaitu Timur Tengah.

Dalam dunia yang penuh ketegangan sektarian, konflik bersenjata dan krisis kemanusiaan, Paus Francis, muncul sebagai suara moral yang lantang dalam menyeru kepada perdamaian dan persefahaman merentas agama.

Sepanjang pemerintahannya, Paus Francis menjadikan Timur Tengah bukan sekadar destinasi simbolik, bahkan medan utama untuk usaha diplomasi kerohanian.

Beliau melakukan lawatan bersejarah ke Iraq, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir, Palestin dan Turkey, bertemu dengan pemimpin Syiah, Sunni, Katolik Timur, Yahudi serta golongan minoriti seperti Yazidi dan Sabaean.

Dialog yang dijalin bukan hanya bersifat simbolik, malah mencerminkan iltizam beliau dalam membina jambatan persefahaman merentas batas sejarah dan kepercayaan.

“Persaudaraan adalah sempadan baru kemanusiaan. Sama ada kita bina masa depan bersama, atau tiada masa depan sama sekali,” tegas beliau dalam ucapan semasa menandatangani, Dokumen Persaudaraan Kemanusiaan, di Abu Dhabi pada 2019 bersama Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayyeb.

Dokumen itu menjadi batu asas kepada usaha memperkukuh dialog antara agama dan menetapkan garis panduan etika dalam hubungan antara penganut agama berbeza.

Lawatan beliau ke Iraq pada 2021 dianggap titik kemuncak.

Di kota Mosul yang musnah akibat kekejaman ISIS, beliau menyampaikan mesej harapan: “Lebih kuat daripada kebencian ialah harapan, lebih berkuasa daripada perang ialah perdamaian.”

Dalam suasana runtuhan, beliau memimpin doa bersama pemimpin agama tempatan, menunjukkan bagaimana keamanan dan harapan boleh wujud walaupun di tengah kehancuran.

Lawatan ke Ur, tempat kelahiran Nabi Ibrahim as, juga memperkukuh mesej kesatuan warisan keimanan berteraskan Nabi Ibrahim as yang dikongsi oleh Islam, Kristian dan Yahudi.

Paus Francis juga berani menyuarakan isu sensitif yang menyentuh masyarakat Timur Tengah.

Dalam wawancara dan ucapan awam, beliau sering mengutuk kekerasan yang dilakukan atas nama agama.

Ketika konflik Gaza meletus pada 2023, beliau dengan jelas berkata: “Ini adalah perang, ini adalah keganasan... bahkan kanak-kanak turut menjadi mangsa.”

Beliau bukan sahaja menghubungi secara langsung masyarakat Kristian di Gaza, malah menyamakan tindakan ketenteraan terhadap penduduk awam sebagai suatu “kegagalan kemanusiaan yang mendalam”.

Dalam ucapannya semasa Hari Easter 2025, sehari sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, beliau menyeru gencatan senjata segera di Gaza dan berdoa khusus untuk masyarakat Kristian di wilayah itu.

“Saya teringat kepada rakyat Gaza, terutama masyarakat Kristian yang terus menderita akibat konflik yang membawa kematian dan kemusnahan yang amat dahsyat,” katanya.

Pendekatan beliau terhadap isu besar lain seperti krisis politik di Lebanon; perang di Yaman dan Syria; serta penderitaan pelarian; semuanya memperlihatkan satu ketekalan dalam nilai yang diperjuangkannya iaitu keadilan, dialog dan belas ihsan.

Dalam ucapan berulang kali, beliau menekankan bahawa keamanan tidak akan lahir daripada kekerasan, tetapi daripada pengiktirafan terhadap martabat setiap insan.

Di Lebanon, beliau menyifatkan negara itu sebagai “lebih daripada sebuah negara, tetapi mesej kebebasan dan pluralisme untuk Timur dan Barat”.

Paus Francis juga menggesa agar kepimpinan politik Lebanon mengutamakan kepentingan rakyat melebihi keuntungan peribadi.

Ketika keganasan meletus di Sudan pada 2023, beliau merayu: “Saya dekat dengan rakyat Sudan, yang telah begitu lama menderita. Saya berdoa agar senjata diletakkan dan dialog dimulakan.”

Paus Francis turut memberi banyak perhatian kepada golongan pelarian dan migran dari Timur Tengah.

Dalam lawatan ke UAE, beliau menegaskan bahawa penghijrahan bukan sekadar fenomena sosial, malah soal maruah dan keadilan.

“Mereka yang meninggalkan tanah air demi kehidupan yang lebih baik membawa harapan, bukan ancaman,” ujar beliau.

Di Stadium Sukan Zayed yang dibanjiri lebih 150,000 hadirin semasa Misa Kudus di Abu Dhabi, suasana menjadi sunyi seketika ketika beliau menyentuh tentang pengorbanan para pekerja migran – satu detik yang begitu menyentuh hati dan meresap ke sanubari ramai yang hadir.

Kepimpinan beliau dalam memperkukuh dialog antara agama juga terserlah dalam lawatan ke Al-Azhar di Mesir dan pertemuan dengan pemimpin Kristian Ortodoks seperti Patriark Tawadros II.

Dalam ucapan di Universiti Al-Azhar pada 2017, beliau menegaskan: “Kebebasan beragama bukan hanya kebebasan beribadah, malah pengiktirafan bahawa orang lain adalah saudara yang mesti dikasihi.”

Dalam konteks Mesir yang pernah digegar serangan pengganas terhadap masyarakat Kristian, mesej ini sangat bermakna.

Di Palestin, gambaran simbolik beliau berhenti dan berdoa di tembok pemisah di Tebing Barat pada 2014 menjadi salah satu imej paling kuat dalam kepausannya.

“Sudah tiba masanya untuk menamatkan keadaan yang semakin tidak boleh diterima ini,” katanya dalam ucapannya di Baitul Laham, sekali gus menunjukkan perpaduan beliau terhadap hak rakyat Palestin.

Warisan beliau di Timur Tengah tidak bersifat sementara.

Ia membina asas baru kepada peranan Gereja Katolik sebagai rakan dialog, bukan dominasi; suara moral, bukan kuasa politik.

Paus Francis menunjukkan kepimpinan rohani boleh menjadi kuasa lembut yang mempengaruhi realiti politik dengan nilai kemanusiaan sejagat.

Beliau tidak sekadar berucap dari Vatican, bahkan turun padang, berdiri bersama mereka yang tertindas dan terpinggir.

“Saya datang sebagai peziarah perdamaian,” katanya dalam lawatan ke Iraq.

Paus Francis telah meninggalkan dunia, namun legasi yang beliau tinggalkan dari Mosul ke Abu Dhabi, dari Gaza ke Vatican – akan terus hidup dalam ingatan umat sejagat yang mengimpikan dunia yang lebih adil dan damai.

Beliau telah memperlihatkan bahawa keimanan, apabila dipadukan dengan keberanian moral, mampu mengatasi sempadan agama dan geografi.

“Apa yang diperlukan ialah keberanian untuk tidak berputus asa,” ujar beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg