WASHINGTON: Ada yang bersuara, memuji apa yang telah dilaksanakan oleh presiden Amerika Syarikat.
Yang lain memuji keberaniannya melepaskan kuasa.
Tetapi beberapa pemimpin dunia membuat catatan lain mengenai keputusan Presiden Joe Biden untuk tidak bertanding semula.
“Saya berharap sesuatu yang baik bagi Amerika Syarikat, yang mempunyai tokoh presiden yang baik, muncul daripada persaingan demokratik dua calon yang kuat dan setara,” kata perdana menteri Republik Czech, Encik Petr Fiala.
Dengan kesan kebesarannya terhadap pemerintah, politik presiden Amerika diperhatikan dengan teliti di seluruh dunia, tetapi kali ini ia lebih mendapat perhatian.
Pencalonan Encik Donald Trump untuk bersaing sekali lagi, tidak cukup untuk memalingkan perhatian pemimpin dunia terhadapnya.
Ini kerana ada persoalan yang lebih besar dan mendesak yang diberikan perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini, iaitu adakah Encik Biden akan meneruskan persaingan?
Pada 21 Julai, beliau memberikan jawapannya.
Malah turut memberikan sokongannya kepada Naib Presiden, Cik Kamala Harris, seorang tokoh politik yang tidak seperti Presiden Biden, tidak mempunyai sejarah panjang penglibatan dalam diplomasi ehwal luar Amerika Syarikat.
Di Jerman, pendirian bekas presiden, Encik Trump terhadap pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) didapati tidak jelas berkaitan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, telah menimbulkan kebimbangan.
Canselor Olaf Scholz dengan jelas mengatakan bahawa pendekatan Encik Biden ketara berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh Encik Trump.
“Terima kasih kepadanya, kerjasama Trans-Atlantik rapat, Nato kukuh dan Amerika adalah rakan kongsi yang baik dan boleh dipercayai untuk kami,” kata Encik Scholz dalam satu kenyataan.
Di Poland, Perdana Menteri Encik Donald Tusk memuji Encik Biden kerana “menjadikan dunia lebih selamat, dan demokrasi serta kebebasan lebih kukuh” sepanjang kerjayanya, termasuk dengan memutuskan untuk tidak bertanding.
“Saya tahu bahawa anda telah dipandu oleh prinsip yang sama, apabila mengumumkan keputusan terkini anda – mungkin yang paling sukar dalam hidup anda,” katanya.
Encik Keir Starmer, perdana menteri Britain yang baru dilantik, berkata beliau menghormati keputusan Encik Biden itu.
“Saya tahu bahawa, seperti yang telah beliau lakukan sepanjang kerjayanya yang luar biasa, Presiden Biden akan membuat keputusan berdasarkan apa yang beliau percaya adalah demi kepentingan terbaik rakyat Amerika,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sánchez, menyebutnya sebagai “isyarat hebat daripada presiden yang hebat”.
Encik Baiba Braze, Menteri Luar Latvia, memberikan “penghormatan tertinggi” atas “keputusan sukar ini,” yang diambil oleh Encik Biden.
Perdana Menteri Norway, Encik Jonas Gahr Store, bercakap kepada Reuters, menyatakan bahawa presiden Amerika itu “lebih mementingkan negara daripada dirinya sendiri” dan berkata “keputusan yang diambilnya wajar diberikan penghormatan”.
Keputusan Encik Biden menimbulkan tindak balas yang kurang berkesan dari Russia, yang secara kerap dan tegas mengecam sokongan tentera Amerika untuk Ukraine dalam perang.
Jurucakap Kremlin Encik Dmitri S. Peskov, berkata “masih banyak yang boleh berubah” sebelum pengundian pada November.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg