WASHINGTON: Pemimpin dunia menyambut baik pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bahawa Israel dan Hamas akhirnya mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza.
Ia merupakan satu pencapaian besar selepas dua tahun perang berterusan dan telah meragut puluhan ribu nyawa di wilayah Palestin itu.
Encik Trump mengesahkan perkara itu pada 8 Oktober, dengan mengatakan kededua pihak telah “menandatangani pelan damai yang lama dinantikan” bagi menamatkan konflik.
“Ini adalah hari bersejarah bagi keamanan,” katanya di Washington.
Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan menerusi wadah Telegram, Hamas menegaskan bahawa perjanjian tersebut merangkumi pengakhiran perang, pengunduran tentera Israel dari Gaza, kemasukan bantuan kemanusiaan, serta pertukaran tahanan antara kedua-dua pihak.
Kumpulan itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan penting dalam rundingan tersebut.
“Kami amat menghargai usaha saudara-saudara kami dan para pengantara di Qatar, Mesir serta Turkey.
“Kami juga menghargai usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang bertujuan menamatkan perang sepenuhnya dan memastikan pengunduran sepenuhnya penjajahan dari Jaluran Gaza,” kata kumpulan itu.
Hamas turut menyeru supaya semua pihak, termasuk negara penjamin dan pertubuhan antarabangsa, memastikan Israel mematuhi sepenuhnya perjanjian yang dicapai.
“Kami menyeru Encik Trump, negara penjamin, serta semua pihak Arab, Islam dan antarabangsa agar memaksa pemerintah penjajah untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sepenuhnya dan mengelak daripada menangguh atau melanggar perjanjian itu,” kata kenyataan tersebut.
Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, turut menekankan bahawa nyawa para tebusan bergantung kepada komitmen Israel terhadap pelan damai tersebut.
“Jika Amerika benar-benar prihatin terhadap kehidupan para tahanan, mereka mesti memastikan Israel mematuhi perjanjian ini sepenuhnya,” katanya.
Hamas turut memberi penghormatan kepada rakyat Palestin di Gaza, Baitulmakdis, Tebing Barat dan diaspora Palestin yang terus mempertahankan hak mereka.
“Pengorbanan rakyat kami tidak akan sia-sia.
“Kami akan terus berpegang kepada janji kami tidak akan meninggalkan hak kebangsaan sehingga kebebasan dan kemerdekaan dicapai,” tambahnya.
Perjanjian yang diumumkan Encik Trump sebelum ini telah mendapat sokongan Qatar, Mesir dan Turkey, yang memainkan peranan penting sebagai perantara dalam rundingan damai.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyambut perjanjian itu sebagai detik penting dalam sejarah negaranya.
Encik Netanyahu dalam kenyataan rasmi berkata: “Ini adalah hari besar bagi Israel.
“Saya akan mengadakan mesyuarat Kabinet untuk meluluskan perjanjian ini dan membawa pulang semua tebusan kami.”
“Saya berterima kasih kepada tentera IDF (Angkatan Pertahanan Israel) dan semua pasukan keselamatan, (atas) keberanian dan pengorbanan mereka memungkinkan kita sampai ke tahap ini,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump dan pasukannya atas “misi suci” membebaskan tebusan.
“Dengan izin Tuhan, kita akan terus mencapai semua matlamat kita dan memperluas keamanan dengan jiran-jiran kita,” kata Encik Netanyahu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyambut baik perkembangan tersebut sambil memuji peranan diplomatik Amerika, Qatar, Mesir dan Turkey.
“Saya mengalu-alukan pengumuman perjanjian bagi gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza berdasarkan pelan yang dikemukakan Encik Trump.
“Ini adalah kejayaan diplomatik yang amat diperlukan,” kata Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, yang menekankan bahawa semua pihak mesti mematuhi syarat perjanjian itu sepenuhnya.
“Semua tebusan mesti dibebaskan secara bermaruah. Gencatan senjata kekal mesti dicapai. Perang mesti dihentikan sepenuhnya. Bantuan kemanusiaan perlu disalurkan segera dan tanpa halangan. Penderitaan ini mesti berakhir,” tegas Encik Guterres.
PBB katanya bersedia menyokong pelaksanaan penuh perjanjian itu serta mempertingkat penghantaran bantuan kemanusiaan, pemulihan dan pembinaan semula Gaza.
“Kepentingan masa ini amat besar. Dunia tidak boleh mensia-siakannya,” tambah beliau.
Penasihat kepada Perdana Menteri Qatar mengatakan bahawa pengumuman itu menandakan “permulaan kepada berakhirnya perang”.
“Para pengantara mengumumkan bahawa malam ini satu perjanjian telah dicapai bagi pelaksanaan fasa pertama gencatan senjata Gaza, yang akan membawa kepada penamatan perang, pembebasan tebusan Israel dan tahanan Palestin, serta kemasukan bantuan kemanusiaan,” kata penasihat kepada Perdana Menteri Qatar itu.
Kementerian Luar Arab Saudi turut mengalu-alukan perjanjian tersebut sambil menegaskan pentingnya penguatkuasaan segera tanpa penangguhan.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berkata perjanjian itu memberikan kelegaan mendalam kepada seluruh dunia.
“Ini adalah saat kelegaan besar, terutama bagi para tebusan, keluarga mereka dan penduduk Gaza yang telah menanggung penderitaan tidak terbayang selama dua tahun,” katanya.
Encik Starmer menegaskan bahawa perjanjian itu mesti dilaksanakan sepenuhnya dan disertai dengan penyaluran segera bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Kami menyeru semua pihak agar menunaikan komitmen masing-masing demi menamatkan perang dan membina asas kepada keamanan yang adil dan berkekalan,” tambahnya.
Sementara itu, Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, dalam wawancara bersama saluran Russia Today, berkata pelan Trump “mungkin bersifat umum,” namun buat masa ini ia adalah “cadangan terbaik yang ada di meja rundingan”.
Australia turut menyatakan sokongan terhadap usaha diplomatik Encik Trump.
Dalam kenyataan bersama, Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, dan Menteri Luar Cik Penny Wong berkata: “Selepas lebih dua tahun konflik dan kehilangan nyawa orang awam, ini merupakan langkah penting ke arah keamanan.”
“Australia sentiasa menyokong gencatan senjata, pembebasan tebusan, dan penghantaran bantuan tanpa halangan ke Gaza.
“Kami berterima kasih kepada Presiden Trump atas usaha diplomatiknya dan mengiktiraf peranan penting Mesir, Qatar dan Turkey dalam menjayakan perjanjian ini,” tambah mereka.
Dengan pengesahan rasmi itu, dunia kini menunggu pelaksanaan fasa pertama pelan damai Gaza satu langkah penting yang akan menentukan sama ada keamanan benar-benar dapat bertapak di bumi Palestin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg