SHARM EL-SHEIKH, MESIR: Pemimpin dari seluruh dunia berhimpun di pusat peranginan Sharm el-Sheikh untuk menyaksikan penandatanganan rasmi perjanjian gencatan senjata Gaza yang dipimpin oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan kerjasama Mesir, Qatar dan Turkey.
Majlis bersejarah itu menandakan berakhirnya peperangan dua tahun antara Israel dan Hamas yang telah meragut puluhan ribu nyawa.
Encik Trump, yang berdiri di sisi Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi, berkata: “Satu hari yang baru dan indah sedang menyingsing, dan kini masa untuk membina semula telah bermula.”
Beliau memuji peranan pemimpin serantau yang berjaya memastikan kejayaan rundingan damai tersebut.
Sebagai sebahagian daripada fasa pertama pelan damai Trump, Israel membebaskan 250 tahanan Palestin serta 1,700 lagi yang ditahan sepanjang operasi ketenteraan dua tahun di Gaza. Sebagai balasan, Hamas menyerahkan 20 tebusan warga Israel yang masih hidup serta menyerahkan jenazah 28 tebusan lain.
Encik Trump berkata proses ini adalah “permulaan kepada masa depan baru bagi Gaza”, menekankan bahawa membina semula wilayah itu adalah keutamaan utama.
“Pembinaan semula mungkin bahagian yang paling mudah,” katanya. “Kami tahu bagaimana untuk membina lebih baik daripada sesiapa di dunia ini.”
Presiden al-Sisi menyifatkan hari tersebut sebagai “tonggak bersejarah yang menamatkan babak penderitaan yang panjang.” Sebagai tanda penghargaan, beliau menganugerahkan Encik Trump Darjah Kehormat Nil Agung, penghormatan tertinggi Mesir.
Sebelum ke Mesir, Encik Trump berucap di Parlimen Israel, Knesset sambil disambut sorakan “Trump, Trump, Trump” oleh ahli parlimen.
Beliau mengumumkan bahawa “mimpi ngeri yang panjang dan menyakitkan kini telah berakhir.” Dalam ucapan penuh emosi itu, Encik Trump menyifatkan gencatan senjata tersebut sebagai “kejayaan diplomatik paling mencabar dalam sejarah moden.”
Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu pula menyambut Encik Trump sebagai “sahabat terbaik yang pernah dimiliki Israel di Rumah Putih.”
Menurut beliau: “Segala-galanya berubah sejak Trump kembali ke pejabat. Beliau membantu kami mendapatkan kembali tebusan dan menamatkan perang ini.”
Encik Trump, dalam reaksinya terhadap Encik Netanyahu, berkata: “Beliau bukanlah orang yang paling mudah untuk berunding, tetapi itulah yang menjadikannya pemimpin yang hebat.”
Walaupun kegembiraan jelas dirasai di peringkat antarabangsa, suasana di Gaza masih diselubungi kesedihan. Serangan Israel sebelum ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 67,869 orang, manakala ribuan lagi dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.
Encik Mahmoud, seorang penduduk Gaza yang terselamat, menggambarkan kemusnahan itu dengan penuh duka. “Kami melalui kawasan kejiranan yang lenyap sama sekali. Tiada apa-apa yang tinggal. Tiada lagi yang kami kenali,” katanya.
Ramai aktivis hak asasi manusia menyifatkan kempen ketenteraan Israel itu sebagai “pembunuhan beramai-ramai.”
Encik Trump turut menegaskan bahawa masa depan Gaza harus dibina atas asas keselamatan Israel. “Pembinaan semula Gaza memerlukan wilayah itu dilucutkan senjata,” katanya.
Dalam kenyataan bersama dengan pemimpin Qatar, Mesir dan Turkey pada hari yang sama, Encik Trump menekankan prinsip kesamarataan antara rakyat Palestin dan Israel.
“Kami berhasrat menegakkan toleransi, maruah, dan peluang saksama bagi setiap insan, memastikan rantau ini menjadi tempat di mana semua orang boleh mencapai cita-cita mereka dalam keamanan, keselamatan dan kemakmuran ekonomi,” menurut kenyataan itu.
Presiden el-Sisi pula memberi amaran bahawa keamanan sejati tidak akan tercapai tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Mesir menegaskan sekali lagi bahawa keamanan adalah pilihan strategik, tetapi pilihan itu hanya boleh dibina di atas asas keadilan dan hak yang saksama,” katanya.
Walaupun perjanjian gencatan senjata telah dilaksanakan, banyak persoalan masih belum terjawab, termasuk peranan Penguasa Palestin dalam pentadbiran Gaza pada masa depan.
Encik Trump mengumumkan bahawa “fasa kedua” rundingan sedang dijalankan untuk membincangkan struktur politik dan keselamatan pasca-perang.
Pelan Trump juga mencadangkan penubuhan “Lembaga Keamanan” yang akan diketuai oleh beliau sendiri bersama bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair. Lembaga ini dijangka menyelia pentadbiran Gaza yang dikendalikan oleh sekumpulan pakar dasar Palestin.
Cadangan itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemerhati antarabangsa yang mempersoalkan penglibatan tokoh pro-Israel seperti Encik Blair dan menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, dalam hal ehwal pasca-perang.
Dalam ucapannya di Sharm el-Sheikh, Encik Trump menyatakan keyakinan bahawa “gencatan senjata ini akan kekal,” sambil menambah bahawa lembaga keamanan itu akan segera ditubuhkan untuk memantau pelaksanaannya. “Semua orang gembira. Saya pernah membuat banyak perjanjian besar, tetapi yang ini melonjak seperti roket,” katanya sambil tersenyum. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg