BERLIN: Pemimpin Eropah berkata mereka telah menyusun strategi dengan Presiden Donald Trump untuk pertemuannya dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, di Alaska pada 15 Ogos.
Encik Trump dijangka membincangkan soal menamatkan perang di Ukraine, termasuk desakan bahawa sebarang rancangan damai mesti bermula dengan gencatan senjata dan tidak boleh dirundingkan tanpa Ukraine di meja rundingan.
Perbincangan trans-Atlantik pada 13 Ogos adalah usaha saat akhir oleh para pemimpin Eropah untuk merapatkan jurang dengan Encik Trump menjelang mesyuarat di Alaska.
Mereka berbincang menerusi panggilan video yang diatur oleh Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz.
Antara pemimpin itu termasuk Encik Trump; Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance; Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky; dan beberapa pemimpin Eropah lain yang mempunyai hubungan kuat dengan Encik Trump, termasuk Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni.
Encik Zelensky terbang ke Berlin untuk mesyuarat itu dan memberi taklimat kepada pemberita selepas itu dengan Encik Merz.
“Perbincangan kami dengan Presiden Trump sangat membina dan baik.
“Nampaknya ada harapan untuk pergerakan, ada harapan untuk keamanan di Ukraine,” kata Encik Merz memberitahu pemberita dalam ucapan ringkas.
Encik Trump yang kelihatan gembira hasil perbincangan dengan sekutunya, berkata: “Kami mengadakan perbincangan yang sangat baik.
“Saya menilaikannya 10. Sangat mesra,” katanya kepada pemberita selepas satu acara di Pusat Kennedy di Washington.
Menurutnya, beliau akan menghubungi Encik Zelensky dan pemimpin Eropah, selepas mesyuarat di Alaska.
Jika pertemuan di Alaska itu berjalan lancar, Encik Trump berkata beliau ingin bertemu Encik Putin dan Encik Zelensky secara bersama kemudian.
Ditanya sama ada beliau boleh meyakinkan Encik Putin untuk berhenti menyasarkan orang awam di Ukraine, Encik Trump berkata “tidak”.
Kedua-dua Encik Merz dan Encik Zelensky memberitahu wartawan bahawa Encik Trump telah bersetuju dengan lima prinsip untuk rundingan dengan Encik Putin.
Namun, mereka enggan membincangkan syarat damai, seperti pertukaran tanah antara Russia dengan Ukraine, sebelum gencatan senjata dilaksanakan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg