WASHINGTON: Slogan utama Washington sejak hampir tiga tahun perang Ukraine bermula adalah jelas: “tiada rundingan mengenai Ukraine tanpa Ukraine”. Namun, pada Jumaat ini, 15 Ogos Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan bertemu Presiden Russia Vladimir V. Putin di Alaska tanpa kehadiran Ukraine, kecuali berlaku jemputan saat akhir.
Kenyataan Encik Trump bahawa beliau sudah pun berbincang dengan Russia mengenai apa yang digelar sebagai “pertukaran wilayah” tanpa menyebut jaminan keselamatan atau bantuan senjata kepada Ukraine segera ditolak oleh Kyiv. Bagi Ukraine, ini memberi isyarat risiko besar terhadap kedaulatan mereka.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memberi amaran tegas: “Rakyat Ukraine tidak akan menyerahkan tanah mereka kepada penjajah. Sebarang keputusan yang dibuat tanpa Ukraine adalah keputusan menentang keamanan. Ia tidak akan membawa apa-apa. Ini adalah keputusan yang mati.”
Kerisauan utama Kyiv sejak enam bulan lalu adalah kemungkinan Encik Trump membayangkan perjanjian damai yang dirunding secara langsung antara beliau dan Encik Putin - sama seperti persidangan Yalta 1945 apabila kuasa besar dunia membahagikan Eropah pasca Perang Dunia Kedua.
“Penyelesaian terhadap perang ini tidak boleh diputuskan tanpa melibatkan Ukraine. Jika tidak, ia adalah pengkhianatan terhadap keamanan,” tegas Encik Zelensky.
Hubungan Encik Zelensky dan Encik Trump juga tegang sejak pertemuan di Rumah Putih pada Februari lalu, apabila Encik Trump memberitahu Enci Zelensky: “awak tidak memegang kad yang kuat sekarang”. Kyiv khuatir Encik Trump mungkin terpengaruh dengan pujukan atau pujian Encik Putin, yang sering digambarkannya secara positif.
Bagi Encik Trump, pertemuan ini juga berisiko tinggi secara politik, terutamanya jika beliau dilihat memaksa jutaan rakyat Ukraine menerima kehilangan wilayah tanpa jaminan bahawa Encik Putin tidak akan menyerang lagi selepas beberapa tahun.
“Trump masih kelihatan menganggap Putin berunding sebagai rakan atau sekutu. Ia akan menyukarkan rundingan ini jika Ukraine tidak terlibat,” kata Cik Tressa Guenov dari Atlantic Council.
Encik Trump sebelum ini melalui utusannya, Encik Steve Witkoff, pernah mencadangkan pertemuan tiga pihak, Trump, Zelensky dan Putin tetapi idea itu diketepikan. Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata Trump masih terbuka kepada pertemuan tiga pihak, namun mesyuarat dengan Putin akan diteruskan mengikut jadual.
Pada 9 Ogos lalu, selepas mesyuarat penasihat keselamatan negara Eropah dan pegawai Ukraine bersama Naib Presiden Encik JD Vance di Britain, pemimpin Eropah termasuk Perancis, Britain, Italy dan Jerman menggesa gabungan “diplomasi aktif, sokongan kepada Ukraine dan tekanan terhadap Russia untuk menamatkan perang mereka”.
Mereka menegaskan sebarang perjanjian mesti merangkumi “jaminan keselamatan yang kukuh dan boleh dipercayai supaya Ukraine dapat mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya”.
“Jalan menuju keamanan di Ukraine tidak boleh diputuskan tanpa Ukraine,” kata kenyataan bersama itu.
Encik Trump pula memberi isyarat bahawa rundingan dengan Encik Putin mungkin melibatkan “pertukaran wilayah untuk kebaikan kedua-dua pihak”. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan siapa yang dimaksudkan sebagai “kita” dalam kenyataannya: “Kita akan dapatkan sebahagian, dan kita akan tukar sebahagian. Perincian akan kita bincangkan kemudian.”
Russia menuntut Ukraine menyerahkan empat wilayah yang diumum “diabil alih” pada 2022 iaitu Donetsk, Lugansk, Zaporizhzhia dan Kherson walaupun sebahagiannya masih dikuasai tentera Ukraine. Moscow juga mahu Crimea diiktiraf semula sebagai wilayahnya.
Bagi Encik Zelensky, tuntutan itu tidak boleh diterima. “Akhir perang ini mesti jujur. Russia yang memulakan perang, dan mereka yang mesti mengakhirinya,” katanya.
Kesediaan Encik Putin hadir ke Alaska dilihat signifikan kerana ia menandakan berakhirnya pengasingan politik dan undang-undang beliau daripada Amerika Syarikat. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Encik Trump telah menghentikan usaha Jabatan Kehakiman dan Jabatan Negara untuk mengumpul bukti jenayah perang Russia di Ukraine.
“Memang pelik bagaimana kita menjemput seseorang yang diklasifikasikan sebagai penjenayah perang oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” kata Encik Jeffrey Sonnenfeld dari Institut Kepimpinan Ketua Eksekutif Yale.
Namun beliau menegaskan Encik Putin kini dalam kedudukan ekonomi yang lemah: “Ilusi kuasa yang dicipta Putin hanyalah seperti watak Wizard of Oz. Ekonomi Russia sedang runtuh.”
Encik Sonnenfeld memberi amaran kepada Encik Trump agar tidak menyerahkan wilayah Donbas, memandangkan ia kaya dengan mineral yang boleh memberi pulangan besar kepada Ukraine melalui pelaburan bersama. “Menyerahkan Donbas adalah bencana,” katanya.
Presiden Perancis Emmanuel Macron menegaskan: “Masa depan Ukraine tidak boleh diputuskan tanpa rakyat Ukraine, dan Eropah mesti turut terlibat.”
Pemimpin Eropah menyatakan rundingan mesti bermula dari garis sempadan terkini di medan tempur dan melindungi kepentingan keselamatan Ukraine serta Eropah.
Dalam ucapannya pada 9 Ogos malam, Encik Zelensky mengulangi bahawa sebarang penyelesaian hanya boleh dicapai melalui diplomasi yang melibatkan Ukraine secara langsung. “Tiga pusingan rundingan sebelum ini gagal. Tapi kami tidak akan berhenti mencari jalan untuk mengembalikan tanah kami,” katanya.
Sejak Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh pada Februari 2022, puluhan ribu nyawa terkorban dan jutaan penduduk hilang tempat tinggal.
Dalam perkembangan terbaru di medan perang, Russia mendakwa menguasai Yablonovka di Donetsk, manakala Ukraine melaporkan dua orang awam terbunuh selepas sebuah bas di Kherson terkena serangan.
Moscow menetapkan prasyarat kepada Kyiv sebelum sebarang perjanjian damai: menarik tentera dari empat wilayah yang dituntut, kekal sebagai negara berkecuali, menolak bantuan ketenteraan Barat, dan tidak menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Kyiv menegaskan tidak akan mengiktiraf kawalan Russia ke atas wilayah berdaulatnya, walaupun sedar jalan diplomasi perlu untuk mendapatkan kembali tanah yang diceroboh.
Encik Trump dan Encik Putin kali terakhir bertemu secara bersemuka pada sidang kemuncak G20 di Jepun pada 2019. Mereka telah beberapa kali berhubung melalui telefon sejak Januari lalu, tetapi janji Encik Trump untuk membawa keamanan di Ukraine masih belum tercapai. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg