Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin G20 tekankan penderitaan akibat konflik Gaza, Ukraine

Nov 19, 2024 | 12:53 PM
Pemimpin daripada ekonomi utama Kumpulan 20 (G-20) pada 18 November mengeluarkan kenyataan bersama yang menonjolkan penderitaan akibat konflik di Gaza dan Ukraine.
Pemimpin daripada ekonomi utama Kumpulan 20 (G-20) pada 18 November mengeluarkan kenyataan bersama yang menonjolkan penderitaan akibat konflik di Gaza dan Ukraine. - Foto REUTERS

RIO DE JANEIRO: Pemimpin ekonomi utama, Kumpulan Negara 20 (G20) pada 18 November mengeluarkan kenyataan bersama yang menekankan penderitaan akibat konflik di Gaza dan Ukraine, sambil menyeru kerjasama dalam perubahan iklim, mengurangkan kemiskinan dan dasar cukai.

Pemimpin G20 yang bertemu di Muzium Seni Moden Rio de Janeiro untuk sidang puncak dua hari, menangani agenda yang mencerminkan aturan sejagat yang berubah, serta cuba menyokong konsensus pelbagai hala sebelum Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Encik Donald Trump, kembali berkuasa pada Januari.

Perbincangan mereka mengenai perdagangan, perubahan iklim dan keselamatan antarabangsa bakal menentang perubahan dasar Amerika yang diikrarkan Encik Trump, daripada tarif kepada perjanjian dalam menyelesaikan rundingan terhadap perang di Ukraine.

Pemimpin-pemimpin G20 yang bersidang di Rio de Janeiro telah menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza serta ketegangan yang memuncak di Lebanon.

Dalam kenyataan bersama, secara tegasnya, mereka menyeru tindakan segera untuk memperluaskan bantuan kemanusiaan, memastikan perlindungan terhadap orang awam, dan menghapuskan segala halangan yang menyekat penyaluran bantuan secara berskala besar.

“Kami amat bimbang dengan keadaan kemanusiaan yang dahsyat di Semenanjung Gaza serta ketegangan yang meningkat di Lebanon.

“Kami menekankan keperluan mendesak untuk memperluaskan bantuan kemanusiaan, meningkatkan perlindungan terhadap orang awam, dan memastikan semua halangan terhadap penyediaan bantuan dihapuskan,” ujar kenyataan itu.

Para pemimpin turut menekankan penderitaan yang amat serius akibat konflik berterusan serta implikasi buruknya yang melangkaui sempadan konflik.

Mereka menyeru semua pihak terlibat agar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memberi keutamaan kepada usaha untuk meredakan krisis.

Kenyataan itu mencerminkan perpaduan sejagat terhadap mangsa konflik dan desakan untuk penyelesaian segera bagi mengurangkan penderitaan yang berlarutan.

Namun, para pemimpin telah mencapai sedikit kata sepakat mengenai perang Ukraine yang semakin memuncak, menumpukan secara ringkas kepada “penderitaan manusia” dan kejatuhan ekonomi akibat konflik itu.

Dalam kenyataan mereka, para pemimpin bersetuju, dunia perlu mencapai kesepakatan menjelang akhir sidang puncak perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP29, di Azerbaijan mengenai matlamat kewangan baru, iaitu jumlah sumbangan negara kaya kepada negara membangun yang lebih miskin.

Pegawai COP29 telah menyeru pemimpin G20 untuk mendapatkan isyarat kuat untuk membantu memecahkan kebuntuan mengenai kewangan iklim.

Walaupun kenyataan bersama itu berkata negara perlu menyelesaikan isu tersebut, mereka tidak menunjukkan penyelesaian yang sepatutnya dalam sidang di PBB yang berakhir pada 15 November.

Sebagai tuan rumah mesyuarat G20 2024, Brazil meluaskan tumpuan kumpulan itu terhadap kemiskinan tegar dan kelaparan, sambil memperkenalkan perbahasan mengenai kerjasama untuk mengenakan cukai secara adil kepada golongan terkaya di dunia, topik yang turut diketengahkan dalam kenyataan bersama para pemimpin.

Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, membuka sidang itu pada 18 November dengan pelancaran pakatan sejagat untuk memerangi kemiskinan dan kebuluran, dengan sokongan daripada lebih 80 negara, bersama bank berbilang hala dan dermawan utama.

“Kebuluran dan kemiskinan bukanlah hasil daripada kekurangan atau fenomena semula jadi... ia adalah hasil keputusan politik,” kata Encik Lula yang dilahirkan dalam kemiskinan dan menceburi politik menerusi kesatuan pekerja logam.

“Dalam dunia yang menghasilkan hampir enam bilion tan makanan setahun, ini tidak boleh diterima,” katanya.

Presiden China, Encik Xi Jinping, mengambil kesempatan dengan mengumumkan langkah untuk menyokong ekonomi membangun ‘Selatan Global’, daripada kerjasama saintifik dengan Brazil dan negara-negara Afrika kepada mengurangkan halangan perdagangan bagi negara kurang maju. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg