KANANASKIS (Canada): Pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) menyeru supaya ketegangan Timur Tengah diredakan, bermula dengan konflik Israel-Iran, ketika bertemu dalam sidang puncak G7 pada 16 Jun.
Pertemuan itu menyaksikan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, tergesa-gesa meninggalkan sidang puncak itu.
Encik Trump meninggalkan perhimpunan yang diadakan di Canadian Rockies itu sehari lebih awal, sedang sekutunya Israel menyerang Iran.
Sidang puncak tersebut berlangsung dari 15 hingga 17 Jun.
Tindakannya itu dibuat selepas seharian beliau membuat kenyataan menyokong diplomasi.
Namun melalui hantarannya di media sosial, beliau kelihatan memberi amaran kepada penduduk di Teheran, Iran.
“Semua harus segera mengosongkan (tinggalkan) Teheran!”, ujarnya.
Amaran beliau itu bercanggah dengan kenyataan bersama G7 yang dikeluarkan Canada, yang menggesa agar penyelesaian krisis Iran dapat “mengurangkan permusuhan di Timur Tengah, termasuk gencatan senjata di Gaza”.
Kenyataan tersebut menyatakan Israel “mempunyai hak untuk mempertahankan diri” dan menekankan “kepentingan perlindungan orang awam” kerana serangan yang semakin meningkat membunuh orang awam di kedua-dua belah pihak.
Britain, Canada, Perancis, Jerman, Italy, Jepun dan Amerika turut menyatakan Iran “tidak boleh mempunyai senjata nuklear”.
Kenyataan ini dibuat sedang Encik Trump memihak kepada diplomasi dan wakil beliau, Encik Steve Witkoff, telah bertemu wakil Iran sebanyak lima kali.
Namun, beliau menyokong serangan Israel dan berkata Iran seharusnya bersetuju dengan syarat-syarat beliau.
Encik Trump telah berulang kali enggan menyatakan sama ada Amerika akan mengambil bahagian dalam tindakan ketenteraan Israel, walaupun beliau berkata Washington tidak terlibat dalam serangan awal dan Rumah Putih berkata tentera Amerika sudah bersedia.
“Ia menyakitkan bagi kedua-dua pihak (yang berperang), tetapi saya akan katakan Iran tidak akan menang dalam peperangan ini dan mereka harus mengadakan perbincangan… sebelum terlambat,” kata beliau selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney.
Sejak 13 Jun, Israel telah menyerang tapak nuklear dan ketenteraan utama Iran serta membunuh komander terkemuka dan saintis nuklear di Iran.
Iran kemudian bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel.
Sementara itu, Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, memberi gambaran Amerika bersedia untuk membuat langkah diplomatik.
“Terdapat tawaran dibuat untuk pertemuan dan pertukaran,” kata Encik Macron kepada pihak media.
Encik Macron menyuarakan bantahan terhadap apa yang semakin kelihatan sebagai matlamat Israel untuk menggulingkan pemerintah Iran.
Beliau menyifatkan usaha sesebuah negara menyerang Iran dari luar demi menyelamatkan negara itu sendiri adalah satu kesilapan besar.
Sejak Encik Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear pada 2018, Iran telah meningkatkan pengayaan uranium tetapi belum sampai di peringkat untuk menghasilkan bom atom.
Israel diketahui umum memiliki senjata nuklear, tetapi tidak mengakuinya secara terbuka.
Selain isu konflik, isu tarif juga menjadi perbualan dalam sidang puncak tersebut, sedang Encik Trump berikrar akan menaikkan tarif ke atas negara sekutu dan asing, walaupun beliau telah menangguhkan pelaksanaannya sehingga 9 Julai.
Namun, Encik Trump menyuarakan keyakinan terhadap resolusi bersama Canada dan telah menandatangani dokumen dengan Perdana Menteri United Kingdom, Encik Keir Starmer, untuk mengesahkan perjanjian dengan Britain. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg