WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 16 Jun tidak menolak rancangan membunuh pemimpin tertinggi Iran, Encik Ayatollah Ali Khamenei, dengan berkata ia akan “mengakhiri konflik” antara dua musuh ketat itu.
Dalam temu bual selama 20 minit dengan rangkaian, ABC News, pemimpin Israel itu menegaskan pencerobohan maut negaranya ke atas Iran adalah wajar, dan menyamakan Encik Khamenei sebagai “Hitler moden”.
Tetapi apabila ditanya mengenai laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menolak rancangan Israel untuk membunuh pemimpin tertinggi itu kerana bimbang ia akan meningkatkan pertembungan Iran-Israel, Encik Netanyahu, menepisnya bulat-bulat.
“Ia tidak akan meningkatkan konflik, ia akan sebaliknya menamatkan konflik,” dakwanya.
“Perang selamanya adalah apa yang Iran mahukan, dan mereka membawa kita ke ambang perang nuklear,” kata Encik Netanyahu.
“Malah, apa yang Israel lakukan adalah menghalang perkara ini, menamatkan pencerobohan ini, dan kita hanya boleh melakukannya dengan menentang kuasa jahat,” ujarnya.
Encik Netanyahu tidak mendedahkan sama ada Israel menyasarkan Encik Khamenei atau tidak dalam serangannya itu, dan hanya berkata: “Kami melakukan apa yang perlu kami lakukan.”
Ketika Israel melancarkan serangan di seluruh Iran dan Teheran membalas dengan peluru berpandu, Encik Netanyahu tetap mengekalkan sikap agresif.
Dalam usaha untuk berkomunikasi dengan rakyat sekutu utama negaranya, Encik Netanyahu, menghadiri dua kali wawancara dengan media Amerika dalam beberapa hari, membingkai konflik Israel dengan Iran sebagai “pertempuran tamadun menentang kebiadaban”.
Rakyat Amerika, tegasnya, harus prihatin terhadap usaha Teheran untuk memperoleh senjata nuklear dan keupayaan peluru berpandu balistik yang semakin kuat.
“Hari ini Tel Aviv, esok New York,” kata Encik Netanyahu kepada wartawan ABC, Encik Jon Karl.
Encik Netanyahu melontarkan kritikan hebat terhadap Encik Khamenei, dengan mengecamnya sebagai “fanatik gila anti-Yahudi” dan sokongannya terhadap serangan proksi yang bermaksud untuk menghancurkan Israel.
“Beliau seperti Hitler moden. Beliau tidak akan berhenti, tetapi kami akan memastikan beliau tidak mempunyai cara melaksanakan ancamannya,” tambah Encik Netanyahu.
Dalam mempertahankan serangan Israel yang meluas, Encik Netanyahu berkata, mengekang program nuklear Iran adalah “mencegah perang paling ngeri yang boleh dibayangkan dan... membawa keamanan ke Timur Tengah.”
“Itu akan menjadi mungkin jika Iran dilemahkan,” tegas beliau.
Serangan Israel ke atas Iran sejak 13 Jun telah membunuh 224 orang. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg