Pemimpin kanan Abu Sayyaf terbunuh

Abu Rami, pengganas yang menculik dan penggal kepala mangsa

KEUPAYAAN pihak berkuasa Filipina membunuh salah seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Bohol, tengah Filipina, pada Selasa lalu (11 Apr) merupakan satu kejayaan besar dalam usaha memerangi terorisme di rantau ini.

Abu Rami atau juga dikenali Muamar Askali, yang dikatakan dalam lingkungan usia lewat 20an tahun, dan mendalangi beberapa kes penculikan, merupakan anggota tertinggi kumpulan Abu Sayyaf berada dalam senarai individu paling dikehendaki oleh Malaysia dan Filipina.

Gambar mayatnya yang tersebar menunjukkan pin bendera Negara Islam (IS) yang tersemat di dada bajunya.

Pasukan keselamatan Filipina terpaksa membunuh pemimpin Abu Sayyaf itu yang sebelum ini selalu muncul dalam rakaman beberapa video hukuman mati tebusan.

Abu Rami merupakan salah seorang daripada lima lelaki bersenjata yang terbunuh dalam pertempuran di Bohol itu.

Ketua Bahagian Risikan Pejabat Polis Central Visayas, Supritendan Kanan Jonathan Cabal, mengesahkan kematian Abu Rami.

Kematiannya telah digambarkan sebagai satu lagi tamparan hebat kepada kumpulan pengganas itu yang bertanggungjawab dalam puluhan kes penculikan di Sabah.

Kira-kira 60 lelaki bersenjata termasuk pemimpin Abu Sayyaf itu telah memasuki wilayah Bohol dan berdepan dengan pasukan keselamatan.

Sekurang-kurangnya sembilan orang - lima militan, tiga anggota tentera dan seorang anggota polis - terbunuh dalam pertempuran senjata api, yang berlaku di kampung pergunungan Napo di bandar Inabanga.

Kapten Jojo Mascariñas, jurucakap bagi Briged 302 Tentera Filipina, telah mengenalpasti korban di pihak pemerintah, terdiri daripada Leftenan Ke-2 Espelito Saldua, Jr., Korporal Meljun Cajaban, Sarjan John Dexter Duero, dan Pegawai ke-2 Rey Anthony Nazareno.

Wilayah Bohol terletak berjauhan daripada pengkalan pengganas yang berada di selatan kawasan hutan, namun Kerajaan Amerika Syarikat telah memberi isyarat bahawa kumpulan bersenjata itu mungkin menjalankan aktiviti penculikan di sana.

Anggota lain Abu Sayyaf yang diketuai Abu Rami itu dipercayai telah melarikan diri Pulau Jolo berikut serangan intensif oleh tentera Filipina.

Ketua Turus Tentera Filipina, Jenderal Eduardo Año, menyifatkan Abu Rami sebagai seorang pengganas yang berperanan besar dalam beberapa serangan ganas di negara itu.

Kumpulan pimpinan Abu Rami tahun lalu telah memenggal kepala warga Kanada, Encik John Ridsdel dan Encik Robert Hall. Seorang warga tua Jerman, Encik Jurgen Kantner, juga menerima nasib yang sama selepas tuntutan wang tebusan $600,000 ($837,534) tidak dibayar kepada mereka.

Menurut Jenderal Año, Abu Rami berusaha "mencipta namanya sendiri" dan berjaya menjadi pemimpin kanan Abu Sayyaf.

Dia terlibat dalam satu percubaan gagal menculik pelancong di Bohol semasa Minggu Keagamaan bagi masyarakat Kristian Filipina.

Menurut sumber, Abu Rami berasal dari Jolo, selatan Filipina, merupakan anak seorang anggota polis manakala ibunya seorang guru.

Dia berkahwin dengan seorang gadis dari keluarga yang diketahui terlibat dalam kegiatan penculikan.

"Dia mulanya tidak begitu dikenali sebagai pejuang Abu Sayyaf. Dia adalah pemimpin Kumpulan Ajang-Ajang, sebuah kumpulan yang amat kejam dan melampau kerana memenggal kepala mangsa culik," kata sumber itu lagi yang ditukil media Filipina, ABS-CBN News, dalam laporannya semalam (12 Apr).

Menurut sumber itu lagi, beliau nampak Abu Rami tahun lalu di Hotel Blue Shark di Zamboanga City.

"Sebelum laporan tentang Bohol disiarkan, ada beberapa rakam kami yang mengirimkan kepadanya mee buatan Malaysia, dan menasihatinya untuk tidak lagi menculik atau memenggal kepala," ujar sumber itu lagi.

Dalam beberapa wawancara dengan Abu Rami menerusi telefon yang dibuat oleh akhbar Inquirer, pengganas itu mengesahkan telah menerima sejumlah 250 juta peso ($7.1 juta) wang tebusan bagi pasangan Jerman, Dr Stefan Viktor Okonek dan Cik Henrike Dielen; 20 juta peso bagi pembebasan warga Filipina, Cik Maritess Flor; dan 30 juta peso bagi warga Norway, Encik Kjartan Sekkingstad.

Ke manakah kesemua wang itu pergi?

Menurut sumber itu, Abu Rami menggunakan sebahagian wang tersebut untuk "memberi makan kepada masyarakat".

"Mereka perlu wang untuk menyenyapkan masyarakatnya bagi mendapatkan kesetiaan mereka. Itulah caranya di Sulu," katanya.

"Saya rasa dia pergi ke Bohol untuk mencari mangsa baru untuk diculik," tambahnya sambil menambah, Abu Ramai tidak akan membawa senjata jika ke Bohol untuk bercuti. - mSTAR Online, ABS-CBN News, Inquirer.net, Reuters, AFP