SEOUL: Pemimpin parti liberal Korea Selatan, Encik Lee Jae-myung, dipilih sebagai Presiden selepas beliau memenangi pilihan raya negara itu pada 3 Jun, enam bulan selepas beliau mengundi menentang dekri undang-undang tentera yang diisytiharkan presiden sebelum ini yang kemudian digulingkan.
Kemenangan beliau dijangka membawa perubahan besar dalam politik negara ekonomi keempat terbesar di Asia, selepas kemelut undang-undang tentera yang membawa kepada penyingkiran mantan Presiden Encik Yoon Suk Yeol, pemimpin konservatif yang pernah menewaskan Encik Lee secara tipis dalam pilihan raya 2022.
Hampir 80 peratus daripada 44.39 juta pengundi Korea Selatan telah membuang undi, peratusan keluar mengundi tertinggi bagi pilihan raya presiden di negara itu sejak 1997.
Encik Lee menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai “hari penghakiman” terhadap undang-undang tentera Encik Yoon dan kegagalan Parti Kuasa Rakyat (PPP) untuk menjauhkan diri daripada keputusan mengejutnya itu.
Dengan 100 peratus undi telah dikira, Encik Lee memenangi 49.42 peratus daripada hampir 35 juta undi, manakala pesaing konservatif Encik Kim Moon-soo meraih 41.15 peratus undi, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya.
Encik Kim yang mengakui kekalahannya, mengucapkan tahniah kepada Encik Lee dalam ucapan ringkas kepada wartawan.
Penyokong Encik Lee bersorak gembira apabila stesen penyiar utama mengumumkan kemenangannya dengan margin yang besar.
Dalam ucapan ringkas kepada penyokong yang berhimpun di luar Parlimen, Encik Lee berkata beliau akan menunaikan kewajipan dan membawa perpaduan kepada negara.
“Kita boleh mengatasi kesukaran sementara ini dengan gabungan kekuatan rakyat kita, yang mempunyai keupayaan yang hebat,” katanya.
Beliau juga berikrar untuk memulihkan ekonomi dan mencari perdamaian dengan Korea Utara, negara berkuasa nuklear, melalui dialog dan kekuatan.
Dekri undang-undang tentera dan rentetan pergolakan selama enam bulan menyaksikan tiga pemangku presiden berbeza dan pelbagai perbicaraan melibatkan tuduhan pemberontakan jenayah ke atas Encik Yoon dan beberapa pegawai atasan lain.
Tindakan Encik Yoon itu membawa kemusnahan kuasa politiknya dan penyerahan jawatan presiden kepada Encik Lee, pesaing utamanya.
Encik Yoon yang dicabar oleh Parlimen pimpinan Encik Lee, kemudian disingkirkan daripada jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan pada April, kurang tiga tahun dalam tempoh penggal lima tahunnya, sekali gus mendorong negara itu mengadakan pilihan raya mengejut.
Encik Lee menuduh PPP telah membenarkan undang-undang tentera dan cuba menyelamatkan jawatan presiden Encik Yoon itu.
Encik Kim pula adalah Menteri Buruh dalam Kabinet Encik Yoon apabila mantan presiden itu mengisytiharkan undang-undang tentera yang singkat dan gagal pada 3 Disember 2024.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Cik Tammy Bruce, menyatakan Washington sedang menunggu pengesahan Encik Lee sebagai presiden sebelum mengulasnya.
Keputusan rasmi dijangka disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 4 Jun selepas undian dikira dengan mesin, kemudian disemak tiga kali oleh pegawai pilihan raya secara manual untuk mengesahkan ketepatan.
Majlis perasmian akan menyusul kemudiannya.
Encik Park Chan-dae, pemangku ketua Parti Demokratik Encik Lee, menyatakan pengundi jelas menolak percubaan undang-undang tentera dan mengharapkan peningkatan dalam kehidupan mereka.
Encik Lee perlu menangani cabaran termasuk menyatukan masyarakat yang berpecah belah sejak percubaan untuk melaksanakan undang-undang tentera, meningkatkan ekonomi yang bergelora akibat langkah perlindungan dagangan oleh Amerika – rakan dagang utama dan sekutu keselamatannya.
Encik Lee dijangka lebih mengamalkan sikap berdamai terhadap China serta Korea Utara dan berhasrat meneruskan hubungan baik Encik Yoon dengan Jepun. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg