SEOUL: Rakyat Korea Selatan mula keluar mengundi pada 3 Jun untuk memilih presiden baru selepas enam bulan mantan presiden, Encik Yoon Suk Yeol, menjerumuskan negara itu ke kancah kegelisahan politik dengan pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat dan gagal.
Segelintir pengundi warga emas beratur di pusat mengundi di kawasan Munrae-dong di Seoul seawal 6 pagi (5 pagi waktu Singapura) untuk membuang undi apabila pengundian bermula.
“Kami adalah yang pertama tiba dengan harapan calon kami akan dipilih, dan kerana pilihan raya presiden adalah yang paling penting,” kata Cik Yu Bun-dol, 80 tahun, yang mengundi calon Parti Kuasa Rakyat (PPP), bekas parti Encik Yoon.
Berjuta-juta warga dijangka membuang undi dalam pilihan raya itu, dengan lebih sepertiga daripada mereka telah berbuat demikian minggu lalu semasa tempoh dua hari pengundian awal, kata Suruhanjaya Pilihan Raya.
Semua tinjauan pendapat utama telah meletakkan pemimpin liberal, Encik Lee Jae-myung, berada di hadapan dengan tinjauan Gallup terbaru menunjukkan 49 peratus responden melihatnya sebagai calon terbaik.
Kempen tidak dibenarkan pada hari pilihan raya, tetapi Encik Lee menyiarkan di Facebook bahawa undian itu akan “menunjukkan kekuatan rakyat Korea” selepas berbulan-bulan dilanda kegawatan.
Encik Kim Moon-soo daripada konservatif PPP pula berada di belakang Encik Lee, dengan sokongan 35 peratus berdasarkan tinjauan Gallup.
Kesan daripada undang-undang tentera – yang menyebabkan Korea Selatan tanpa pemimpin buat bulan pertama penggal kedua Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump – adalah kebimbangan utama bagi pengundi, kata pakar.
Profesor Sains Politik di Universiti Wanita Sookmyung, Dr Kang Joo-hyun, berkata: “Tinjauan menunjukkan pilihan raya dilihat sebahagian besarnya sebagai referendum mengenai pentadbiran terdahulu.
“Krisis undang-undang tentera dan pemecatan bukan sahaja mempengaruhi golongan sederhana, bahkan juga meruntuhkan asas konservatif.”
Pemecatan Encik Yoon berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang menyaksikan askar bersenjata dikerahkan ke Parlimen tetapi berakhir dengan kegagalan, menjadikannya presiden konservatif kedua berturut-turut yang dilucutkan jawatan selepas, Encik Park Geun-hye, pada 2017.
Calon konservatif Encik Kim turut gagal meyakinkan calon pihak ketiga, Encik Lee Jun-seok daripada Parti Reformasi, untuk menyatukan dan mengelak perpecahan undi dalam kalangan sayap kanan.
Jalan raya di Seoul dilaporkan aman apabila orang ramai memanfaatkan cuaca baik dan cuti umum untuk keluar mengundi.
Bagaimanapun, polis mengeluarkan tahap amaran tertinggi dan mengerahkan ribuan pegawai untuk memastikan pengundian berjalan lancar.
Parti Demokrat pimpinan Encik Lee sudah memegang kerusi majoriti di Parlimen, dan penganalisis berkata keretakan dalam parti konservatif akan menyebabkan berlakunya pergelutan di pihak pembangkang melainkan ia dapat menyelesaikan isunya.
Dalam pilihan raya kali ini, pemenang bakal dipilih menjadi presiden sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan pengiraan undi. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg